Friday, February 1, 2013

Makruh dalam solat ( 2 )


7. Solat dalam keadaan menahan air kecill dan air besar

Aisyah rha pernah menceritakan rasulullah saw bersabda : Tidak sempurna solat di hadapan makanan dan begitu juga ketika terdesak untuk membuang air kecil dan air besar.
(Riwayat Muslim dalam sahih Muslim)

8. Solat dalam keadaan terlalu mengantuk

Aisyah menyatakan telah bersabda rasulullah saw : Apabila seseorang itu mengantuk ketika hendak mengerjakan solat hendaklah dia tidur sehingga rasa mengantuknya hilang. Kerana jika seorang yang mengantuk bersolat dia tidak mengetahui mungkin ketika hendak memohon keampunan (istighfar) dia sebaliknya memaki dirinya.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

Abu Hurairah juga mengatakan rasulullah saw telah bersabda : Sekiranya seorang bangun tengah malam tetapi dia tidak dapat membaca al-Quran dengan betul (kerana mengantuk) sehingga dia tidak mengetahui apa yang disebutnya, hendaklah dia berbaring (tidur).
(Riwayat Muslim)

Syarat-syarat mendahulukan tidur sebelum solat :

1. Waktu masih panjang
2. Yakin bangun semula pada masanya
3. Bertujuan menyegarkan badan

9. Meludah ke hadapan atau ke sebelah kanan

Ketika bersolat, seseorang itu sedang bermunajat kepada Tuhannya, atau Tuhannya berada di antaranya dan kiblat. Oleh itu, jangan kamu meludah ke arah kiblat, tetapi ludahlah ke kiri dan di bawah tapak kaki.
(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban meriwayatkan sebuah hadis marfu’ daripada Huzaifah, menyatakan siapa yang meludah ke arah kiblat, di akhirat kelak dia akan dibangkitkan dengan air ludah itu di mukanya. Perkara yang sama diceritakan oleh Ibn Khuzaimah dalam hadis Ibn Umar yang marfu’.

Abu Daud juga ada meriwayatkan sebuah hadis daripada al-Said bin Khallad bahawa seorang atau sekumpulan orang telah meludah ke arah kiblat ketika bersolat. Setelah selesai solat, rasulullah saw menegur dengan menyatakan solat mereka tidak sah atau tidak sempurna. Baginda juga mengatakan mereka telah menyakiti Allah dan rasulNya dengan perbuatan tersebut.

10. Menguap dalam solat.

a) Menguap itu adalah daripada syaitan. Oleh itu, jika sesiapa menguap hendaklah dia menahannya sebaik mungkin.
(Riwayat  Muslim dalam sahih Muslim )

b) Jika sesiapa menguap hendaklah dia menutup mulutnya dengan tangan. Sebab syaitan akan masuk (ke dalam mulut jika tidak menutupnya)
(Riwayat Muslim daripada Said al-Khudri)

11. Rukuk sebelum sampai ke saf

Oleh kerana lewat tiba, ada yang tergesa-gesa memulakan solat agar sempat rukuk bersama imam. Ia rukuk sebelum benar-benar masuk dalam saf. Perbuatan ini tidak disukai rasulullah saw sebagaimana yang berlaku kepada Abu Bakrah. Baginda menegur perbuatannya dengan berkata : Semoga Allah menambah kegigihanmu dan jangan sekali-kali kamu mengulanginya.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

12. Memakan makanan yang mengeluarkan bau busuk sebelum solat

Diriwayatkan daripada Jabir b Abdullah ra bahawa rasulullah saw  bersabda :
Sesiapa yang makan bawang putih atau bawang merah hendaklah dia menjauhi kami atau jauhi masjid kami, dan dia hendaklah duduk di rumahnya.
(Riwayat al-Bukhari)

13. Bermain-main dengan jari dan membunyikannya (mematahkannya)

Apabila seorang berwuduk, hendaklah dia berwuduk dengan sempurna. Kemudian terus keluar ke masjid dan tidak menjalinkan jari-jarinya ketika dia sedang solat.
(Riwayat al-Tirmizi daripada Ka’ab bin ’Ujrah dalam sunan al-Tirmizi)

14. Mengkhususkan satu tempat di dalam masjid untuk menunaikan solat

Abdul Rahman b Syibl telah berkata : Rasulullah saw menegah (sujud seperti) patukan burung gagak, (duduk seperti) duduk haiwan, dan seorang yang menetapkan satu tempat di dalam masjid seperti unta yang ditambat.
(Riwayat Abu Daud)

Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan larangan ini adalah untuk mengelakkan sikap riyak, ujub dan gah dengan menetapkan tempat khas untuknya.

Wallaahu a’lam.

Ensiklopedia solat; Datuk Hj Md Hashim Yahaya

No comments:

Post a Comment