Friday, March 7, 2014

Apabila

Apabila Tuhan telah murka
Datang musibah akibat leka.

Apabila suka bertukar duka
Terimalah dengan hati terbuka.

Apabila kawan menjadi lawan
Kadangkala bertindak bagai haiwan.

Apabila sayang bertukar benci
Nama tercemar dikata dicaci.

Apabila mesra bertukar jemu
Hilang rindu bosan bertemu.

Apabila kuasa sudah hilang
Tidak dihormati sungguh malang.

Apabila kuasa sudah tiada
Kurang mesra harus waspada.

Apabila sudah tiada kuasa
Sedar diri seperti orang biasa.

Apabila sudah tiada pangkat
Segala arahan telah tersekat.

Apabila orang sudah tak suka
Ketika jumpa berpaling muka.

Apabila kita sudah bersara
Muhasabah diri kurangkan bicara.

Apabila kepercayaan telah lenyap
Hilang hormat secara senyap.

Apabila manis bertukar masam
Wajah ceria menjadi kusam.
 
Apa simpati sudah tiada
Jangan cuba mengada-ada.

Apabila kesetiaan berpaling tadah
Malang mendatang mengundang padah.

Apabila baik bertukar buruk
Mungkin berubah menjadi teruk.

Apabila gembira bertukar sedih
Batin melara jiwa pun pedih.

Apabila cinta bertukar meluat
Sayang melayang apa boleh buat.

Apabila nikmat bertukar bala
Terimalah dugaan dengan rela.

Apabila riuh bertukar sunyi
Rasa pilu sukar disembunyi.

Apabila elok sudah tersiat
Hilang kebaikan muncul maksiat.

Apabila tenang bertukar gelora
Alamat bahaya menanti sengsara.

Apabila kaya bertukar papa
Kawan setia sukar berjumpa.

Apabila senang bertukar susah
Masalah wujud berasa gelisah.

Apabila bahagia bertukar derita
Terdiam seketika tidak terkata.

Apabila ada sudah tiada
Baru insaf hendak berpada-pada.

Apabila angin menjadi rebut
Keadaan menjadi kelam-kabut.

Apabila hujan menjadi air bah
Rasa seronok bertukar gelabah.

Apabila manusia bersikap haiwan
Ikut nafsu semua mahu tawan.

Wallahu alam.

Mohd Sidek bin Mohd Dollah
Lautan kasih berpantai sayang, 2010

No comments:

Post a Comment