Sunday, June 30, 2013

Pemikiran Tuk Kenali ( 2 )



2. Walikah Tuk Kenali sebab Zuhd

Pada suatu malam gelap pekat, Tuk Kenali berjalan kaki seorang diri di lorong Wakaf Baru. Salakan  sekumpulan anjing kedengaran padanya. Sebelum itu beliau telah diberitahu tentang adanya anjing-anjing garang di kawasan itu. Beliau sebaliknya bertanya dengan tegas:  Manusia yang akan lari daripada anjing atau anjing yang akan lari daripada manusia?. Bukankah kita makhluk yang lebih?  Demikianlah. Apa yang berlaku, hanya salakan anjing yang kedengaran tanpa mampu berbuat apa-apa!

Kehidupan Tuk Kenali amat sederhana. Makan sekadar yang perlu juga pakaian, cukup dengan sehelai kain sarung sahaja. Memakai baju hanya bila perlu iaitu tatkala ke kota mengadap Sultan.

Hatinya jujur, bersih dan bertimbang rasa kepada sesama insan juga makhluk lain seperti ulat yang hidup dalam sarang kudis di kaki beliau. Dalam masa menanggung kesakitan yang membawa matinya, beliau bersabar, tidak pernah mengeluarkan kata-kata membenci atau tidak senang terhadap qadak dan qadar Allah.

Lidahnya sentiasa basah berzikir terutama dengan surah Al-Ikhlas dan berselawat. Beliau tidak mengasingkan diri dengan anak-anak juga anak-anak murid atau kerap memarahi atas kelemahan yang berpunca daripada sifat bawaan semulajadi anak-anak itu sendiri. Beliau menyakini hakikat, mereka itu tidak sama dalam segi keupayaan berfikir ( mempunyai akal yang bertingkat-tingkat – apa guna mereka dimarahi dari segi ini )

Diberitakan, pernah kawasan pondok dinaiki air sewaktu hujan lebat di musim tengkujuh tetapi segera surut. Manakala di hari kematian beliau, hujan turun dengan lebat ( membawa rahmat) tetapi air dalam liang kubur beliau segera pula kering sewaktu mayat beliau hendak dikebumikan.

Wallahu a’lam.

20 sikap dan pandangan Tuk Kenali
Abdullah Al-Qari, 1988

No comments:

Post a Comment