Saturday, December 29, 2012

Qasidah Burdah 3


Puji-pujian kepada baginda rasulullah saw

29. Aku telah menzalimi sunnah nabi saw yang telah menghidupkan kegelapan malam dengan ibadah sehingga kedua belah kakinya mengadu kesakitan kerana bengkak.

30. Baginda mengikat perutnya jika terasa sangat lapar dan baginda mengganjal perutnya yang berkulit halus itu dengan batu (bagi mengurangkan tajamnya lapar).

31. Gunung-gunung yang tinggi telah merayu menawarkan diri untuk menjadi emas, tetapi baginda enggan menerima tawaran itu seenggan-enggannya.

32. Kehidupan yang terlatih dengan penderitaan telah memperkukukkan kezuhudanya. Sesungguhnya keperluan yang mendesak masih belum dapat mempengaruhi pendirian jiwa-jiwa yang terpilih.

33. Bagaimana dunia dapat mempengaruhi baginda, sedangkan kalau bukan kerana baginda maka dunia tidak akan keluar dari ketiadaannya (ertinya: Dunia tidak akan dicipta oleh Allah swt).

34. Nabi Muhammad saw itu adalah penghulu dua alam (dunia dan akhirat), penghulu jin dan manusia dan pemimpin bangsa Arab dan bangsa Ajam (selain Arab).

35. Nabi kami yang menyuruh kebaikan dan melarang dari kemungkaran. Maka tiada seorang juapun yang lebih baik perkataannya dari baginda, sama mengatakan ya atau tidak.

36. Baginda adalah kekasih tercinta yang sangat diharapkan shafaatnya untuk menyelamatkan kita dari segala rasa kebimbangan yang menyelubungi hati.

37. Baginda mengajak umat ke jalan Allah. Maka sesiapa yang berpegang teguh dengan ajarannya, bererti ia telah berpegang teguh dengan tali yang kuat yang tidak akan terputus.

38. Baginda melebihi segala nabi, baik pada ciptaan badannya mahupun budi pekertinya. Dan mereka tidak dapat mendekatinya, baik pada ilmunya mahupun pada kemurahannya.

39. Para anbiya semuanya mengambil ilmu baginda, sama ada satu cebuk dari lautan ilmunya atau satu teguk dari limunya yang melimpah-limpah seakan-akan hujan lebat.

40. Mereka semua berada di batas-batas yang telah ditentukan, sama ada pada titik suatu ilmu ataupun hanya pada baris suatu hikmah.

41. Bagindalah nabi yang sempurna jiwa dan raganya kemudian dipilih oleh Allah, Tuhan Pencipta makhluk sebagai kekasihNya.

42. Segala keindahannya tiada tercabar maka keindahan permata yang ada padanya tak pernah dibahagikan kepada orang lain.

43. Tinggalkan cara orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung nabi mereka (Nabi Isa as) (Ertinya: Jangan katakan Muhammad itu mempunyai sifat-sifat ketuhanan). Selepas itu terserahlah kepadamu untuk memuji baginda sesuka hati.

44. Pujilah kemuliaan zatnya sesuka hatimu. Dan pujilah segala keagungannya sekehendakmu.

45. Kerana keagungan rasulullah itu tiada had baginya, lalu lidah dapat mengungkapkan segala keistimewaannya dengan bahasa yang indah.

46. Jikalau bersesuaian tanda-tanda kenabian baginda dengan kehebatan martabatnya yang sebenar sudah tentu hanya dengan menyebut namanya, tulang belulang yang sudah reput akan dapat dihidupkan semula.
47. Baginda tidak menguji kita dengan syariat yang tidak dapat difikiri oleh akal kerana baginda sangat mengharapkan keimanan kita. Oleh itu kita tidak jadi ragu dan cemas.

48. Namun demikian, makhluk adalah tetap tidak mampu memahami hakikat baginda yang sebenar. Baik yang dekat ataupun yang jauh, tiada seorang juapu yang mampu memahaminya.

49. Bagaikan matahari, nampak dari jauh seakan-akan benda yang kecil tetapi sinarannya telah dapat menumpulkan ketajaman pandangan orang yang melihatnya.

50. Bagaimana dapat diketahui hakikat baginda saw oleh kaum yang banyak tidur, hanyut dalam impian dan merasa cukup kalau sudah dapat bertemu dengan rasulullah saw melalui mimpi sahaja.

51. Kemuncak pengentahuan mereka tentang dirinya mereka hanya mampu mengatakan bahawa baginda itu seorang manusia yang merupakan sebaik-baik makhluk Allah keseluruhan.

52. Segala mukjizat yang dibawa oleh para rasul yang mulia itu adalah sebahagian dari rangkaian Nur baginda yang agung.

53. Bagindalah matahari keutamaan dan para rasul itu laksana bintang-bintang yang hanya dapat menampakkan cahayanya di saat ketiadaan cahaya matahari.

54. Alangkah mulianya diri nabi yang dihiasi akhlak terpuji. Indah pekertinya dan indah ciptaan badannya. Senyuman manis selalu tidak lekang dari bibirnya.

 55. Lembutnya bagaikan bunga, kemuliaannya bagaikan bulan purnama, kemurahannya bagaikan lautan dan cita-citanya sepanjang masa.

56. Daripada haibah yang ada pada diri baginda bila engkau melihatnya, maka seakan-akan baginda dikerumuni sepasukan tentera dan para pembantu yang banyak.

57. Apabila baginda bercakap maka percakapannya itu keluar dari mulutnya sambil diiringi oleh senyuman yang manis itu. Maka indahnya gabungan percakapan dan senyuman itu laksana mutiara indah yang kelihatan diapit oleh kulit kerangnya.

58. Tidak ada minyak wangi seharum tanah yang mengelilingi jasad baginda di dalam kubur. Maka untunglah siapa yang dapat menciumnya dan menyapukannya ke muka.

Al Imam Muhammad bin Said Al-Bushiri (608-696H)
Khazanah Banjariah

No comments:

Post a Comment