Tinta Penulis
Menyingkap kembali sejarah lama saya, kejayaan yang dikecapi kini adalah
hasil usaha perit jerih serta doa yang tidak henti-henti daripada arwah ibu,
Mariam Mat Maarif.
Berlatar belakangkan keluarga miskin selepas kematian ayah tersayang, saya
dan dua lagi beradik membesar di bawah asuhan ibu. Disebabkan tidak mahu terus hidup dalam kepompong
kemiskinan, saya bertekad untuk berubah nasib keluarga.
Hingga kini masih tergiang-giang pesanan arwah ibu, kita orang miskin mesti rajin, jangan sombong
dan jangan kedekut. Itulah sebaris ayat yang menjadi pendorong dan
iltizam saya untuk mengeluarkan keluarga dari kepompong kesusahan.
Ibu selalu menasihati saya agar menjadi anak yang baik, ibu tidak pernah
memukul kerana menurutnya, berdosa memukul anak yatim. Tapi jika saya jadi
jahat, ibu turut mendapat dosa. Kata-kata itulah yang saya pegang hingga kini.
Walaupun hidup dalam serba kekurangan, namun kami tidak pernah menagih
simpati untuk mendapatkan rezeki. Apa yang ada akan dikongsi bersama.Jika tiada
makanan, berlaparlah. Apa yang membuatkan saya amat menyanjungi ibu ialah
keaktifannya dalam berpersatuan dengan memegang pelbagai jawatan penting.
Melihat ketokohan ibu berkomunikasi telah mendedahkan minat saya untuk menjadi
sepertinya. Dan, sejak itulah saya menanam azam untuk menjadi seorang
motivator.
Kejayaan awal saya bermula apabila memperoleh ijazah Pertama (B.A,Hons),
Sarjana (M.Ed) dan seterusnya Dr. Falsafah. Ini membuktikan bahawa kemiskinan
bukan penghalang! Pengalaman sebagai pendidik dan pensyarah pula semakin
mematangkan saya. Terpilih sebagai Jurulatih Belia Negara di peringkat
kebangsaan dan antarabangsa, pembimbing rakan sekerja Kementerian Pendidikan
dan Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa (cawangan Malaysia) semakin
memberi ruang untuk saya menerokai pengalaman dalam dunia motivasi ini.
Saya terus melangkah....mengendalikan ratusan kursus, bengkel dan ceramah
Komunikasi Berkesan, Ketrampilan Diri dan Kekeluargaan. Setiap kali diundang
oleh media elektronik dan media cetak, saya akan memberi yang terbaik. Saya
cuba pastikan agar setiap patah kata tidak menyinggung si penerima. Kini, diam
tidak diam, sudah suku abad saya berkecimpung dalam bidang yang saya minati
ini. Alhamdulillah...saya amat bersyukur di atas segala limpah rezekiNya.
Mudah-mudahan sedikit ilmu kurniaanNya ini dapat saya manfaatkan demi kebaikan
semua.
Wallaahu a’lam.
No comments:
Post a Comment