Thursday, March 7, 2013

Puisi Permata Budi (16)


Hutan di tepi kota

Tenang telang hilang
bening telah padam
unggas kehilangan sarangnya
flora dan fauna pucat warnanya.

Selama ini kau menunggu kehadiran
warga kota yang memburu ketenangan
atau pendaki ingin menawan puncak gunung
kau menabur warna damai dengan kedinginan
dengan setia melindungi rahsia bumi
memayungi tasik daripada panas mentari.

Tiba-tiba kau bertukar wajah
seorang yang rakus meruntuhkan kejujuran
seorang yang haloba menjaring keuntungan
seorang pengkhianat merancang kemusnahan
yang kini mereka berlindung dengan kata-kata
-berkhidmat untuk negara

Hutan telah dibakar
bukit menjadi padang
tasik menjadi kering
flora dan fauna turut rebah
ketika kejujuran semakin tumpah.

Sekarang ini kau menunggu keberanian
sekarang terimalah gema yang mengejutkan
semoga tidak ada yang berpaling tadah
atau membunuh keberanian itu sendiri
melindungi mereka yang bersembunyi
yang terus menjualkan hak milik bangsa sendiri.

Ahmad Sarju
Disember 1992

No comments:

Post a Comment