Tuesday, December 25, 2012

Mufti Ketiga Kelantan


Hj  Wan Musa bin Hj Abdul Samad

Pembaharuan pemikiran Islam di Kelantan, pewaris ilmu Tuan Tabal. Ayahandanya, Syeikh Abdul Samad bin Muhammad Soleh Al Kelantani (lebih popular dengan sebutan Tuan Tabal) adalah penyebar Torikah Ahmadiah pertama di Semenanjung Melayu. Adik kepada Mufti Hj Wan Muhammad dan abang kepada Hj Abdullah Khatib (Tok Khatib Hj Lah).

Lahir di Lorong Tok Semian, Kota Bharu kira-kira dalam tahun 1292 Hijrah / 1875 Masihi. Semasa mudanya menuntut di Kota Makkah berguru dengan Syeikh Hasbullah, Syeikh Wan Ahmad bin Mohammad Zin Al-Fathoni, Syeikh Muhammad bin Ahmad Andan Indrawian dan tokoh-tokoh-tokoh lain juga. Beliau banyak mentelaah kitab serta mengikuti perkembangan siasah dunia dengan membaca akhbar / majalah dalam dan luar negeri seperti Al-Imam (1906), Al-Ikhwan (1926), Al-Munar Al-Urwah Al-Wusqa, malah pernah berutus surat dengan Maulana Ubaidillah Al-Sanadi (guru anaknya di Makkah) dan Syeikh Muhammad Rashid Ridha (Mesir).

Mesyuarat pada 19 Januari 1909 yang dipengerusikan oleh baginda Sultan Muhamad sendiri memutuskan untuk melantik Hj Wan Musa sebagai Mufti Kerajaan tetapi watikah perlantikannya diserah enam bulan kemudian bertarikh 10 Rejab 1327 (27 Julai 1909) mungkin selepas pengesahan jawatan.

Antara langkah awalnya ialah mengeluarkan fatwa tentang masalah lafaz asli, muqaranah takbiratul ihram serta kaifiatnya. Bersumberkan karangan Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdul Rahman Al-Fatoni, fatwa radikal tersebut dikeluarkan pada tahun 1327 Hijrah. Bagaimanapun ia mendapat bangkangan hebat daripada pemimpin-pemimpin kaum tua. Pendiriannya yang tegas dan pandangan islah atau pembaharuannya banyak bertelagah dengan fahaman tokoh-tokoh kaum tua; dengan alim ulama’ yang menguasai Majlis Agama Kelantan (bantah bina Masjid Kota Bharu dengan harta zakat fitrah), dengan tokoh-tokoh kaum tua yang sulit menerima pembaharuan (persoalan muqaranah sembahyang, kenduri kahwin, talqin dan lain-lain), dengan Tok Kemuning (mengenai telekong sembahyang), dengan Sheikh Muhammad Al-Azhari (tentang pemindahan / jualan harta wakaf), dengan Sultan Muhammad IV (kes harta pusaka), dan pada dekad 30-an pula dengan Mufti Hj Ibrahim serta para penyokongnya (bersabit dengan lalfiq mazhab, khususnya masalah jilatan anjing).
 
Namun beliau tetap memegang teguh dengan pendiriannya, keyakinan diri sedemikian membawa kepada peletakan jawatan pada akhir bulan Jun 1916. Beliau kemudian berulang-alik ke Negeri Terengganu di mana Menteri Besar, Dato’ Hj Ngah Muhammad bin Yusuf memberi layanan baik kepadanya. Selepas kemangkatan Sultan Muhammad IV (akhir tahun 1920-an), barulah beliau kembali menetap di Kelantan lalu mengajar di suraunya sendiri di Jalan Merbau, Kota Bharu.

Ajarannya tidak menekan pada jurusan Usuluddin, fiqh, tasawwuf semata-mata malah merangkumi falsafah, mantik, tarikh / sejarah dan lain-lain. Di bawah bimbingan tokoh ulama’ progresif ini, maka lahirlah satu angkatan ulama’ berpengaruh seperti Hj Sa’ad Kangkong, Hj Ya’kub Lorong Gajah Mati, Hj Ahmad Mahir, Maulana Abdullah Nuh Pasir Putih, Hj Ayub Kemboja, Hj Abdul Manan Sumatera, Hj Abdul Wahid Melaka, Hj Muhammad Zain Kedah / Meranti, Hj Abdul Rahman Lubuk Jambu, Hj Nik Mat Alim Pulau Melaka, Hj Nik Daud Tanah Merah, Hj Nik Soh Langgar, Hj Wan Abdul Rahman Seribong, Hj Ismail Lundang Paku serta lima orang puteranya sendiri, iaitu Hj Nik Abdullah, Hj Nik Mat Nazir, Hj Nik Mahmud, Hj Nik Muhammad Soleh dan Hj Nik Muhammad Mahyuddin.

Pada malam Ahad 22 Sya’ban 1352 bersamaan 10 Disember 1933 Hj Wan Musa bermimpi Nabi Muhammad saw. Baginda antara lainnya membenarkan Tariq Shah Wali Allah yang dipelajari oleh anak Hj Wan Musa (Hj Nik abdullah) itu sebagai  (.....jalanku dan sunnahku yang betul....)

Hj Wan Musa meninggal dunia secara mengejut pada pukul 3.00 petang Sabtu 24 ZulQaedah 1357 bersamaan 14 Januari 1939 ketika berusia 65 tahun (Hijriah) dan dikebumikan di Kubur Banggol. Antara pusaka penulisannya yang telah dicetak ialah Risalah Al-Dar Al-Nafis yang diterjemahkan daripada karangan Sidi Ibrahim al-Rashid mengenai Munaqib Sheikh Ahmad bin Idris yang selesai ditulis pada 4 Januari 1906 dan Risalah Munaqib Saidi Ibrahim bin Sheikh Salleh, karangan Sheikh Ismail Al-Nawab yang selesai diterjemah pada 1 Ogos 1906. Kebanyakan koleksi Hj Wan Musa ada tersimpan di Arkib Negara Malaysia, cawangan Kelantan.

Wallaahu a’lam.

Koleksi Mantan Mufti Negeri Kelantan Siri 1
Jabatan Mufti Negeri Kelantan

No comments:

Post a Comment