Thursday, September 6, 2012

Temuduga ke IPTA……

Kaedah temuduga mungkin diguna pakai pilih pelajar ke IPTA
SHAH ALAM: Kaedah temuduga mungkin dilaksanakan secara meluas bagi pemilihan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) apabila persaingan menjadi sengit berikutan peningkatan jumlah pelajar cemerlang, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Pemilihan kemasukan pelajar ke IPTA kini dibuat menerusi komputer dengan 90 peratus berdasarkan pencapaian akademik sementara baki 10 peratus berdasarkan aktiviti ko-kurikulum, katanya.
Menurut Mohamed Khaled setakat ini, hanya dua IPTA menggunakan kaedah temuduga iaitu Universiti Sains Malaysia manakala Universiti Malaya menemuduga pelajar bagi kursus-kursus tertentu.
"Kemungkinan kita lakukan perkara yang sama, ketika ini, untuk secara meluas saya belum nampak, tetapi mungkin satu hari kelak bila persaingan menjadi semakin sengit pencapaian pelajar cemerlang semakin banyak," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan dengan pelajar baru Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, Khamis.
Mohamed Khaled berkata kaedah temuduga dapat membantu menentukan kesesuaian dan minat pelajar terhadap kursus yang ditawarkan pihak universiti.
"Ada antara pelajar cemerlang memilih kursus perubatan kerana menurut kata ibu bapa mereka dan ada pula yang memohon kursus perubatan pengsan apabila ditunjukkan darah," katanya.
Jelas beliau antara faktor pelajar cemerlang gagal mendapatkan kursus yang dihajati di universiti pilihan mereka ialah kerana tempat yang disediakan terhad.
Ini disebabkan sesetengah tempat bagi kursus kritikal seperti perubatan dan pergigian ditentukan badan profesional masing-masing bagi memastikan tidak berlaku lambakan graduan, katanya.-BERNAMA
(Mstar Online; 7 Sept 2012)

No comments:

Post a Comment