Tuesday, December 25, 2012

Mufti Kedua Kelantan


Hj  Wan Ishak bin Imam Hj Abdullah

Ahli sufi yang warak digelar (Tuk Pelanduk) kerana kepintarannya.Ayahandanya adalah seorang pembesar negeri yang berasal dari Kampong Chetok, Pasir Mas. Arwah bondanya, Hajjah Wan Minah dikebumikan di Sungai Pinang, Tumpat.

Dilahirkan di Kampong Imam Hj Abdullah, dalam Bandar Kota Bharu (sekitar tapak Bank Negara sekarang). Tarikh kelahirannya yang tepat tidak diketahui, tetapi berdasarkan ketika meninggal dianggar dalam tahun 1875 atau terkemudian sedikit. Seibu sebapanya, 9 beradik, termasuk Hj Wan Ahmad (berjawatan Qadhi) yang meninggal dunia pada waktu senja 12 Julai 1950 dan antara saudara sebapa pula; Dato’ Kaya Setia Hj Che Ismail (menantu Dato’ Tumpat yang sangat masyhur dalam sejarah Kelantan), Hj Che Sulaiman (menantu Tn Guru Hj Taib anak Tuan Padang Hj Ahmad) dan Muhammad Soleh atau Che Leh Ketam, seorang ahli sejarah tempatan.

Dibawa ke Makkah oleh ayahandanya sebelum berkhatan lagi dan pulang ke Kelantan sesudah berkahwin dan mendapat anak. Di Makkah beliau bersahabat dengan Tok Kenali, Hj Ibrahim Tuk Raja, Hj Wan Musa Hj Nik Mat (kemudiannya digelar Datik Lela Muda) dan beberapa orang lagi. Mereka bersama-sama berguru dengan Syeikh Hasbullah, Syeikh Wan Ahmad Al-Fathoni dan lain-lain.

Hj Wan Ishak terkenal alim dalam ilmu tasawwuf serta berfkiran luas. Beliau pernah bermuzakarah dengan Sheikh Tahir Jalaluddin Al-Azhari di Kota Bharu.

Murid-muridnya tidak ramai, tetapi alim-alim belaka. Antaranya: Hj Yusof b Hj Soleh (Pengasas Sekolah Pondok di Kampong Kura, Kota Bharu tetapi meninggal dunia di Yala, Thailand), Hj Che Ismail bin Che Chik (guru agama di Kampong Banggol, Kota Bharu), Hj Yaakub bin Abu Baker (guru agama di Lundang Paku) dan Hj Noh bin Ahmad (guru agama di Kampong Katong, Bachok).

Pada hari Jumaat 17 Oktober 1907 Sultan Muhammad melantiknya menjadi (khatib surau Kota Bharu) berikutan kematian Hj Nik Wan Daud. Oleh yang demikian itu, mesyuarat majlis mesyuarat negeri pada hari Isnin 5 Syawal; 1325 bersamaan 11 November 1907 yang dihadiri Raja Negeri Kelantan (Sultan Muhammad), Raja Muda, Tengku Seri Indera, Tengku Seri Maharaja, Tengku Besar, Tengku Che Abdullah serta beberapa orang pembesar  lain telah mengambil keputusan hendak melantik Hj Wan Ishak sebagai Mufti yang baru. Beliau kekal memegang jawatan sampai ke awal tahun 1909.

Sebab-sebab penamatan perkhidmatannya kurang jelas. Agenda atau buku mesyuarat pada 27 Zulhijjah 1326 (19 Januari 1909) antara lainnya menyebut: (..pasal hendak tukar Mufti Hj Ishak itu  dengan Mufti Hj Wan Musa....) dalam pada ketika itu ada juga mengaitkannya dengan kehilangan sebuah fail mahkamah yang sedang dijadikan kes perbicaraan. Namun demikian beliau sangat dihormati oleh Hj Wan Musa sehinggakan diberi kepercayaan mentashih risalah yang setebal 22 muka itu.

Beliau meninggal dunia di Kota Bharu pada petang Jumaat 25 Jamadilawal 1333 (4 April 1915) dan usianya dalam lingkungan 40 tahun. Anaknya termasuk Syeikh Abdul Hamid (Makkah), Hj Wan Muhammad Nor (meninggal di Kemboja), Nik Abdullah (meninggal 5 Julai 1957), Hj Wan Ibrahim (Pengawa Tumpat yang meninggal pada 25 November 1950) dan Hjh Wan Sofiah.

Wallaahu a’lam.

Koleksi Mantan Mufti Negeri Kelantan Siri 1
Jabatan Mufti Negeri Kelantan

No comments:

Post a Comment