Showing posts with label Fatwa. Show all posts
Showing posts with label Fatwa. Show all posts

Friday, January 11, 2013

Maksiat dari perspektif Islam


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan  Bagi Hal  Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 yang bersidang pada 21 September 1995 telah membincangkan mengenai Maksiat Dari Perspektif Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

a) Maksiat dari segi bahasa bermakna derhaka dan dari segi istilah ialah perbuatan yang membawa dosa iaitu yang bertentangan dengan akidah, syariat dan ajaran Islam sama ada dengan melakukan larangan Allah dan Rasul atau meninggalkan suruhan Allah dan Rasulnya, dengan kata lain melakukan yang haram dan meninggalkan yang wajib. Perbuatan tersebut memberi kesan kepada kehidupan seseorang dalam akidah, syariat ataupun akhlak.

b) Jenis-jenis maksiat:

i. Maksiat kepada Allah dan Rasul iaitu meninggalkan perintahNya dan melakukan laranganNya.

ii. Maksiat terhadap makhluk iaitu maksiat terhadap manusia, maksiat terhadap haiwan dan alam sekitar, maksiat terhadap harta awam.

c) Maksiat dalam apa jua bentuk sama ada kepada Allah dan Rasul, kepada manusia dan makhluk boleh merosakkan agama, iman, akhlak, kemuliaan diri dan kesejahteraan individu, keluarga, masyarakat, negara dan umat.

(e-fatwa.gov.my)

Wednesday, December 26, 2012

Bedah siasat mayat orang Islam (sambungan)


10. Menjaga aurat mayat

Orang yang melakukan bedah siasat mayat hendaklah tidak boleh dengan sengaja melihat aurat mayat kecuali pada kadar yang diperlukan sahaja. Diriwayatkan dari Saidina Ali KMJ, Rasulullah saw bersabda yang maksudnya : Janganlah kami nyatakan (perlihatkan) pahamu, dan janganlah kamu memandang kepada paha orang hidup dan orang mati.

Mayat seboleh-bolehnya diuruskan oleh petugas dari jantina yang sama. Kaedah ini merujuk kepada keputusan Persidangan Majma’ al-Fiqh al-Islami (Islamic Fiqh Academic) di Brunei Darussalam pada 21-27 Jun 1993 mengenai wanita yang ingin mendapatkan rawatan perlu mengikut keutamaan berikut:
a) Doktor perempuan muslim pakar
b) Doktor perempuan bukan muslim pakar
c) Doktor lelaki muslim pakar
d) Doktor lelaki bukan muslim pakar

   Islam mengharuskan rawatan lelaki terhadap perempuan dan sebaliknya dengan syarat-
   syarat seperti berikut :
   a) Tidak bersendirian
   b) Menahan pandangan mata
   c) Menyentuh di tempat berkaitan
   d) Menyediakan doktor pakar mengikut jantina

11. Menjaga rahsia mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam bedah siasat mayat hendaklah menyimpan rahsia mayat, iaitu tidak mengaibkan dan tidak mendedahkan keadaan mayat kepada pihak yang tidak berkenaan.

12. Tidak menghina, mencemuh dan memaki mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan kerajaan yang terlibat dalam pengendalian mayat tidak boleh menghina, mencemuh atau memaki mayat. Hadis Rasulullah saw, maksudnya : Dari Ibnu Umar telah berkata : Sabda Rasulullah saw : Sebutlah kebaikan orang yang telah mati dan berhentilah dari menyebut keburukan mereka.

13. Menjaga kebersihan

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang menjalankan bedah siasat mayat hendaklah menjaga kebersihan diri, pakaian, peralatan dan tempat serta mayat sebelum, semasa dan selepas bedah siasat mayat.

14. Mengambil langkah-langkah keselamatan

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang menjalankan bedah siasat mayat hendaklah mengambil kira langkah-langkah keselamatan terutamanya dalam pengendalian mayat yang berisiko.


15. Menguruskan mayat dan sampel kajian (organ atau tisu) selepas bedah siasat dengan sebaik-baiknya :

i. Anggota mayat yang dibedah hendaklah dijahit semula dengan kemas.
ii. Semua organ atau tisu yang diambil untuk kajian hendaklah dikembalikan kepada mayat sebelum mayat disempurna dan dikebumikan.

iii. Bagi kes yang memerlukan kajian dan penyelidikan ke atas sampel dari mana-mana anggota mayat yang memakan masa lama (disimpan bertahun-tahun dalam makmal) kerana kekurangan pakar, penyakit masih tidak dapat dikenalpasti, kekurangan alat dan sebagainya, maka jenazah hendaklah disempurna dan dikebumikan dahulu. Manakala organ atau tisu yang diambil untuk kajian seboleh-bolehnya dikembalikan kepada waris atau pihak bertanggungjawab.

iv. Kajian dan siasatan ke atas sampel yang diambil hendaklah dijalankan dengan segera.

1. Tidak mengambil tisu atau organ mayat

Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan tidak dibenarkan mengambil mana-mana tisu atau organ daripada mayat yang dibedah siasat melainkan dengan kebenaran undang-undang (Akta Tisu Manusia 1974 – Akta 130).

2. Orang yang dibenarkan hadir semasa bedah siasat mayat.

Hanya petugas bedah siasat mayat dan pihak berkuasa yang berkaitan sahaja dibenarkan berada di bilik bedah siasat semasa bedah siasat dijalankan.

Buletin Mufti Bil 1/2012 (ms 7-8)
Jabatan Mufti Negeri Kelantan

Bedah siasat mayat orang Islam


Fatwa mengenai garis panduan bedah siasat menurut pandangan Islam
(Kertas Mesyuarat Jemaah Ulama’ Bil. 7/2/2006)

Kategori : Sosial / Syariah

1. Perbincangan isu ini bermula dengan pembentangan kertas kerja oleh setiausaha dan mesyuarat dimaklumkan bahawa Fatwa mengenai hukum bedah siasat mayat telah dikeluarkan pada tahun 1989. Fatwa tersebut mengatakan bahawa bedah siasat terhadap mayat orang Islam adalah diharuskan dalam keadaan dharurat.

2. Bagi melaksanakan bedah siasat ini satu garis panduan perlu dikeluarkan kepada pihak yang diberi tanggungjawab untuk melaksanakannya.

3. Setelah membincangkan kertas kerja ini, mesyuarat bersetuju mengeluarkan garis panduan untuk melaksanakan bedah siasat terhadap mayat seperti berikut :

1. Menghormati, menjaga hak dan kemuliaan mayat sebagai manusia.

Semua Pegawai dan Petugas Perubatan Kerajaan yang terlibat dalam proses bedah siasat hendaklah menghormati mayat seperti manusia yang masih hidup. Islam menyuruh orang yang masih hidup supaya menjaga kemuliaan, hak-hak dan kehormatan orang  yang telah mati sepertimana orang hidup tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Islam melarang seseorang  menganiayai seseorang yang lain sama ada pada diri, maruah dan harta mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 70 yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang telah Kami ciptakan.

2. Menyegerakan urusan bedah siasat mayat

Urusan bedah siasat mayat hendaklah dijalankan dengan segera supaya selaras mengikut kehendak syarak yang mewajibkan mayat diuruskan dengan segera, sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra berkata: Rasulullah saw telah bersabda, maksudnya : Segeralah penyelesaian menguruskan jenazah kerana kalau ia jenazah orang soleh maka bererti kamu menyegerakan kepada kebaikan dan apabila sebaliknya (mayat yang tidak soleh) maka bererti kamu telah melepaskan kejahatan dari bahumu.

3. Kebenaran waris

i. Bagi kes-kes klinikal (clinical post mortem), Pegawai Perubatan Kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada waris untuk melakukan bedah siasat.

ii. Bagi kes-kes medicolegal post mortem, kebenaran dari waris tidak diperlukan untuk melakukan bedah siasat.

4. Memulakan bedah siasat mayat dengan membaca Bismillah.

Pegawai dan petugas perubatan kerajaan yang beragama Islam hendaklah memulakan tugas menjalankan bedah siasat mayat dengan membaca Bismillah. Sabda Rasulullah saw  ertinya : Setiap urusan yang mempunyai tujuan yang tidak dimulai dengan Bismillah dianggap terputus.

5. Mengucapkan Alhamdulillah selepas selesai tugas bedah siasat mayat

Pegawai dan petugas perubatan kerajaan yang beragama Islam hendaklah mengakhiri tugas bedah siasat mayat dengan mengucapkan Alhamdulillah, semoga tugas yang dilaksanakan mendapat keredhaan dan kerahmatan daripada Allah Taala.

6. Melakukan bedah siasat dengan cermat (tidak kasar)

Pembedahan hendaklah dilakukan dengan cara cermat supaya tidak merosakkan kehormatan dan kemuliaan mayat. Hadis Rasulullah saw, maksudnya : Dari Aisyah ra, Rasulullah saw bersabda; Memecahkan / mematahkan tulang mayat sama seperti memecahkannya / mematahkannya sewaktu hidupnya.

7. Menjalankan bedah siasat mayat dalam suasana yang tenang

Sewajarnya pembedahan mayat dilakukan dalam suasana yang tenang dan tidak ada gangguan bunyi bising bagi menghormati dan memuliakan mayat.

8. Menjaga had bedah siasat mayat berdasarkan dharuriyat (keadaan mendesak) dan haajiyat (keperluan).

Dharuriyat dan haajiyat menjadi sebab untuk mengharuskan tindakan bedah siasat ke atas mayat. Islam menolak perkara yang boleh membawa kemudharatan sebaliknya mengharuskan perkara yang mendatangkan kebaikan, Setiap tindakan  untuk menghindarkan kemudharatan adalah suatu suruhan dan galakan serta bersesuaian dengan matlamat Islam iaitu untuk menjaga dan memelihara maslahah kehidupan. Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah saw yang bermaksud : Tidak mudharat dan tidak memudaratkan.

Selain itu, menurut kaedah fiqhiyah juga menyebut yang bermaksud : Perkara-perkara yang dharurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang. Bedah siasat mayat tanpa sebab dharuriyat dan haajiyat adalah dilarang dalam Islam kerana perbuatan tersebut menganiayai mayat.

9. Melakukan bedah siasat mayat setakad yang diperlukan sahaja
Bedah siasat mayat yang dilakukan tidak boleh melampaui batas atau had rukhsah yang dibenarkan kerana mengambil kira hukum asal menyakiti mayat adalah haram. Oleh itu, bedah siasat mayat boleh dilakukan ke atas mana-mana anggota mayat yang diyakini boleh membantu mencapai matlamat pembedahan dan mengenal pasti sebab kematian. Ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiyyah iaitu perkara dharurat adalah dikira mengikut kadarnya.

Buletin Mufti Bil 1/2012 (ms 6-7)
Jabatan Mufti Negeri Kelantan