Showing posts with label Ensiklopedia. Show all posts
Showing posts with label Ensiklopedia. Show all posts

Saturday, February 2, 2013

Mandi sunat


Mandi bagi perempuan yang istihadah setiap kali hendak solat

Berdasarkan hadis Ummu Habibah rha yang keluar darah istihadah, lalu bertanya kepada rasulullah saw dan baginda menyuruhnya mandi. Lalu dia mandi pada setiap kali solat.

Terdapat hadis daripada Aisyah rha bahawa Zainab bt Jahsy rha telah keluar darah haid, lalu rasulullah saw berkata kepadanya : Mandilah untuk setiap solat.
(Hadis Abu Daud dan Ibn Majah)

Diharuskan menghimpunkan dua solat dengan sekali mandi, iaitu menghimpunkan solat Zuhur dan Asar serta Maghrib dan Isyak.

Berdasarkan hadis daripada Aisyah rha bahawa Sahlah bt Suhail b Amru telah keluar darah istihadah. Lalu dia bertanyakan rasulullah saw tentang perkara ini dan baginda menyuruhnya mandi untuk setiap solat.

Tetapi apabila perkara itu membebankannya, baginda menyuruhnya untuk menghimpunkan di antara Zuhur dan Asar, Maghrib dan Isyak dengan sekali mandi, dan Subuh pula sekali mandi,
(Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Wallaahu a’lam.

Ensiklopedia solat; Datuk Hj Md Hashim Yahaya

Ya Allah, jadikanlah  saudara-saudara kami mereka yang beroleh kebaikan dan bertakwa kepadaMu serta  yang akan bertakbir di tempat yang tinggi.  Rapatkanlah bumi, dekatkanlah jaraknya dan mudahkan perjalanan mereka. Engkaulah pendamping dalam perjalanan dan pengganti kepada keluarga yang ditinggalkan. KepadaMulah sahaja kami memohon perlindungan daripada kesulitan perjalanan, pemandangan yang menyedihkan dan kembali yang buruk pada harta dan keluarga. Aameen.

Friday, February 1, 2013

Makruh dalam solat ( 2 )


7. Solat dalam keadaan menahan air kecill dan air besar

Aisyah rha pernah menceritakan rasulullah saw bersabda : Tidak sempurna solat di hadapan makanan dan begitu juga ketika terdesak untuk membuang air kecil dan air besar.
(Riwayat Muslim dalam sahih Muslim)

8. Solat dalam keadaan terlalu mengantuk

Aisyah menyatakan telah bersabda rasulullah saw : Apabila seseorang itu mengantuk ketika hendak mengerjakan solat hendaklah dia tidur sehingga rasa mengantuknya hilang. Kerana jika seorang yang mengantuk bersolat dia tidak mengetahui mungkin ketika hendak memohon keampunan (istighfar) dia sebaliknya memaki dirinya.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

Abu Hurairah juga mengatakan rasulullah saw telah bersabda : Sekiranya seorang bangun tengah malam tetapi dia tidak dapat membaca al-Quran dengan betul (kerana mengantuk) sehingga dia tidak mengetahui apa yang disebutnya, hendaklah dia berbaring (tidur).
(Riwayat Muslim)

Syarat-syarat mendahulukan tidur sebelum solat :

1. Waktu masih panjang
2. Yakin bangun semula pada masanya
3. Bertujuan menyegarkan badan

9. Meludah ke hadapan atau ke sebelah kanan

Ketika bersolat, seseorang itu sedang bermunajat kepada Tuhannya, atau Tuhannya berada di antaranya dan kiblat. Oleh itu, jangan kamu meludah ke arah kiblat, tetapi ludahlah ke kiri dan di bawah tapak kaki.
(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban meriwayatkan sebuah hadis marfu’ daripada Huzaifah, menyatakan siapa yang meludah ke arah kiblat, di akhirat kelak dia akan dibangkitkan dengan air ludah itu di mukanya. Perkara yang sama diceritakan oleh Ibn Khuzaimah dalam hadis Ibn Umar yang marfu’.

Abu Daud juga ada meriwayatkan sebuah hadis daripada al-Said bin Khallad bahawa seorang atau sekumpulan orang telah meludah ke arah kiblat ketika bersolat. Setelah selesai solat, rasulullah saw menegur dengan menyatakan solat mereka tidak sah atau tidak sempurna. Baginda juga mengatakan mereka telah menyakiti Allah dan rasulNya dengan perbuatan tersebut.

10. Menguap dalam solat.

a) Menguap itu adalah daripada syaitan. Oleh itu, jika sesiapa menguap hendaklah dia menahannya sebaik mungkin.
(Riwayat  Muslim dalam sahih Muslim )

b) Jika sesiapa menguap hendaklah dia menutup mulutnya dengan tangan. Sebab syaitan akan masuk (ke dalam mulut jika tidak menutupnya)
(Riwayat Muslim daripada Said al-Khudri)

11. Rukuk sebelum sampai ke saf

Oleh kerana lewat tiba, ada yang tergesa-gesa memulakan solat agar sempat rukuk bersama imam. Ia rukuk sebelum benar-benar masuk dalam saf. Perbuatan ini tidak disukai rasulullah saw sebagaimana yang berlaku kepada Abu Bakrah. Baginda menegur perbuatannya dengan berkata : Semoga Allah menambah kegigihanmu dan jangan sekali-kali kamu mengulanginya.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

12. Memakan makanan yang mengeluarkan bau busuk sebelum solat

Diriwayatkan daripada Jabir b Abdullah ra bahawa rasulullah saw  bersabda :
Sesiapa yang makan bawang putih atau bawang merah hendaklah dia menjauhi kami atau jauhi masjid kami, dan dia hendaklah duduk di rumahnya.
(Riwayat al-Bukhari)

13. Bermain-main dengan jari dan membunyikannya (mematahkannya)

Apabila seorang berwuduk, hendaklah dia berwuduk dengan sempurna. Kemudian terus keluar ke masjid dan tidak menjalinkan jari-jarinya ketika dia sedang solat.
(Riwayat al-Tirmizi daripada Ka’ab bin ’Ujrah dalam sunan al-Tirmizi)

14. Mengkhususkan satu tempat di dalam masjid untuk menunaikan solat

Abdul Rahman b Syibl telah berkata : Rasulullah saw menegah (sujud seperti) patukan burung gagak, (duduk seperti) duduk haiwan, dan seorang yang menetapkan satu tempat di dalam masjid seperti unta yang ditambat.
(Riwayat Abu Daud)

Ibn Hajar al-Asqalani menjelaskan larangan ini adalah untuk mengelakkan sikap riyak, ujub dan gah dengan menetapkan tempat khas untuknya.

Wallaahu a’lam.

Ensiklopedia solat; Datuk Hj Md Hashim Yahaya

Thursday, January 31, 2013

Makruh dalam solat ( 1 )


1. Memalingkan muka ketika solat, melainkan kerana keperluan

a) Diriwayatkan daripada Abu Zarr ra bahawa rasulullah saw bersabda : Allah Azzawajalla sentiasa menghadap hambaNya ketika dia bersolat dan tidak akan berpaling.Jika dia berpaling, Allah juga akan berpaling daripadanya.
(Riwayat Abu Daud dalam Sunan Abi Daud)

b) Aisyah ra meriwayatkan bahawa dia pernah bertanya rasulullah saw tentang hakikat berpaling. Jawab Rasulullah : Ia adalah satu bentuk kecurian yang dilakukan oleh syaitan terhadap solat seorang hamba.
( Riwayat al-Bukhari dalam shahih al-Bukhari)

2. Memandang ke langit

Riwayat al-Bukhari daripada Anas b Malik ra bahawa rasulullah saw  bersabda : Mengapakah kaum-kaum ini mengangkat pandangan mereka ke langit ketika solat? Baginda mengeraskan suaranya sehingga baginda bersabda : Sama ada mereka  berhenti berbuat demikian atau pandangan mereka akan disambar.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

3. Meletakkan kedua-dua lengan di atas lantai ketika sujud

Anas ra menyatakan rasulullah saw bersabda : Betulkanlah (kedudukan) kamu semua ketika sujud dan jangan seseorang daripada kamu meletakan kedua-dua lengannya (di atas tanah) seperti anjing (meletakkan kakinya di atas tanah ketika duduk).
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

4. Memandang ke arah sesuatu yang melalaikannya daripada solat

Aisyah rha menceritakan bahawa rasulullah saw pernah mengerjakan solat di atas sehelai kain hitam bersegi empat yang bergambar. Selesai solat, baginda bersabda : Bawalah kainku ini kepada Abu Jahm dan datangkanlah kepada ku kain tebal kepunyaan Abu Jahm. Sesungguhnya kain (kepunyaanku) tadi telah melalaikan aku daripada solatku sebentar tadi.
(Riwayat al-Bukhari)

5. Bercekak pinggang atau berpeluk tubuh

Daripada Aisyah ra bahawa rasulullah saw  tidak senang apabila seseorang meletakkan tangannya di pinggang dalam solat dan baginda berkata : Sesungguhnya orang Yahudi melakukan sedemikian.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

6. Solat ketika makanan telah dihidangkan

a) Aisyah rha melaporkan rasulullah saw pernah bersabda : Sekiranya makan malam telah dihidangkan sedangkan iqamat untuk solat juga telah dilaungkan, dahulukan makan malam.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

b) Abdullah b Umar telah meriwayatkan bahawa rasulullah telah bersabda: Jika seorang itu sedang makan, janganlah dia tergesa-gesa (menghabiskan makanannya) sehingga dia benar-benar selesaikan keperluannya), walaupun pada waktu itu iqamat telah dilaungkan.
(Riwayat al-Bukhari dalam sahih al-Bukhari)

Syarat-syarat mendahulukan makan sebelum solat :

1. Makanan benar-benar telah dihidang
2. Terlalu lapar
3. Waktu masih panjang.

Ensiklopedia solat; Datuk Hj Md Hashim Yahaya