Fatwa mengenai
garis panduan bedah siasat menurut pandangan Islam
(Kertas Mesyuarat
Jemaah Ulama’ Bil. 7/2/2006)
Kategori : Sosial
/ Syariah
1. Perbincangan isu ini bermula dengan pembentangan kertas kerja oleh
setiausaha dan mesyuarat dimaklumkan bahawa Fatwa mengenai hukum bedah siasat
mayat telah dikeluarkan pada tahun 1989. Fatwa tersebut mengatakan bahawa bedah
siasat terhadap mayat orang Islam adalah diharuskan dalam keadaan dharurat.
2. Bagi melaksanakan bedah siasat ini satu garis panduan perlu dikeluarkan
kepada pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya.
3. Setelah membincangkan kertas kerja ini, mesyuarat bersetuju
mengeluarkan garis panduan untuk melaksanakan bedah siasat terhadap mayat
seperti berikut :
1. Menghormati,
menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia.
Semua Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam proses
bedah siasat hendaklah menghormati mayat seperti manusia yang masih hidup.
Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan
kehormatan orang yang telah mati
sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam
melarang seseorang menganiayai seseorang
yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka.
Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 70 yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan
anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan
di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari
benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan
selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan.
2. Menyegerakan
urusan bedah siasat mayat
Urusan bedah siasat mayat hendaklah dijalankan dengan segera supaya selaras
mengikut kehendak syarak yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera,
sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra berkata: Rasulullah
saw telah bersabda, maksudnya : Segeralah
penyelesaian menguruskan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka
bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang
tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu.
3. Kebenaran waris
i. Bagi kes-kes klinikal (clinical
post mortem), Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada
waris untuk melakukan bedah siasat.
ii. Bagi kes-kes medicolegal post
mortem, kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.
4. Memulakan bedah
siasat mayat dengan membaca Bismillah.
Pegawai dan petugas perubatan kerajaan yang beragama Islam hendaklah
memulakan tugas menjalankan bedah siasat mayat dengan membaca Bismillah. Sabda
Rasulullah saw ertinya : Setiap urusan
yang mempunyai tujuan yang tidak dimulai dengan Bismillah dianggap terputus.
5. Mengucapkan
Alhamdulillah selepas selesai tugas bedah siasat mayat
Pegawai dan petugas perubatan kerajaan yang beragama Islam hendaklah
mengakhiri tugas bedah siasat mayat dengan mengucapkan Alhamdulillah, semoga
tugas yang dilaksanakan mendapat keredhaan dan kerahmatan daripada Allah Taala.
6. Melakukan bedah
siasat dengan cermat (tidak kasar)
Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan
kehormatan dan kemuliaan mayat. Hadis Rasulullah saw, maksudnya : Dari Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda;
Memecahkan / mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya / mematahkannya
sewaktu hidupnya.
7. Menjalankan
bedah siasat mayat dalam suasana yang tenang
Sewajarnya pembedahan mayat dilakukan dalam suasana yang tenang dan tidak
ada gangguan bunyi bising bagi menghormati dan memuliakan mayat.
8. Menjaga had
bedah siasat mayat berdasarkan dharuriyat (keadaan mendesak) dan haajiyat
(keperluan).
Dharuriyat dan haajiyat menjadi sebab untuk mengharuskan tindakan bedah
siasat ke atas mayat. Islam menolak perkara yang boleh membawa kemudharatan
sebaliknya mengharuskan perkara yang mendatangkan kebaikan, Setiap tindakan untuk menghindarkan kemudharatan adalah suatu
suruhan dan galakan serta bersesuaian dengan matlamat Islam iaitu untuk menjaga
dan memelihara maslahah kehidupan. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw
yang bermaksud : Tidak mudharat dan tidak
memudaratkan.
Selain itu, menurut kaedah fiqhiyah juga menyebut yang bermaksud : Perkara-perkara yang dharurat mengharuskan
perkara-perkara yang dilarang. Bedah siasat mayat tanpa sebab dharuriyat
dan haajiyat adalah dilarang dalam Islam kerana perbuatan tersebut menganiayai
mayat.
9. Melakukan bedah
siasat mayat setakad yang diperlukan sahaja
Bedah siasat mayat yang dilakukan tidak boleh melampaui batas atau had
rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah
haram. Oleh itu, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota
mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan dan mengenal
pasti sebab kematian. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu perkara dharurat adalah dikira mengikut
kadarnya.
Buletin Mufti Bil 1/2012 (ms 6-7)
Jabatan Mufti Negeri
Kelantan
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteAssalamu'alaikum wbt.
ReplyDeleteSalam ziarah. =)
Mohon izin utk share artikel sbgai bahan rujukan saya. syukran jiddan.