Monday, May 27, 2013

Doa Majlis Nuzul Al-Quran



Ya Allah, wahai Tuhan kami, terimalah doa dan amalan kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui. Dan terimalah segala taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima Taubat Lagi Maha Mengasihani. Tunjukkanlah kami dan bimbinglah kami kepada kebenaran dan menuju jalan yang lurus dengan keberkatan Al-Quran.

Ya Allah wahai Tuhan kami, hiaskanlah diri kami dengan keindahan al-Quran. Muliakan diri kami dengan kemuliaan al-Quran. Serikan kami dengan ketinggian martabat al-Quran. Pakaikan kami dengan pakaian permata al-Quran. Masukkan kami ke dalam surga dengan syafaat al-Quran. Selamatkan kami dari segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan barakah kehormatan al-Quran.

Ya Allah wahai Tuhan kami, jadikanlah al-Quran semasa hidup kami di dunia sebagai rakan dan di dalam kubur sebagai kawan yang mesra, pada hari kiamat sebagai pembantu dan sebagai cahaya penyuluh, semasa menuju syurga sebagai teman dan sebagai pelindung dan pendinding daripada bakaran api neraka.

Ya Allah, jadikan juga al-Quran untuk kami sebagai panduan dan sebagai ikutan kepada segala kebaikan, dengan limpah kurnia, kemurahan dan kemuliaanMu jua Ya Allah Tuhan Yang Maha Pemurah.

Ya Allah, tunjukkanlah kami dengan petunjuk al-Quran, selamatkan kami daripada azab neraka dengan sebab kemuliaan al-Quran, tinggikanlah darjat dan martabat kami dengan sebab kelebihan al-Quran dan hapuskanlah dosa kejahatan kami dengan sebab membaca al-Quran. Ya Allah wahai Tuhan yang empunya segala macam kelebihan dan ihsan.

Ya Allah, kasihanilah kami. Jadikanlah al-Quran sebagai pimpinan, cahaya dan hidayah kami. Ya Allah ingatkan kami apa yang kami lupa. Ajarkan kami Ya Allah tentang isi al-Quran. Kurniakan kami kelapangan untuk membaca al-Quran pada setiap waktu siang dan malam, semoga kami mendapat kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Ya Allah wahai Tuhan sekalian alam.

Ameen.Ya Rabb

Ust. Hj. Muhidir b Hj Tamjis
Senjata Mu’min

No comments:

Post a Comment