Tuesday, December 25, 2012

Mufti Pertama Kelantan


Hj Nik Wan Daud atau Hj Wan Daud b Hj Wan Sulaiman

Lebih mesra dengan panggilan Pak Da Aji dan Tok Imam Hj Nik Daud. Mufti yang pertama dan imam Masjid Besar (Masjid Kayu) Kota Bharu yang keempat. Datuk sebelah bapanya (Hj Wan Osman) adalah Uning Fakih Ali yang masyhur dalam sejarah nusantara itu, manakala datuk sebelah ibunya (Pak Wan Mahmud Menteri) adalah seorang pembesar negeri pada zaman Sultan Muhammad I.

Lahir di Kota Bharu kira-kira dalam tahun 1271 Hijri / 1854 Masihi. Bersaudara dengan Tok Khatib Hj Wan Musa dan Tok Khatib Hj Wan Umar atau Nik Mar. Sezaman dengan Tok Imam Hj Che Samat Kampong Laut, Tok Khatib Hj Muhammad Said (Dato’ Seri Diraja), Tok Kemuning Tua (Hj Senik), Hj Senik Selifi, Hj Daud Kampong Menuang, Hj Pakcik Musa dan Hj Mamat Kampung Panjang. Bersahabat baik dengan Sheikh Soleh Alim dari Bahrin yang menetap di Kelantan. Lepasan Masjidilharam, Makkah Almukarramah dan seangkatan dengan Sheikh Wan Ahmad Zin Al Fathoni.

Beliau adalah seorang alim dalam ilmu fiqh dan hadis. Kuliyyah mingguannya pada setiap hari selasa mendapat sambutan hangat. Beliau gemar menyembelih dan makan daging kuda. Juga suka berkelah bersama anak isteri sehingga selama seminggu – lazimnya ke teratak peranginan beliau di Kampong Tok Lukuk yang terletak berhampiran Pantai Sabak, Kota Bharu sekarang. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini bahawa  penulis dan ahli sejarah tidak sependapat tentang tarikh tepat perlantikan beliau sebagai Mufti Kerajaan Kelantan yang pertama.

Pada 12 Safar 1312 (14 Ogos 1894), beliau mewakili Sultan Mansur untuk membeli (rumah putih) tiga tingkat milik Sheikh Muhammad Soleh Al-Kurdi, Makkah untuk dijadikan rumah wakaf kepada anak-anak Kelantan yang belajar di sana dan para pengunjung lainnya. Pada 1 November 1897, beliau menjemput Sultan Mansur, Tengku Sri Indera, kerabat dan anak-anak ke kediamannya (Kampong Atas Banggol, Kota Bharu) sempena masuk jawi anaknya. Pada 9 Jun 1900, beliau turut mengiring Raja Kelantan (kemudiannya bergelar Sultan Muhammad) yang berangkat ke Bangkok dan tiba balik pada 10 Ogos 1900. Pada zaman memegang jawatan Mufti, beliau dilantik sebagai nazir yang bertugas melawat dan membuang panji-panji yang dipacak di tempat-tempat keramat / pemujaan.

Sejak pertengahan tahun 1906, kesihatan beliau agak terganggu mengalami sakit sengal sendi (gout) dari kaki, membawa naik ke anggota bahagian atas serta demam (sakit yang amat sangat) iaitu bermula pada hari Ahad 13 Ramadhan 1325 (20 Oktober 1907).

Beliau meninggal dunia semasa masih berjawatan Mufti merangkap Imam Tua Masjid Besar Kota Bharu, iaitu pada awal malam Selasa 29 Ramadhan 1325 (4 November 1907) ketika berusia 54 tahun (hijri). Beliau di kebumikan pada hari berikutnya di kubur Banggol, Kota Bharu. Jenazahnya diziarahi Sultan Muhammad dan Raja Muda (Tengku Zainal Abidin bin Tengku Kundur).
Wallaahu a’lam.

Koleksi Mantan Mufti Negeri Kelantan Siri 1
Jabatan Mufti Negeri Kelantan

1 comment:

  1. https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWV2lZaDBldU5Mem8/view?usp=drivesdk

    Web: almawaddah.info

    Salam


    Kepada:



    Redaksi, rektor dan para akademik


    Per: 1. "Surat Terbuka Kepada PM (Surat PM)' dan 2. "Beberapa Hadis Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim yang disembunyikan".

    Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari web: almawaddah. info

    Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


    Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan



    ReplyDelete