Thursday, March 6, 2014

Bicara buat ayah

Biarkan aku berbicara selumbar makna
yang kausisipkan di celah-celah
hirisan hidupku
betapa kau belati
yang kian digantung temali amanah
serta kerap dihempas sebongkah resah!

Kau sentiasa mengajar aku tentang
bahasa kehidupan kadangkala menyelitkan
selaut pesan tak lupa selaksa peringatan
daripada ramuan resepi pengalammu
bahawa jalan di hadapan terbentang
adalah sejarah panjang tentang dunia
yang sakit digigit kekejaman!

Katamu, jangan pernah gusar melangkah
ujian itu ribut yang menduga
cabaran itu taufan yang menerpa
jejaklah dengan kaki berani
jasad suci di atas landasan murni
moga kau jadi lelaki paling mengerti
dalam pencarian segugus sanubari!

Shafiq Azli Mohd Salleh
Tunas Cipta,DBP
Bil 3 Mac 2013

No comments:

Post a Comment