Thursday, December 27, 2012

Doa Tahun Baru Masehi


Segala puji hanya untukMu Ya Allah, selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammad saw. Kepada sekalian keluarga, sahabat-sahabat dan seluruh kaum muslimin dan muslimat.

Kami berhimpun pada hari ini, bersempena Sambutan Tahun Baru Masehi, menadah tangan dengan penuh pengharapan dan rendah diri agar kami dikurniakan limpah kurnia, inayah dan riayah, taufik dan hidayah, agar kami jua dianugerahkan kesihatan, kekuatan  dan keafiatan, tekad dan azam yang tinggi untuk berjaya serta dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Bersempena dengan perhimpunan yang kami adakan ini, kami memohon supaya pengertian, falsafah serta semangat tahun baru Masehi sebagaimana Maal Hijrah semangatnya akan sentiasa hidup di hati sanubari kami. Ya Allah, gerakkanlah hati, amalan dan fikiran kami ke arah amalan makruf. Berhijrah daripada maksiat kepada taubat nasuha dan keinsafan. Berhijrah dari kekufuran nikmat kepada bersyukur. Berhijrah kepada malas kepada rajin dan sedia berkorban. Berhijrah daripada jahil kepada berpengetahuan. Berkeadaan tidak baik kepada baik, lebih baik dan terbaik mengikut petunjuk dan pimpinanMu, Ya Allah. Semoga kami dapat menempuh hidup baru dan maju ke hadapan sesuai dengan tujuan manusia dijadikan sebagai khalifah di muka bumi yang luas terbentang.

Ya Allah, kami menadah tangan kepadaMu pada waktu malam dan siang dalam keadaan kami bertawassul dengan nama-namaMu yang indah, dalam keadaan kami mengharapkan gedung rahmat yang sarat di sampingMu.Kehadiran tahun baru ini, memungkinkan kami menadah tangan memohon belas kasihanMu, pertautkanlah hubungan kemesraan dan kasih sayang kami sekental-kentalnya. Kami mengharapkan perdampingan taufik dan hidayahMu yang telah Engkau berikan kepada kami pada masa-masa yang lalu sepanjang usia kami.

Jadikanlah diri kami, hati kami serta seluruh angota badan kami memiliki jati kekuatan, sepertimana Engkau berikan kepada hamba-hambaMu  yang terpilih. Supaya kekuatan ini dapat kami gunakannya sebagai pelindung daripada segala kemungkaran, sama ada yang zahir atau yang batin. Dan dengannya kami dapat kelapangan fikiran, keindahan kehidupan, kekuatan dalam keyakinan, ketetapan dalam pegangan agama dan kebaikan untuk dri kami dan orang-orang di sekitar kami.

Ya Allah, hindarkan kami daripada segala yang merungsingkan, pemikiran yang membingungkan, pengalaman yang menyedihkan dan menyempitkan dada kami. Kurniakan kepada kami keselamatan dalam pemeliharaanMu yang dapat melindungi kami dari sebarang kejahatan, keburukan dan kerungsingan. Ya Allah, kabulkanlah permintaan kami, terimalah kepasrahan diri kami kepadaMu, Wahai Tuhan yang memberikan pertolongan kepada hamba yang meminta pertolongan, bantulah kami.

Jadikanlah lipatan tahun baru ini pembuka bagi kejayaan kami, ketenangan yang menyeluruh untuk kami dan kaum muslimin keseluruhannya untuk kami memelihara agamaMu. Hamparkan di dalamnya hamparan rahmatMu sepertimana yang Engkau berikan kepada hamba-hambaMu yang terpilih. Rahmat yang dapat menghindarkan segala kepayahan dan kerungsingan.

Ya Allah, kekalkan tahun-tahun yang akan datang dalam hidup kami dengan catatan kegembiraan, kebahagiaan dan kelapangan, supaya kami dapat rasakan dalam detik hidup kami penuh dengan keberkatan. Ya Allah, jadikanlah tahun yang akan datang semulia-mulia tahun yang Engkau berkati kami. Jadikanlah kami orang yang paling bahagia bersamaMu. Ya Allah, ampunkanlah segala kesalahan kami, dan terimalah kebaikan kami, berkatilah masa, waktu dan segala gerak-geri kami.

Ya Allah, wahai Tuhan kami, jadikanlah perhimpunan kami ini sebagai perhimpunan yang Engkau rahmati, dan perpisahan kami selepas dari majlis ini sebagai perpisahan yag terpelihara daripada sebarang bala bencana dan kemaksiatan.

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami kebaikan hidup di dunia dan di akhirat, dan selamatkan kami daripada azab api neraka. Aameen.

Adaptasi Doa Maal Hijrah
Ust Hj Muhidir b Hj Tamjis

No comments:

Post a Comment