Saturday, May 25, 2013

Doa Majlis Anugerah Cemerlang



Segala puji hanya untukMu Ya Allah, selawat dan salam atas Junjungan Besar Nabi Muhammd saw. Ya Allah, kami merafa’kan kesyukuran di atas keizinanMu untuk kami berkumpul, menadah tangan dengan penuh pengharapan dan rendah hati agar kami dikurniakan limpah kurnia, inayah dan riayah,  taufik dan hidayah, agar kami dikurniakan keafiatan dan kekuatan, tekad dan azam yang tinggi untuk berjaya serta dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah dan bertanggungjawab.

Segala puji juga bagi Allah, Tuhan Semesta Alam. Yang maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah Tuhan yang kami sembah dan Engkaulah tempat kami memohon pertolongan . Tunjukkanlah kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka. Bukan jalan orang yang Engkau murkai dan bukan pula jalan orang yang sesat.

Sesungguhnya kecemerlangan menjadi tuntutan dalam ajaran agamaMu, kualiti dan kecemerlangan jugalah tuntutan RasulMu Muhammad saw. Semoga segala kecemerlangan yang kami kecapi bakal menjadi perangsang dan pencetus kepada kegemilangan organisasi yang kami cintai, agama, bangsa dan negara kami.

Dengan berkat kebesaranMu Ya Allah, kurniakanlah kekuatan kepada kami, semoga dapat kami teruskan kecemerlangan dan kejayaan serta dapat kami cernakan amalan kualiti dalam segenap bidang kehidupan kami. Ya Allah, seandainya kami cemerlang pada pandangan manusia maka jadikanlah kecemerlangan kami itu lebih gemilang dalam melaksanakan tuntutan agamaMu. Ya Allah, kerana itulah matlamat sebenar kehidupan kami untuk mendapatkan kebahagiaan dan kecemerlangan di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, berilah kami kekuatan, agar kecemerlangan itu dapat dipergunakan seluruh tenaga dan pemikiran bagi menjana nafas baru dalam perkongsian ilmu, kemahiran dan sikap yang mampu menangani keperluan dan tuntutan semasa, selari dengan era bestari dan globalisasi. Lahirlah hendaknya generasi berminda subur dan kreatif, berkemahiran mapan, bersemangat mantap serta mampu beraksi di pentas dunia berteraskan neraca iman dan tauhid dalam intelektual, iman dan akhlaknya. Pahatkanlah nama-nama kami, generasi kami yang terdahulu dan akan datang ,Ya Allah di pintu syurga-Mu.

Ya Allah, Engkau mantapkanlah semangat dan hasil kerja kami, untuk terus menghambat kejayaan demi kejayaan, dengan penuh dedikasi dan cekal, ke arah menjana kecemerlangan yang berterusan. Kami bermohon agar orang yang cemerlang dari kalangan kami memimpin orang yang buruk akhlaknya, orang yang cuai dipimpin oleh mereka yang rajin bekerja. Kurniakanlah kepada kami kebaikan dengan berkat keagungan zatMu yang mulia.

Sesungguhnya kami sedar Ya Allah, bahawa kami tidak berdaya menjalankan tugas dengan sempurna, melainkan dengan keizinan dan kehendakMu jua. Justeru itu Ya Allah, Engkau gilapkanlah minda kami agar mampu berfikir menjangkau zaman serta berupaya membuat perancangan di luar kebiasaan. Sucikanlah hati nurani kami, agar sentiasa jujur dan ikhlas, dalam melaksanakan segala tugas. Jika amal kami itu tidak suci, mahu disucikannya Ya Allah. Mudah-mudahan, segala nilai kecemerlangan yang dimaksudkan untuk anugerah ini, benar-benar cemerlang, cemerlang menurut penilaian kami dan cemerlang jua di sisiMu Ya Allah.

Ampunkanlah dosa kami, dosa kedua-dua ibu bapa kami dan dosa mukminin dan mukminat seluruhnya sama ada yang masih hidup mahupun yang telah terlebih dahulu meninggalkan kami.

Ameen.Ya Kareem.

Ust. Hj. Muhidir b Hj Tamjis
Senjata Mu’min

1 comment:

  1. Assalamualaikum WBT Tuan,
    Mohon kebenaran guna teks doa ini ye untuk majlis berkaitan. Semoga Tuan peroleh rahmat dan nikmat berlipat kali ganda daripada Allah SWT..

    ReplyDelete