Wednesday, September 5, 2012

…..hargai keluarga…hargai kehidupan

Tragedi mematangkan saya.

………Kini tidak lagi. Kematian demi kematian anggota keluarganya membuat Defoe sedar bahawa ada banyak perkara lebih penting dalam hidup selain bola sepak.

Bapa Defoe, Jimmy meninggal dunia akibat kanser tekak sebelum bermulanya Euro 2012 dan dia meninggalkan pangkalan skuad England di Poland untuk menghadiri majlis pengebumian sebelum kembali menyertai pertandingan itu.

Tidak cukup dengan itu, Defoe mendapat tahu sewaktu bercuti selepas Euro, sepupunya yang berusia 20 tahun, Hannah terkena renjatan elektrik sewaktu terjun di kolam hotel di St Lucia di Kepulauan Carribean.

Kedua-dua insiden tragik itu memberi kesan mendalam terhadap Defoe, apatah lagi dengan penderitaan yang dialami sejak muda.

Abang tirinya, Jade Defoe, 26 maut dalam nahas kapal terbang pada 2009 yang turut mengakibatkan nenek Jade meninggal dunia pada majlis pengebumian itu manakala seorang lagi sepupunya, Allan Edgar terbunuh dalam rompakan di St Lucia, Disember tahun itu.

“Ia memang sukar diterima terutama kematian ayah. Pada hari pertama sejak dia dikesan menghidap penyakit itu, saya bersamanya sejak hari pertama di hospital. Saya baru berusia 29 tahun dan menghadapi kejadian itu memang sukar,” kata Defoe.

“Saya perlu memberitahu ayah semuanya akan pulih dan beliau perlu bersikap positif, sentiasa berdoa dan yakin.

“Saya tahu mengenai kanser tetapi berada bersama seseorang yang mempunyai kanser dan mengetahui kesannya dalam waktu singkat memang tidak masuk akal. Ia membuat anda berfikir mengenai kehidupan.

“Begitu juga dengan sepupu saya. Dia baru berusia 20 tahun dan bila perkara itu berlaku, anda mula bertanya ‘mengapa ia berlaku?’. Saya berada di Amerika Syarikat bersama Tottenham dan perlu pulang untuk bersama keluarga. Ia memang sukar.”

Defoe kini mengakui lebih pentingkan keluarga selepas tragedi itu dan masih bersemangat untuk menjaringkan gol dan seronok meluangkan masa bersama keluarga seperti keseronokan merobek pertahanan lawan.

“Saya mempunyai keluarga yang besar dan kami memang rapat. Ia membuat anda berfikir mengenai kehidupan dan apa yang penting,” kata Jermain Defoe, penyerang bola sepak Tottenham.

“Bila bertengkar dengan seseorang dan anda merajuk, kadang kala anda tidak mahu bercakap dengan mereka tetapi penting untuk merapatkan hubungan dengan rakan dan melakukan apa yang sepatutnya.

“Sewaktu masih muda, tiada apa lebih yang penting daripada bola sepak tetapi semakin anda dewasa, berkahwin, mempunyai anak dan kehilangan orang tersayang. Ia membuat anda sedar keluarga paling penting. Ia seiring peningkatan usia.”

( myMetro; 5 Sept 2012 )

No comments:

Post a Comment