Sunday, December 2, 2012

Syair Mungkir Janji


Tuan berjanji berpegang tangan
mengaku bersama menyingsing lengan
tidak peduli tegah dan jangan
umpama sungai tiada halangan.

Tetapi akhirnya apalah sudah
beberapa lama tangan menadah
rupanya tuan meluahkan ludah
umpama biawak bercabang lidah.

Tidakkah ingat tuan berkata
mahu bersama hina dan leta
daripada hidup berputih mata
biarlah tulang tercampak ke kota.

Tidakku sangka tuan tak ingat
umpama lebah membuang sengat
bila terasa api yang hangat
lekas benar tuan merengat.

Kalau begitu aku berpesan
riwayat kita hapuskan kesan
supaya tidak berhati bosan
hilang segala resah dan resan.


Puisi tradisional

No comments:

Post a Comment