Wednesday, December 26, 2012

Bedah siasat mayat orang Islam (sambungan)


10. Menjaga aurat mayat

Orang yang melakukan bedah siasat mayat hendaklah tidak boleh dengan sengaja melihat aurat mayat kecuali pada kadar yang diperlukan sahaja. Diriwayatkan dari Saidina Ali KMJ, Rasulullah saw bersabda yang maksudnya : Janganlah kami nyatakan (perlihatkan) pahamu, dan janganlah kamu memandang kepada paha orang hidup dan orang mati.

Mayat seboleh-bolehnya diuruskan oleh petugas dari jantina yang sama. Kaedah ini merujuk kepada keputusan Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami (Islamic Fiqh Academic) di Brunei Darussalam pada 21-27 Jun 1993 mengenai wanita yang ingin mendapatkan rawatan perlu mengikut keutamaan berikut:
a) Doktor perempuan muslim pakar
b) Doktor perempuan bukan muslim pakar
c) Doktor lelaki muslim pakar
d) Doktor lelaki bukan muslim pakar

   Islam mengharuskan rawatan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya dengan syarat-
   syarat seperti berikut :
   a) Tidak bersendirian
   b) Menahan pandangan mata
   c) Menyentuh di tempat berkaitan
   d) Menyediakan doktor pakar mengikut jantina

11. Menjaga rahsia mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam bedah siasat mayat hendaklah menyimpan rahsia mayat, iaitu tidak mengaibkan dan tidak mendedahkan keadaan mayat kepada pihak yang tidak berkenaan.

12. Tidak menghina, mencemuh dan memaki mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan kerajaan yang terlibat dalam pengendalian mayat tidak boleh menghina, mencemuh atau memaki mayat. Hadis Rasulullah saw, maksudnya : Dari Ibnu Umar telah berkata : Sabda Rasulullah saw : Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka.

13. Menjaga kebersihan

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang menjalankan bedah siasat mayat hendaklah menjaga kebersihan diri, pakaian, peralatan dan tempat serta mayat sebelum, semasa dan selepas bedah siasat mayat.

14. Mengambil langkah-langkah keselamatan

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang menjalankan bedah siasat mayat hendaklah mengambil kira langkah-langkah keselamatan terutamanya dalam pengendalian mayat yang berisiko.


15. Menguruskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya :

i. Anggota mayat yang dibedah hendaklah dijahit semula dengan kemas.
ii. Semua organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah dikembalikan kepada mayat sebelum mayat disempurna dan dikebumikan.

iii. Bagi kes yang memerlukan kajian dan penyelidikan ke atas sampel dari mana-mana anggota mayat yang memakan masa lama (disimpan bertahun-tahun dalam makmal) kerana kekurangan pakar, penyakit masih tidak dapat dikenalpasti, kekurangan alat dan sebagainya, maka jenazah hendaklah disempurna dan dikebumikan dahulu. Manakala organ atau tisu yang diambil untuk kajian seboleh-bolehnya dikembalikan kepada waris atau pihak bertanggungjawab.

iv. Kajian dan siasatan ke atas sampel yang diambil hendaklah dijalankan dengan segera.

1. Tidak mengambil tisu atau organ mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan tidak dibenarkan mengambil mana-mana tisu atau organ daripada mayat yang dibedah siasat melainkan dengan kebenaran undang-undang (Akta Tisu Manusia 1974 – Akta 130).

2. Orang yang dibenarkan hadir semasa bedah siasat mayat.

Hanya petugas bedah siasat mayat dan pihak berkuasa yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di bilik bedah siasat semasa bedah siasat dijalankan.

Buletin Mufti Bil 1/2012 (ms 7-8)
Jabatan Mufti Negeri Kelantan

No comments:

Post a Comment