Monday, December 10, 2012

Ulasan Hakim Pantun


Malim kunong Malim Kinang
Singgah di rumah Bilal Lata
Makan sirih dengan pinang
Saya nak mulai pangkal kata

Terbang balam terbang merbah
Terbang melayap ke dalam padi
Memberi salam serta sembah
Sembah lalu malam kembali

Baju Jakun dari hulu
Anak undan di permatang tebat
Sembah ampun terlebih dahulu
Memberi salam pada nan dapat

Anak sembilang di atas langsat
Air dalam Sungai landai
Saya membilang mana nan dapat
Nan tinggal sama dipakai

Sembah hadirin sakalian!

Mengaji kepada alif
Membilang kepada esa
Warisan daripada nan tua-tua
Ada perkhabaran yang hendak dibuka
Apa perkhabarannya?
Ialah keputusan pertandingan pada malam ini

Birik-birik terbang ke semak
Dari semak terbang ke halaman
Patah sayap terbang meranti
Bersua di tanah batu
Dari yang tua kepada yang dewasa
Dari yang dewasa kepada yang muda
Dari yang muda kepada yang kecil
Patah tumbuh hilang berganti
Pusaka lama begitu juga

Sepertama tali pewaris
Kedua tali pesaka
Ketiga tali orang tua-tua
Tali pewaris tak boleh putus
Tali pesaka tak boleh diubah
Tali orang tua-tua tak boleh cacat
Sembah hadirin sekalian?
 
Penyampaian pantun sudah kami santap
Bagai pinang dengan gambir
Lengkap dengan kapur tembakaunya
Ada tanda pemanis-manis muka
Ada tanda penyedap-nyedap hati
Ada tanda penyejuk kira-kira
Ada tanda pelapang-lapang dada
Ada tanda serumpun sekaum bangsa
Ada tanda senenek dengan semoyang
Ada tanda bersih niat dikandung

Sembah hadirin sekalian?

Maka izinkan saya bercakap
Hendak menyampaikan sedikit pandangan
Tentang mutu pertandingan tadi
Saya ini bercakap kurang tahu berkata kurang pandai
Tinggi dek tulang besar dek daging
Apa yang saya sampaikan nanti
Tanda penyedap hati
Supaya jangan terasa-rasa

Soal ketepatan masa yang diberikan untuk menjual dan menjawab pantun adalah sangat penting kerana markah akan ditolak jika tidak mengikut arahan ini. Soal masa ini peserta haruslah berhati-hati.

Berkata sepatah difikiri
Berjalan selangkah jangan susut
Melangkah pelihara kaki
Melihat pelihara mata
Berkata pelihara masa

Jawapan pantun selalu tersasar daripada apa yang disoal. Jika pantun kabur cuba cari sepatah dua yang anda faham untuk diulas. Pemahaman terhadap apa yang disoal adalah perlu.

Kunci faham dua tempatnya
Pertama kalau tersangkut elok di nan tinggi
Kedua kalau terletak elok di nan besar

Persembahan tidak perlu menggunakan gaya dan nada yang berlebihan. Apa yang perlu ialah mesti ada ketulinan dalam penyampaian.

Siang bak hari
Terang bak bulan
Singkap daun tarik buah
Kupas kulit nampak isi

Latihan yang sistematik adalah perlu untuk menjadi pemantun yang hebat dan berjaya.

Nan ditulis nan dieja
Nan ditilik nan ditimbang
Nan sebaris tak lupa
Nan setitik tak akan hilang

Pemantun tidak perlu rasa terikat dengan masa yang telah ditetapkan. Jika ada rasa terikat jawapan pasti tidak sempurna. Tenang sangat juga boleh membawa padah kerana melanggar waktu yang ditetapkan. Biasakan diri untuk menjawap secara cepat setiap soalan pantun. Ada soalan ada jawap secara tepat.

Pasukan yang berjaya ialah....................................

Sebagai penutup bicara
Saya mohon keampunan
Dari hadirin sakalian
Terutama sejak saya menjadi
Hakim pada petang tadi
Maaf juga dipinta semasa aluan saya tadi
Jika ada yang kecil tak disebut nama
Yang besar tak dihimbau gelar

Keampunan juga saya pinta kepada hadirin
Kerana semasa saya menjelaskan mutu
Pertandingan pada malam ini
Jika ada saya tersalah adab
Jika ada saya tersalah cakap
Jika ada saya tersalah tempat
Jika ada saya tersalah letak
Jika ada saya tersalah tegur
Jika ada saya tersalah tingkah

Usah ditelah yang baru tegal dek barunya
Usah dibuang yang lama tegal dek dah buruk
Ambillah yang baru mana yang berguna
Pilihlah yang lama itu mana yang masih elok

Berkelok-kelok jalan ke telok
Jalan ke telok banyak kuini
Bawalah pulang mana yang elok
Tinggalkan yang buruk di dewan ini.

Dato’ Dr. Mohd Rosli  Saludin
 Seni Berpuisi

No comments:

Post a Comment