Friday, December 28, 2012

Qasidah Burdah 1


Kerinduan kepada baginda dan negeri Madinah Al-Munawwarah

1. Apakah kerana teringat jiran yang tinggal di Dzi Salam sehingga engkau cucurkan airmata bercampur darah yang mengalir dari matamu.

2. Ataukah kerana tiupan angin kencang yang berhembus dari arah Kazhimah atau kerana sinar kilat yang membelah kegelapan malam dari Gunung Idham.

3. Kenapakah kedua matamu tetap mencucurkan airmata, walaupun telah engkau katakan : Tahanlah...........jangan menangis. Dan mengapa hatimu tetap resah dan gelisah, padahal telah engkau katakan kepadanya: Tenanglah....jangan gelisah.

4. Apakah orang yang dimabuk cinta menyangka, bahawa cinta kasih dapat disembunyikan di sebalik cucuran airmata dan kegelisahan jiwa?

5. Kalaulah bukan kerana dalamnya cinta, tidaklah akan bercucuran airmata di atas puing-puing rumah kekasih dan fikiranpun selalu melayang sehingga tak dapat tidur kerana mengingati pohon Al-Baan dan gunung Al-Alam.

6. Bagaimana hendak disembunyikan lagi suatu cinta yang telah dibuktikan oleh saksil adil, berupa cucuran air mata dan badan yang menderita menanggung rindu.

7. Rindumu sudah tak dapat disembunyikan lagi, bila telah terukir di kedua pipimu kesan merah cucuran airmata laksana ranting Anam yang bercabang dua dan bila tubuhmu kurus kerana gelisah.

8. Yah, dikeheningan malam khayalanku jauh melayang kepada kekasih, sehingga nak tidurpun susah. Begitulah sebenarnya cinta apabila telah bertapak di hati, ia akan menukarkan segala kelazatan menjadi derita.

9. Wahai orang yang mencelaku, tentang cintaku. Sepatutnya orang yang dimabuk cinta ini dimaafkan sahaja atas keterlanjurannya. Andainya engkau sedar tentang derita orang yang bercinta sudah pasti engkau tidak akan mencelanya.

10. Sebenarnya keadaanku jelas di hadapanmu dan sudah tiada satu rahsiapun yang masih tersembunyi dari mata orang-orang yang mencelaku, sebagaimana derita cintaku tiada pernah berkurang.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

No comments:

Post a Comment