Kemuliaan Al-Quran
91. Ayat-ayat yang benar itu (Al-Quran) diturunkan dari Allah yang Maha
Pengasih. Ia adalah sifat yang qadim bagi Allah.
92. Sifat yang qadim itu tidaklah terbatas dengan sebarang zaman. Ia
memberitahu tentang hari pembalasan dan juga tentang kaum Aad dan kaum Iram
(yang telah dibinasakan Allah).
93. Al-Quran itu mukjizat yang kekal sepanjang zaman maka ia melebihi semua
mukjizat nabi-nabi lain yang tidak kekal.
94. Kandungannya jelas dan tepat sehingga sudah tidak ada sebarang keraguan
dan sudah tidak diperlukan hakim lain untuk memutuskan perselisihan.
95. Tiada siapa yang cuba memusuhinya kecuali ia akan kalah dalam
pertarungannya. Walaupun ia musuh yang paling pandai, ia tetap akan menyerah
kalah di hadapannya.
96. Ketinggian bahasanya menolak rekaan pencabarnya, bagaikan suami yang
sangat cemburu menolak tangan sesiapa yang cuba mengusik isterinya.
97. Makna yang terkandung di dalamnya laksana ombak laut yang tak pernah
putus. Sementara mutiara-mutiara hikmah yang simpan di dalamnya jauh lebih
berharga dan lebih indah dari mutiara-mutiara yang ada di dasar laut.
98. Keajaibannya tak dapat dibilang dan dihinggakan sementara para
pembacanya tak akan merasa jemu dari memperbanyak bacaannya.
99. Sejuklah mata orang yang membacanya. Lalu aku berkata baginya :
Sesungguhnya engkau telah berjaya mendapatkan tali Allah, maka peganglah
kuat-kuat.
100. Jika engkau membacanya kerana takut dari panas api neraka, sudah tentu
engkau akan dapat memadamkannya dengan airnya yang sejuk.
101. Al-Quran itu laksana telaga Al
Hayat yang dapat memutihkan muka-muka orang yang berdosa yang telah menjadi
hitam legam laksana arang.
102. Al-Quran itu laksana titian
pada lurusnya dan laksana neraca amal
pada adilnya, maka keadilan di tengah-tengah masyarakat tak akan tertegak kecuali
hanya daripadanya.
103. Janganlah pula engkau merasa hairan apabila masih ada pengasut yang
mengingkari kebenarannya. Ia hanya pura-pura tidak mengerti, padahal ia adalah
seorang yang cerdik dan mengerti keagungan Al-Quran.
104. Sama halnya dengan mata orang yang sakit. Ia akan mengingkari cahaya matahari. Manakala
mulutnya pula tidak dapat menelan air yang sedap.
Al Imam Muhammad bin Said
Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah
No comments:
Post a Comment