Monday, September 23, 2013

Jangan



Jangan patahkan ranting
jika pohon bergoyang
kerana akar yang mengasuh
tak pernah menjalarkan sikap gopoh
ke dalam urat budaya kita
sebaliknya burulah punca angin
yang mencipta getaran angkara

Jangan lemparkan joran
jika umpan tidak mengena
kerana lautan yang menghampar
adalah sarang rezeki tak terpupus
cuma perlu mengukur waktu
saat yang sesuai menurun umpan.

Jangan sarungkan keris
jika hilang bisa tajamnya
kerana semangat yang diasap
bukan dengan dupa putus asa
tapi kembalilah ke alam pengasah
belajar semula mengumpul tajam.

Jangan pecahkan atap
jika hujan mencuri masuk
kerana sebagai rumah biasa
kesempurnaan tak mungkin terjelma
tapi carilah bahagian yang rapuh
tempat membiak
zuriat kebocoran.

ABIZAI
Sang kelawar kesiangan
2010 

No comments:

Post a Comment