Istighfar (meminta
ampun) dan tawassul (berdoa dengan keberkatan baginda)
140. Kupersembahkan puji-pujian in keharibaan baginda, semoga Allah
mengampuni dosa umur yang telah disia-siakan dalam menggubah syair dan
berkhidmat yang tak kena pada tempatnya.
141. Aku sebenarnya telah terperangkap dalam puji dan khidmat yang sia-sia,
sehingga aku sangat bimbang akan akibat buruk perbuatanku itu, seoalah-olah aku
seekor binatang korban yang sudah sedia untuk disembelih.
142. Aku sebenarnya hanya memperturutkan bisikan alam remaja sahaja. Maka
sekarang ini telah hilanglah segala-galanya. Yang tinggal hanyalah dosa dan
penyesalan.
143. Alangkah ruginya perniagaan orang
yang tidak mahu membeli agama dengan dunia dan sama sekali tidak mahu
berusaha ke arah itu.
144. Sesiapa yang menjual agamanya untuk mendapatkan dunia, sudah tentu ia
akan tertipu dalam perniagaannya.
145. Andainya aku mengerjakan dosa maka hubunganku dengan baginda masih
belum rapuh dan tali ikatan pun masih belum terputus.
146. Kerana bagiku ada satu jaminan apabila namaku juga Muhammad. Dan
baginda itu adalah makhluk yang paling menyempurnakan janji.
147. Kalau bukan baginda yang akan memberi syafaat kepadaku pada hari
kiamat nanti, maka katakanlah : Wahai alangkah ruginya orang yang tergelincir
kakinya.
148. Rasanya, tak mungkin baginda menolak orang yang mengharapkan
kemurahannya dan tak mungkin baginda menghampakan orang yang meminta
perlindungan daripadanya.
149. Sejak kutumpukan fikiranku untuk memuji baginda, aku dapat merasakan
bahawa hanya bagindalah yang paling kuharapkan untuk keselamatanku di akhirat
kelak.
150. Kiranya, aku yang kerdil ini tidaklah akan terluput dari kemurahan
baginda, kerana hujan itu akan jatuh ke seluruh permukaan bumi baik yang tinggi
ataupun yang rendah. Maka akan tumbuhlah bunga yang harum mewangi.
151. Aku tak pernah memahukan apa jua ganjaran dunia dari madahku, seperti
halnya Zuhair yang mengaut harta kekayaan apabila ia memuji Raja Harim bin
Sinan.
Al Imam Muhammad bin Said
Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah
No comments:
Post a Comment