Saturday, January 16, 2016

Pelajaran 50 .......bahagian 1

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Berkata nabi Isa ’Alaihissalam bagi ulama yang jahat yang bimbang mereka itu dengan membanyakkan harta dan menghimpunkan dunia itu, demikian katanya:

Hai ulama yang jahat, padahal kamu puasa dan kamu sembahyang dan kamu memberi sedekah padahal kamu tiada kamu berbuat akan yang disuruh oleh Allah Taala akan kamu dan kamu ajarkan akan orang yang lain akan ilmu yang tiada kamu amalkan akan dia.

Hai ulama yang jahat, sangatlah jahat yang kamu hukumkan akan dia padahal kamu taubat dengan perkataan kamu dan dengan angan-angan kamu jua dan kamu perbuat dengan mengikut hawa nafsu kamu dengan tiada mengiakan daripada kamu bahawa kamu sucikan akan kulit kamu yang zahir padahal hati kamu itu berlumur dengan najis yang batin, iaitu sangat kasih akan harta dan sangat kasih akan dunia dengan sebenar-benar yang aku kata.

Hai ulama yang jahat, jangan kamu jadikan diri kamu seperti tempat yang diayak tepung yang keluar daripadanya itu tepung yang lumat-lumat lagi baik, dan yang tinggal di dalamnya itu tepung yang kasar-kasar dan sekam dan seperti demikianlah kamu itu kamu keluarkan daripada mulut kamu itu beberapa ilmu hikmah yang halus-halus lagi baik, padahal kamu tinggal di dalam dada kamu dendam dan dengki dan kasih akan harta dan kasih akan dunia dan kasih akan kemegahan dan kasih akan masyhur dan kasih akan jadi kepala orang dan kasih akan puji oleh orang dan barang sebagainya maksiat yang batin dan segela perangai yang jahat dan segala perangai munafiq.

Hai hamba dunia, betapa mendapat akan akhirat oleh orang yang tiada menghilangkan akan dsegala keinginan itu daripada dunia dan tiada memutuskan ia akan gemarnya kepada dunia dan kamu jadikan akan dunia itu di bawah lidah kamu dan kamu jadikan akan amal kamu itu di bawah tapak kaki kamu dengan sebenar-benarnya aku kata bagi kamu.

Hai ulama yang jahat, telah kamu binasakan akan akhirat kamu, maka baik dunia kamu itu terlebih kasih kepada kamu daripada baik akhirat kamu, maka siapa manusia yang terlebih jahat daripada kamu.

Hai ulama yang jahat, adalah kamu itu seolah-olah kamu menyerukan akan orang yang mempunyai kekayaan dunia itu supaya meninggal mereka itu akan dunia mereka itu bagi kamu padahal perlahan-lahan.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

No comments:

Post a Comment