Thursday, February 21, 2013

Hatiku


Hatiku
yang berada antara dua jariMu
punya lintasan-lintasan rasa
membisik jiwa
ia kian ke mari memerhatikan
satu keinginan
yang melupakan takwa
dan tidaklah berpaling aku
kerana maluku padaMu
maka beralihku pada satu soal baru
atas kehendak akalku.

Dalam hatiku
ada kehalusan rasa
dengan pintu batin yang kian terbuka
lantas sering aku bertanya:
tentang alam ghaib yang tidak terpandang mata
tentang alam malakut yang istimewa
serta kesempurnaannya yang penuh rahsia
dari alam nyataku yang satu-satunya berbeza.
 
Aku tidak mahu aku tertipu
dan cahaya ini padam
langsung aku lesu
oleh keinginan dan kelazatan
seketika seketika
antara maksiat dan taat
antara setan dan malaikat
dan aku tidak mahu aku lupa
pada kesopanan dan takwa

Hatiku ini
dikuasai cinta abadi
hingga aku seperti jadi gila
mahu saja terus bicara
memohon secebis kasihMu
dan aku makin rindu
mahu bertemu denganMu.

A.Aziz Deraman
Kuala Lumpur,
21 Ogos 1978
(Kau dan Aku, DBP)

No comments:

Post a Comment