Thursday, February 7, 2013

Salahuddin Al-Ayyubi


Kembali merenung tentangnya :

1. Lane-Poole : Sebagai anak kepada gabenor yang disukai raja, beliau memang menduduki tempat istimewa, tetapi beliau tidak menunjukkan tanda-tanda kehebatan yang bakal tiba. Sebaliknya beliau mempamerkan contoh jiwa yang tenang, yang menjauhi kelesuan pemikiran golongan bangsawan.

Sesudah menguasai Mesir, ia mula menyusun hidupnya dengan lebih ketat. Beliau bertambah warak dan zuhud. Beliau berpaling daripada hidup senang-lenang, memilih hidup serba payah serta menjadikan dirinya sebagai teladan kepada tenteranya. Sejak itu, tumpuan besarnya, pembinaan empayar Muslim yang cukup kuat untuk menghalau keluar kaum Kristian dari tanah suci Bait Al-Maqdis.

2. Ibnu Shaddad : Kerana terbakar dengan semangat memerangi tentera Salib, jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Beliau sentiasa berusaha mencari jalan untuk menguatkan pasukan tentera serta berbincang dengan sesiapa yang menyuarakan pendapatnya mengenai persediaan perang itu. Dalam menjayakan usaha jihad, beliau lebih rela meninggalkan rumah kediaman dan keluarga serta memilih kehidupan khemah, di mana bila-bila sahaja tiupan angin kencang boleh membalikkan khemahnya. Sesiapa yang memerangsangkannya dalam usaha tersebut mudah menjadi orang kepercayaannya.

Di medan perang Salahuddin kelihatan seperti seorang ibu yang kehilangan anaknya yang tunggal. Beliau kelihatan di atas kudanya, bergerak dari satu penjuru medan perang ke satu penjuru yang lain sambil menyeru tenteranya berjuang untuk Allah Taala. Beliau sendiri akan pergi kepada pasukan-pasukan tentera serta menyeru mereka keluar berperang demi mempertahankan Islam.

Sewaktu mengepung Kota ’Aka, selain meminum minuman manis yang ditetapkan oleh tabibnya, Salahuddin tidak makan apa-apa pada keseluruhan hari itu. Hanya beberapa suap makanan sahaja diambilnya dari hari Jumaat hingga Ahad, kerana beliau sibuk dengan urusan perang di medan tempur.

Pada hari jumaat, 27 Rajab 583H, hari Israk dan Mijkraj nabi saw, tepat pada waktu baginda memimpin sembahyang berjemaah dengan nabi-nabi terdahulu, Sultan Salahuddin Al-Ayubi memasuki kota Bait Al-Maqdis. Itulah kejayaan segala kejayaan. Sesudah sembilan puluh tahun, sembahyang Jumaat sekali lagi diadakan di Bait  Al-Maqdis. Salib yang berkelipan di atas kubah Masjid Al-Aqsa telah dijatuhkan.

Wallaahu a’lam.

Salahuddin Al-Ayyubi Pahlawan Perang Salib
Dr Mahmud Syalabi

No comments:

Post a Comment