Friday, January 8, 2016

Pelajaran 49....bahagian 2

Al-Mawa’izd Al-Badi’iah

Maka ini pula bagi mereka itu lorong dirinya daripada Allah Ta’ala kemudian tiada meninggal Allah Ta’ala akan mereka itu dalam demikian hingga mengambil ia akan mereka itu kepada hakikat maklumnya dan terkadang-kadang memperhiasi ia akan mereka itu dengan pakaian ni’mat dan memperdaya ia akan mereka itu di dalam beberapa ni’mat dunia, seperti banyak harta dan anak isteri dan hamba sahaya dan sihat badan dan banyak orang yang mengikut ia daripada murid dan askar dan kasih orang kampung dan mulia daripada segala makhluk dan masyhur kepada segala negeri, maka terpedaya mereka itu dengan sebab baik keelokan dan baik kehidupan mereka itu, padahal karam mereka itu di dalam ni’mat dunia padahal menyangka mereka itu akan bahawasanya dirinya itu lengkap tiap-tiap suatu ni’mat. Maka ini bagi mereka itu istidraj daripada Allah Ta’ala padahal tiada meninggal ia akan mereka itu pada demikian tetapi mengembali ia akan mereka itu kepada hakikat maklumnya.

Bermula hati orang yang mu’min itu sentiasa dukacita ia kerana takut akan istidraj dan tiada hilanglah takutnya hingga lalai ia akan titi atas belakang neraka jahanam dan melihat akan sucinya ke dalam syurga.

Hai anak Adam, ketahui olehmu bahawasanya Allah Ta’ala membunyikan ia akan beberapa perkara di dalam beberapa perkara. Membunyikan ia akan benci dalam halimnya, yakni menahan marah dan murkanya. Dan membunyikan ia akan adil di dalam murahnya. Dan membunyi ia akan celaka di dalam beberapa bagai ni’matnya di dalam dunia. Dan membunyi akan marahnya dan murkanya di dalam bagai tutupnya. Dan membunyi ia akan penolong kepada kekasihnya di dalam tangguhnya di dalam dunia.

Dan tatkala sudah  engkau ketahui akan dia makna istidraj dan tipu Allah Ta’ala bagi hamba yang telah aku sebutkan akan dia, maka yang terlebih baik bagi hamba itu bahawa tiada berpegang ia atas banyak waktunya dan banyak kebajikannya dan banyak amalnya dan banyak ilmunya, maka beberapa daripada orang yang engkau lihat akan dia pada rupa orang yang berjalan kepada Allah padahal ia daripada Allah Ta’ala daripada orang yang ditolakkan daripada pintunya dan putus asa daripada rahmatNya padahal tiada mengetahui ia akan bahawasanya Allah Ta’ala itu terkadang memperhiasi ia akan seterunya dengan pakaian auliyanya, kemudian mengambil ia akan dia pada akhir pekerjaannya kepada seterunya jua dan terkadang mempakaian ia akan auliya’nya dengan pakaian seterunya kemudian mengambil ia akan dia pada akhir pekerjaannya kepada hakikat hampirnya jua kerana bahawasanya Allah Ta’ala itu, iaitu menzahirnya atas auliyanya akan sifat seterunya dan menzahir ia atasnya seterunya akan sifar auliyanya kemudian mengembali ia akan mereka itu kepada hakikat maklumnya, yakni diketahuinya pada azali dan terkadang memperhiasi ia akan seterunya dengan perhiasan keperliharaannya padahal ia tsabit di dalam ilmunya daripada orang yang empunya laknat Allah atasnya, yakni jauh daripada rahmat Allah kerana inilah memperhiasi oleh Allah akan Syeikh Bal’am itu dengan beberapa alamat auliya’nya dan dengan beberapa keramatnya padahal ia daripada Allah Ta’ala daripada orang yang celaka dan mengkaram oleh Allah Ta’ala Qarun itu di dalam laut ni’matnya padahal ia daripada Allah Ta’ala daripada orang yang dimurkai akan dia.

Dan barangsiapa melihat ia akan perusuhan rububiyyah pada ketika berdiri ’ubudiyyah nescaya untung ia daripada dirinya dan menerima pelihara ia dengan tolong Tuhannya dan menyerah ia segala pekerjaannya kepada Tuhannya, maka ketika itu sejahtera ia daripada bala istidraj.

Hai anak Adam, ketahui olehmu bahawasanya istidraj ahli dunia itu cenderung dan tetap kepadanya dan sentiasa berpaling daripada Allah Ta;ala. Dan istidraj ahli ilmu itu menuntut kemegahan dan menuntut martabat yang tinggi daripada makhluk. Dan istidraj ahli ijtihad itu takabbur dan ujub dengan dia. Dan istidraj murid itu melihat ia kepada pemberi dan karamah serta cenderung hati mereka itu kepadanya. Dan istidraj orang yang  arif itu menuntut kaya mereka itu dengan ma’rifah. Tiada kaya mereka itu dengan Tuhannya yang dikenal hingga jadi mereka itu bagi ma’rifah akan had dan ghayah dan nihayah. Maka mereka itu menyangka akan dirinya itu melengkapi mereka itu dengan ma’rifah.

Wallahu alam.

Syeikh Abdullah Ibnu Abdur Rahim Fathani &
Syeikh ’Abdul Ra’uf Fanshuri Acheh
Kitab Muhimmah & Al-Mawa’izd Al-Badi’iah,
Al-Hidayah, 2007

No comments:

Post a Comment