Showing posts with label Pantun. Show all posts
Showing posts with label Pantun. Show all posts

Tuesday, September 2, 2014

Pantun Tok Kenali



Pucuk paku sayur pun paku
Dimakan oleh ulamak seberang
Tengoklah aku tiliklah aku
Aku berada di tempat terang

Warisan Ilmu Tok Kenali
Mohd Yusof Cik Wook ms 67

Saturday, April 6, 2013

Rajin


Dengarlah Awang suatu rencana
Nasihatku ini amat berguna
Boleh dibawa ke mana-mana
Amalkan dia janganlah leka

Dengarkan tuan suatu madah
Nasihatku ini besar faedah
Turut olehmu jangan permudah
Kelak berbahagia hari yang ba’dah

Setengah muda menuntut ilmu
Segenap pawang habis diramu
Wang habis maksud tak bertemu
Akhirnya sia-sia terkena semu

Memanglah tok pawang itu kerjanya
Berniaga ilmu hikmat pujanya
Duitmu Awang hendak dikiranya
Sambil melakukan golok kayunya

Usahlah tuan mengharapkan jampi
Rajin dan usaha tiada tetap
Benda di tengah supaya ke tepi
Itu semuanya perkara nafi

Cubalah akalmu jikalau celik
Dapat membezakan buruk dan molek
Adakah bulat datang menggolek
Yang pipih melayang ditilik?

Tentulah tidak ayuhai Awang
Nyatalah kelebihan usaha dan wang
Yang demikian masa jangan dibuang
Ataupun usah dilepaskan peluang

Yakni masa engkau nan budak
Tuntutlah ilmu panjang dan pandak
Pergi ke sekolah janganlah tidak
Di sanalah boleh segala kehendak

Tak usahlah belajar ilmu yang karut
Hikmat guna tangkal sakit perut
Nasihatku ini segia siturut
Ke tempat yang selamat kamu menurut

Adapun ilmuku mudah sahaja
Tak payah dijampi atau dipuja
Iaitu rajin tiap-tiap kerja
Baharulah jadi apa dibaja

Rajin itu besar faedahnya
Dengan dialah mulia jadinya
Gunung yang tinggidapat diruntuhnya
Bahkan laut kering ditimbanya

Lihatlah tuan rajinnya orang
Hutan dan rimba habis diterang
Rezekinya makmur tidaklah kurang
Menjadi hina sangatlah jarang

Apabila orang rajin tabiatnya
Walau berkuli sahaja kerjanya
Nescaya naik mandur pangkatnya
Itulah selalu balasan baginya

Ingatlah lagi aku berpesan
Dengan terangnya bukan kiasan
Mereka yang duduk dengan kemalasan
Rugi dan sesat itu balasan

Hai kanak-kanak muda dan kuat
Rajin dan tekun lazimlah buat
Sebarang kerja janganlah lewat
Orang pun suka tidak meluat.

Za’ba, Tangga Pengetahuan

Monday, December 10, 2012

Ulasan Hakim Pantun


Malim kunong Malim Kinang
Singgah di rumah Bilal Lata
Makan sirih dengan pinang
Saya nak mulai pangkal kata

Terbang balam terbang merbah
Terbang melayap ke dalam padi
Memberi salam serta sembah
Sembah lalu malam kembali

Baju Jakun dari hulu
Anak undan di permatang tebat
Sembah ampun terlebih dahulu
Memberi salam pada nan dapat

Anak sembilang di atas langsat
Air dalam Sungai landai
Saya membilang mana nan dapat
Nan tinggal sama dipakai

Sembah hadirin sakalian!

Mengaji kepada alif
Membilang kepada esa
Warisan daripada nan tua-tua
Ada perkhabaran yang hendak dibuka
Apa perkhabarannya?
Ialah keputusan pertandingan pada malam ini

Birik-birik terbang ke semak
Dari semak terbang ke halaman
Patah sayap terbang meranti
Bersua di tanah batu
Dari yang tua kepada yang dewasa
Dari yang dewasa kepada yang muda
Dari yang muda kepada yang kecil
Patah tumbuh hilang berganti
Pusaka lama begitu juga

Sepertama tali pewaris
Kedua tali pesaka
Ketiga tali orang tua-tua
Tali pewaris tak boleh putus
Tali pesaka tak boleh diubah
Tali orang tua-tua tak boleh cacat
Sembah hadirin sekalian?
 
Penyampaian pantun sudah kami santap
Bagai pinang dengan gambir
Lengkap dengan kapur tembakaunya
Ada tanda pemanis-manis muka
Ada tanda penyedap-nyedap hati
Ada tanda penyejuk kira-kira
Ada tanda pelapang-lapang dada
Ada tanda serumpun sekaum bangsa
Ada tanda senenek dengan semoyang
Ada tanda bersih niat dikandung

Sembah hadirin sekalian?

Maka izinkan saya bercakap
Hendak menyampaikan sedikit pandangan
Tentang mutu pertandingan tadi
Saya ini bercakap kurang tahu berkata kurang pandai
Tinggi dek tulang besar dek daging
Apa yang saya sampaikan nanti
Tanda penyedap hati
Supaya jangan terasa-rasa

Soal ketepatan masa yang diberikan untuk menjual dan menjawab pantun adalah sangat penting kerana markah akan ditolak jika tidak mengikut arahan ini. Soal masa ini peserta haruslah berhati-hati.

Berkata sepatah difikiri
Berjalan selangkah jangan susut
Melangkah pelihara kaki
Melihat pelihara mata
Berkata pelihara masa

Jawapan pantun selalu tersasar daripada apa yang disoal. Jika pantun kabur cuba cari sepatah dua yang anda faham untuk diulas. Pemahaman terhadap apa yang disoal adalah perlu.

Kunci faham dua tempatnya
Pertama kalau tersangkut elok di nan tinggi
Kedua kalau terletak elok di nan besar

Persembahan tidak perlu menggunakan gaya dan nada yang berlebihan. Apa yang perlu ialah mesti ada ketulinan dalam penyampaian.

Siang bak hari
Terang bak bulan
Singkap daun tarik buah
Kupas kulit nampak isi

Latihan yang sistematik adalah perlu untuk menjadi pemantun yang hebat dan berjaya.

Nan ditulis nan dieja
Nan ditilik nan ditimbang
Nan sebaris tak lupa
Nan setitik tak akan hilang

Pemantun tidak perlu rasa terikat dengan masa yang telah ditetapkan. Jika ada rasa terikat jawapan pasti tidak sempurna. Tenang sangat juga boleh membawa padah kerana melanggar waktu yang ditetapkan. Biasakan diri untuk menjawap secara cepat setiap soalan pantun. Ada soalan ada jawap secara tepat.

Pasukan yang berjaya ialah....................................

Sebagai penutup bicara
Saya mohon keampunan
Dari hadirin sakalian
Terutama sejak saya menjadi
Hakim pada petang tadi
Maaf juga dipinta semasa aluan saya tadi
Jika ada yang kecil tak disebut nama
Yang besar tak dihimbau gelar

Keampunan juga saya pinta kepada hadirin
Kerana semasa saya menjelaskan mutu
Pertandingan pada malam ini
Jika ada saya tersalah adab
Jika ada saya tersalah cakap
Jika ada saya tersalah tempat
Jika ada saya tersalah letak
Jika ada saya tersalah tegur
Jika ada saya tersalah tingkah

Usah ditelah yang baru tegal dek barunya
Usah dibuang yang lama tegal dek dah buruk
Ambillah yang baru mana yang berguna
Pilihlah yang lama itu mana yang masih elok

Berkelok-kelok jalan ke telok
Jalan ke telok banyak kuini
Bawalah pulang mana yang elok
Tinggalkan yang buruk di dewan ini.

Dato’ Dr. Mohd Rosli  Saludin
 Seni Berpuisi

Sunday, December 9, 2012

Lambang dalam warna


Bukan kucing sebarang kucing
Kucing melata ada hajatnya
Bukan kuning sebarang kuning
Kuning raja ada daulatnya

Bukan gading sebarang gading
Gading berantai permata indah
Bukan kuning sebarang kuning
Kuning dipakai menjaga maruah

Bukan benih sebarang benih
Benih merekah nampak bijinya
Bukan putih sebarang putih
Putih ulama nampak sucinya

Bukan bertih sebarang bertih
Bertih penyemah tanda sajian
Bukan putih sebarang putih
Putih ulama tanda beriman

Bukan limau sebarang limau
Limau purut banyak buahnya
Bukan hijau sebarang hijau
Hijau datuk banyak tuahnya

Bukan rasau sebarang rasau
Rasau dijangka dibuat tikar
Bukan hijau sebarang hijau
Hijau tanda sifat yang benar.

Bukan nyiru sebarang nyiru
Nyiru penampi pengayak padi
Bukan biru sebarang biru
Biru terpuji membawa rezeki

Bukan labu sebarang labu
Labu air banyak gunanya
Bukan biru sebarang biru
Biru wazir nampak mulianya

Bukan ketam sebarang ketam
Ketam batu rasanya nikmat
Bukan hitam sebarang hitam
Hitam berpadu mengandung adat

Bukan balam sebarang balam
Balam berlari di tengah padang
Bukan hitam sebarang hitam
Hitam terpuji tanda hulubalang

Bukan tarah sebarang tarah
Tarah papan ada kiatnya
Bukan merah sebarang merah
Merah pakaian ada adatnya

Bukan lebah sebarang lebah
Lebah bersarang di pohon tinggi
Bukan merah sebarang merah
Merah terbilang tanda berani.

Tradisi

Wednesday, January 19, 2011

Berbuat Jasa Baik

Buat baik ayohai rakan
Dalam laut kamu campakkan
Jika tidak dikenal ikan
Tuhanmu tahu iakah bukan.

Hidup manusia janganlah percuma
Buatlah jasa budi utama
Lamun baiknya kekal menjelma
Si mati hidup selama-lama.

Banyakkan jasa besar dan seni
Serahkan pada Tuhan Rabbani
Jasa yang kekal wahai ikhwani
Umur yang kedua bagi insani.

( Za’ba )