Wednesday, September 18, 2013

Selangor



Darul Ehsan nama diberi
Negeri maju agenda bestari
Pusat tumpuan segala industri
Semakin megah hari ke hari

Shah Alam Bandar anggerik
Indah berseri landskap menarik
Rakyatnya sopan senyum melirik
Sekali datang pasti tertarik

Bandar Klang Bandar diraja
Dikenal orang di mana sahaja
Pesat membangun tumpuan pekerja
Mencari rezeki pagi ke senja
 
Industri berat jana ekonomi
Sikap yang malas tiada kompromi
Kehendak pemimpin semua fahami
Keperluan rakyat bersama salami

Tanjung Karang lembah berbudi
Terkenal namanya tanaman padi
Rezeki melimpah serba menjadi
Rakyat bertuah kekal abadi

Selangor gerbang pintu utama
Lapangan terbang megah ternama
Daerah Sepang membangun bersama
Lambang kemajuan adil saksama

Pelabuhan Kelang semakin maju
Mantap matlamat dan hala tuju
Perdagangan pesat menjadi teraju
Ekonomi meningkat semakin laju

Cyberjaya Bandar bestari
Pengetahuan terkini dapat dicari
Melahirkan pakar berjati diri
Memupuk wibawa nilai mandiri

 Pantai Morib tempat idaman
Lautnya luas bayunya nyaman
Datanglah berehat suasana aman
Bersama keluarga taulan dan teman

Rakyat Selangor minda bermutu
Menerima kemajuan erat bersatu
Bersama pimpinan ampuh dan jitu
Tetap bertakwa Tuhan yang satu

Lembangan sawah hasilnya tinggi
Budi petani petang dan pagi
Usaha keras sangat dahagi
Untung meningkat tak pernah rugi

Hulu Selangor buminya subur
Tanaman hijau tanahnya gembur
Walau di mana benih dihambur
Hasil menjadi bukannya takbur

 Negara Tercinta
Ghazali Lateh, 2013

No comments:

Post a Comment