Tuesday, February 19, 2013

Adab merawat, melawat dan pengurusan pesakit nazak (7 )


Amalan sunnah sebaik sahaja kematian

Antara perkara yang diajarkan kepada kita oleh Nabi S.A.W. terhadap saudara kita yang baru meninggal dunia ialah:

1- Menutup mata mayat dan mendoakannya. Berdasarkan hadith dari Ummu Salamah katanya:  Rasulullah saw. masuk kepada Abu Salamah yang telah meninggal dunia, dan kedua matanya terbuka, lalu baginda memejamkan kedua mata Abu Salamah sambil berkata: “Sesungguhnya ruh apabila diambil, diikuti dengan mata.” Lalu ahli keluarganya riuh memperkatakannya, baginda bersabda: “Jangan kamu semua memperkatakan kecuali kebaikan, kerana sesungguhnya para malaikat mengaminkan apa yang kamu semua katakan,” Kamudian baginda membaca (doa): “Ya Allah ampunlah Abu Salamah, tinggikanlah darjatnya di kalangan orang-orang yang diberi petunjuk, dan jadilah penggantinya ke atas keluarga yang ditinggalkannya, ampunkanlah kami dan dia wahaiTuhan sekelian alam. Dan lapangkanlah kuburnya serta berilah cahaya kepadanya ketika di dalam kubur.”

2- Membuat ikatan dari bawah dagu ke kepala bertujuan menutupkan mulut yang terbuka. Ibn Qudamah berkata:  Digalakkan menahan dua rahangnya dengan ikatan memanjang dari atas kepala. Ini kerana mayat jika dibiarkan terbuka dua mata dan mulutnya tanpa ditutup sehingga ia menjadi sejuk, dia akan terus berada dalam keadaan terbuka dan ini akan memburukkan keadaannya. Keadaan ini juga membolehkan ia dimasuki serangga, dan dimasuki air ketika memandikannya.

3- Melembutkan sendi-sendi anggota mayat dengan cara melipat-lipatkan siku dan bahu tangan, lutut dan peha kaki. Ini bertujuan agar ia tidak terus keras dan akan menyukarkan proses menanggalkan pakaiannya dan memandikannya. Namun jika mayat telah menjadi sejuk dan anggotanya menjadi keras, tidak perlu melakukan proses ini kerana dibimbangi akan mematahkan anggota mayat.

4- Menyelimuti mayat. Menyelimut keseluruh badannya, berdasarkan hadith ‘Aisyah ra. katanya: Bahawa Rasulullah saw. ketika wafat baginda ditutup dengan selimut Hibarah (sejenis kain buatan Yaman)

Ini bagi mayat yang bukan dalam keadaan Muhrim (orang yang berihram Haji atau Umrah). Jika mayat dalam keadaan muhrim, tidak ditutup kepala dan wajahnya berdasarkan hadith Ibn ‘Abbas ra.: Ketikamana seorang lelaki wukuf di ‘Arafah, kemudian dia terjatuh dari tunggangannya, lalu patah lehernya. Lalu Nabi saw bersabda: Mandikan dia dengan air dan daun Bidara, dan kafankan dia dengan dua pakaian ihramnya, jangan kamu semua wangikan dia, dan jangan tutup kepalanya, kerana Allah akan bangunkannya pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiah (berihram).

5- Meletakkan sesuatu yang sederhana berat di atas perut jenazah untuk menghalangnya dari membuncit, terutama bagi jenazah yang tidak dapat disegerakan pengurusannya disebabkan ada keperluan yang dibenarkan oleh Syara’. Ibn Qudamah berkata:  Dan diadakan (diletak) di atas perut jenazah itu sesuatu besi seperti cermin (cermin daripada besi) atau seumpamanya, agar perutnya tidak membuncit / membengkak.

Perkara ini terdapat dari athar sebagian sahabat Nabi saw. seperti Anas bin Malik ra. al-Imam al-Baihaqi di dalam al-Sunan al-Kubra daripada ‘Abdullah bin Adam katanya: “Maula Anas bin Malik meninggal dunia ketika telah tenggelamnya matahari. Lalu Anas bin Malik berkata : Letakkanlah di atas perutnya sesuatu besi.

Dan diriwayatkan daripada al-Sya’biy, di mana beliau pernah ditanya tentang pedang yang diletakkan di atas perut jenazah. Lalu beliau menjawab: Hanyasanya diletakkan seperti itu kerana bimbang perutnya membuncit/membengkak.

Ibn Abi Syaibah pula meriwayatkan daripada ‘Amir al-Sya’biy katanya  : Digalakkan untuk diletakkan pedang di atas perut mayat.

Al-Syeikh Sa’id bin ‘Ali bin Wahf al-Qahtani di dalam risalah beliau Ahkam al-Janaiz fi Dhau al-Kitab wa al-Sunnah berkata: Akan tetapi jika disegerakan pengurusan jenazah itu, atau diletakkan jenazah itu di dalam peti ais (untuk mayat) dan perutnya tidak akan kembung, maka tidak perlu untuk meletakkan sesuatu di atas perutnya.

6- Meletakkan mayat di atas katil atau sesuatu dalam keadaan direndahkan bahagian kakinya. Al-Imam al-Baihaqi rh. berkata daripada Abdullah bin ‘Abbas ra. katanya: Apabila selesai dari persediaan jenazah Rasulullah saw. pada hari selasa, baginda diletakkan di atas katil di rumah baginda saw

7- Menyegerakan pengurusan pengkebumian apabila telah nyata kematian. Ini berdasarkan hadith daripada Abu Hurairah ra., Nabi saw. bersabda: Segerakanlah pengurusan jenazah, kerana sekiranya ia jenazah yang baik, ia berupa kebaikan yang kamu semua segerakan kepadanya, jika jenazah itu sebaliknya, ia berupa keburukan yang dilepas oleh kamu semua.

Juga hadith daripada Sa’id al-Khudriy ra, Nabi saw. bersabda: Apabila jenazah diangkat dan dibawa oleh pembawanya, jika jenazah itu baik, ia akan berkata: Segerakanlah aku, segerakanlah aku. Jika ia jenazah yang tidak baik, dia akan berkata: alangkah binasanya, ke mana kamu semua hendak membawa aku? Suaranya itu didengari oleh setiap makhluk melainkan manusia, sekiranya manusia mendengari teriakannya, pasti mereka akan jatuh pengsan.

Hukum menyegerakan pengurusan jenazah ini adalah sunat. Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini di dalam Fath al-Bari menukilkan pandangan Ibn Qudamah yang mengatakan arahan Nabi saw. menyegerakan pengurusan jenazah adalah arahan yang membawa kepada hukum sunat dan bukannya wajib, hukum sunat ini telah disepakati oleh kesemua para ulama, melainkan pandangan syaz (ganjil) Ibn Hazm yang mengatakan ia wajib.

Dibenarkan menangguhkan pengebumian jenazah selama-mana ada maslahah dan tidak menimbulkan keburukan yang lain. Sepertimana para sahabat menangguhkan pengebumian jenazah Nabi saw. disebabkan ada maslahah yang tidak dapat dielak.

8- Mengetahui kelebihan dan pahala bagi orang yang menguruskan pemandian jenazah, merahsiakan aib jenazah dan mengikhlaskan niat melakukannya kerana Allah swt. Abu Rafi’ ra. berkata, Nabi S.A.W. bersabda: Sesiapa yang memandikan (jenazah) seorang muslim dan merahsiakan keaiban yang dilihatnya, Allah mengampunkannya sebanyak empat puluh kali, dan sesiapa yang menggalikan kubur (untuk jenazah seorang muslim) kemudian mengebumikannya, diberikan pahala kepadanya seperti dia membuatkan rumah dan diberikan kepada (jenazah tersebut) sehingga ke hari kiamat. Sesiapa yang mengkafankan (jenazah seorang muslim), Allah akan memakaikan ia dengan pakaian sutera yang halus dan tebal dari syurga.

Hadith ini menunjukkan kelebihan yang amat besar untuk mereka yang ikhlas menguruskan pengurusan jenazah saudara semuslim. Mereka antara orang yang akan diberikan pakaian di akhirat pada saat semua orang bertelanjang menantikan saat pembalasan daripada Allah swt

Al-Imam Ibn Qudamah ketika mengulas tentang merahsiakan keaiban mayat berkata: Jika ia melihat sesuatu yang baik (pada jenazah) seperti tanda-tanda baik, muka yang bercahaya, wajah yang dalam keadaan senyum dan seumpamanya, disunatkan dia menceritakannya agar memperbanyakkan orang memohon rahmat untuknya, dan agar adanya galakan untuk mencontohi apa yang dilakukan oleh jenazah (ketika hidupnya)…

9- Menyedari akan kemuliaan jenazah muslim. Kedudukannya adalah sama seperti ketika hidupnya. Daripada ‘Aisyah rh. katanya, Rasulullah saw. bersabda: Sesungguhnya mematahkan tulang mayat seorang mukmin, sama seperti mematahkannya ketika hidupnya.

10- Dibenarkan mencium mayat, berdasarkan hadith daripada ‘Aisyah ra.: Rasulullah saw mencium Uthman bun Maz’uun yang telah meninggal dunia, dan baginda menangis.
Demikian juga Abu Bakar R.A. mencium jenazah Nabi saw. ketika baginda wafat seperti hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari rh. daripada ‘Aisyah dan Ibn ‘Abbas ra.: Bahawa Abu Bakar mencium Nabi saw. selepas ketika baginda wafat.

11- Bersabar dan dibenarkan menangis yang tidak dalam bentuk meratap. Kerana Nabi saw menangis dengan kematian anak baginda Ibrahim. Lalu Abdul Rahman bin Auf bertanya kepada Rasulullah saw. apabila melihat baginda menangis: Dan engkau (menangis) wahai rasulullah? Sabda Nabi saw.: Wahai Ibn ‘Auf, sesungguhnya ia adalah rahmah (kasih sayang) yang kemudiannya akan diikuti dengan yang lainnya. Baginda menyambung : Sesungguhnya mata mengalirkan air mata, dan hati bersedih. Dan kita tidak mengatakan melainkan apa-apa yang diredai oleh Tuhan kita sahaja, dan kami dengan pemergian engkau wahai Ibrahim benar-benar bersedih hati.

12- Dikebumikan mayatnya di bandar dia meninggal dunia. Jangan memindahkannya ke tempat lain. Kerana perbuatan memindahkannya ke tempat lain menyalahi arahan Nabi saw untuk menyegerakan pengkebumian mayat berdasarkan hadith riwayat Abu Hurairah dan hadith Jabir Bin Abdillah : (maksudnya) : Setelah berlaku peperangan Uhud, semua yang syahid diangkat untuk ditanam di Baqi’, tiba-tiba seorang menyeru bagi pihak Rasulullah saw, bahawasanya baginda menyuruh kamu semua mengebumikan orang yang terbunuh syahid di tempat mereka terbunuh (Uhud), selepas Ibuku telah membawa jenazah bapa dan bapa saudaraku untuk dikebumikan di Baqi’, kemudian diperintahkan untuk dikembalikan.

Dalam riwayat lain: “Kamipun mengembalikan dua mayat itu untuk dikembalikan ke Uhud.” (Tirmizi mengatakan riwayat ini Hasan dan sahih)

Al-Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar berkata: (Maksudnya): “Jika dia telah mewasiatkan untuk dipindahkan (mayatnya) ke tempat lain, jangan laksanakan wasiatnya. Jika dipindahkan juga ianya adalah haram berdasarkan mazhab yang benar dan terpilih yang telah disebut oleh ramai ulama dan yang telah dijelaskan oleh ramai para pentahkik.”

13- Warisnya segera menunaikan hutangnya dari hartanya, walau terpaksa menggunakan kesemuanya. Jika ada yang ingin membantu membayarnya tidak mengapa.
Diri seorang mukmin itu bergantung dengan hutangnya, hingga diselesaikan darinya. (Ibn Majah dan al-Tirmizi dan beliau berkata hadith ini Hasan)

14- Harus memberitahu kematian, dengan syarat tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang.

15- Bagi yang mendengar berita kematian, hendaklah mendoakan orang yang ditimpa musibah. Dan harus mengucapkan al-Istirja’

Wallahu a’lam.

( mufti.perlis.gov.my )

No comments:

Post a Comment