Monday, September 3, 2012

Suara hati anak 15

Kanak-kanak semalam, orang dewasa hari ini

Ayahandaku yang tercinta…!

Saya telah melalui pusingan hidup sekian lama dan menghadapi kemelut kehidupan ini. Musim demi musim saya lalui dan lepasi, hari dan tahun silih berganti mengasah kematangan saya. Tubuh saya semakin besar seiringan dengan pembesaran akal fikiran dan tingkah laku saya……

Nah, sekarang ayahandaku….saya mulai merasai darah panas seorang dewasa mula mengalir dalam urat-uratku. Sayangnya, ayahanda masih juga memperlakukan saya tidak ubah seperti anak kecil yang terpaksa menurut segala kemahuan tuannya biar sekalipun ia tidak mengundang kebaikan.

Jangan perlekehkan anak kecil yang sedang membesar. Sesungguhnya nyamuk berupaya menghirup darah singa.

(Ibn al-Rumi).

Ayahandaku yang tercinta…saya akur bahawa ayahanda adalah seorang bapa yang penyayang. Dan pada hari ini saya mengimpikan seorang bapa yang menjadi teman dan saudara yang rapat. Bilakah ayahanda akan duduk bersama-sama saya agar saya dapat meluahkan apa yang sedang melandai perasaan ini? Bilakah kita akan berbicara secara berterus terang dan saling percaya mempercayai antara sesama kita?

Bilakah saya dapat menanggalkan topeng silam di muka ini sehinggakan ayahanda dapat melihat rupaku yang sebenar pada hari ini? Justeru, ayahanda akan melayani sebagaimana sepatutnya keadaanku sekarang ini, bukannya sebagaimana masa silam?

Bilakah saya dapat mengenggam erat tanganmu lalu menyatakan apa yang terpendam dalam lubuk hati ini secara benar, berterus terang dan tidak berpura-pura?

Ayahandaku yang tercinta……!

Saya bukannya mahu mengadu kepadamu tentang hal saya….Namun saya ingin mengadu tentang hal ayahanda…..Bilakah lagi ayahanda akan memejamkan pandangan daripada melihat saya seperti kanak-kanak semalam agar dapat membuka pandangan baru dan melihat saya sebagai seorang yang semakin dewasa?.

Wallahu a’alam.

 (Kesilapan mendidik anak, JAKIM 2001)

No comments:

Post a Comment