Jihad baginda
bersama dengan para sahabatnya
118. Berita terutusnya baginda telah menggetarkan hati musuh, seperti
takutnya hati sekumpulan kambing apabila mendengar suara serigala.
119. Baginda terus sahaja menang dalam pertempurannya sehingga
musuh-musuhnya jatuh bergelimpangan laksana daging yag dicincangkan untuk
makanan binatang buas.
120. Kalau boleh, mereka lebih suka lari daripada berhadapan dengan
baginda. Mereka lebih suka seandainya badan mereka dicarik-carikkan oleh burung
helang yang besar.
121. Siang dan malam berlalu, tanpa mereka sedar berapakah hari bulannya
kerana terlampau takut, kecuali bila mereka berada di bulan-bulan haram.
122. Maka jadilah agama Islam itu laksana tetamu yang singgah di rumah
pahlawan-pahlawan yang sangat dahagakan darah musuh mereka.
123. Baginda adalah panglima yang cekap mengendalikan lautan tentera
berkuda, laku ia memukul musuhnya dengan perajurit-perajurit laksana ombak yang
menggulung.
124. Tentera yang tak kenal mundur dan hanya mencari keredhaan Allah.
Menyerang dan mengikis habis akar umbi kekufuran.
125. Dengan perjuangan mereka, Islam telah menjadi kuat dan mantap.
126. Islam selamanya akan terpelihara dengan sebaik-baik bapa (nabi saw) dan
sebaik-baik suami (nabi saw). Maka Islam tidak akan menjadi anak yatim atau
menjadi janda.
127. Mereka itu laksana gunung-ganang yang teguh, cubalah kau tanyakan pada
orang yang pernah menyerang mereka, bagaimana ketabahan mereka pada setiap
perlawanan.
128. Tanyalah pada Lembah Hunain. Dataran Badar, Bukit Uhud. Itu semuanya
tempat-tempat kematian musuh yang lebih buruk dari serangan wabak taun.
129. Penghunus-penghunus pedang putih berkilat yang telah berjaya
melumurkannya dengan darah merah setelah menetakkannya pada leher musuh yang
berambut hitam (musuh yang masih muda perkasa).
130. Mereka orang-orang yang mahir memainkan tombak sehingga tak ada yang
luput dari sasaran, laksana penulis yang mahir mempergunakan penanya sehingga
semua huruf diberikan titiknya dan tak ada satupun yang ketinggalan.
131. Cekap menggunakan senjata. Itulah keistemewaan yang membezakan mereka,
seperti pohon mawar berbeza dari pohon salam (dengan baunya yang wangi dan
indah dipandang mata).
132. Angin kemenangan sentiasa meniupkan semerbak berita kejayaan mereka,
lalu engkau sangka setiap perajurit itu laksana bunga yang masih dibalut
kelopaknya (bersangatan wanginya).
133. Kemenangan mereka ketika mengenderai kuda perang, laksana pohon yang
berakar tunjang di tanah yang tinggi. Kemantapan itu adalah kerana kukuhnya keazaman bukan kerana kuatnya tali
pengikat yang ditambatkan.
134. Gementar hati musuh apabila berhadapan dengan mereka, lalu musuh
menjadi panik dan sudah tidak dapat membezakan antara anak kambing dengan
seorang perajurit.
135. Sesiapa yang mendapat pertolongan dengan berkat pertolongan
rasulullah, maka singa yang garang di dalam hutan akan tunduk kepadanya.
136. Tidaklah engkau melihat kekasih Allah kecuali ia akan mendapat
pertolongan dengan berkat rasulullah dan tidak ada musuh Allah melainkan ia
akan dibinasakan.
137. Baginda telah menempatkan umatnya di benteng yang sangat kukuh laksana singa yang telah
membuatkan sarangnya yang kemas bagi kediaman anak-anaknya.
138. Berapa banyak ayat-ayat Allah
yang telah merebahkan musuhnya dan berapa banyak ia telah menundukkan musuh
yang degil dengan hujah-hujahnya yang jitu.
139. Cukuplah sebagai bukti yang jelas atas kehebatannya. Baginda, apabila
dadanya penuh dengan ilmu walaupun ia seorang yang ummi dan hidupnya teratur
dengan rapi walaupun ia seorang anak yatim.
Al Imam Muhammad bin Said
Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah
No comments:
Post a Comment