Sunday, May 10, 2015

Saya ingin terus menjadi guru ........

Biodata

Nama : Tengku Azuan Tengku Mohamed
Umur : 64 tahun
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia
Pengalaman :
Pengetua Sekolah Menengah  Seri Puteri, Jalan Kolam Air, Kuala Lumpur
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan  Aminuddin Baki, Kuala Lumpur
Pengetua Kolej Tunku Kurshiah, Seremban Negeri Sembilan
Pencapaian:
2014: Tokoh Guru Kebangsaan
2013: Tokoh Guru Wilayah Persekutuan
1998 : Tokoh Guru Daerah Gombak

Jadi guru memang tidak kaya wang ringgit, tetapi kita akan kaya dengan kejayaan anak didik. Demikan luahan Tokoh Guru Kebangsaan 2014, Tengku Azuan Tengku Muhamed yang menjadikan kata-kata tersebut sebagai pembakar semangat dalam menempuh liku-liku sebagai seorang guru selama 39 tahun.

Menurut Tengku Azuan, 64 beliau tidak pernah menyesal memilih karier sebagai seorang guru apatah lagi mengakui bahawa tugas digalasnya itu perlu berhadapan pelbagai cabaran termasuk dikenakan tindakan undang-undang sehingga dibawa ke mahkamah.Katanya, beliau sudah banyak kali menerima saman dan salah satu daripadanya adalah ekoran tindakannya merampas seunit telefon bimbit milik seorang pelajar di salah sebuah sekolah berasrama sekitar Lembah Kelang, hampir 10 tahun lalu.

Ketika itu, saya merupakan pengetua dan ibu bapa pelajar terbabit tidak puas hati dengan tindakan saya lalu membawa kes itu ke mahkamah. Bagaimanapun kes ini berjaya diselesaikan di peringkat peguam dan ibu bapa berkenaan pun telah memohon maaf atas tindakan mereka itu, katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tengku Azuan berkata, banyak lagi kisah yang ingin diceritakan beliau berkenaan pengalaman manis dan pahit sepanjang bergelar seorang guru, tetapi beliau ingin menekankan warga pendidik memegang peranan besar dalam membentuk generasi masa depan negara.

Ketika ditanya perbezaan tugas guru dahulu dan kini, bekas Pengetua Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan itu memberitahu, warga pendidik hari ini terpaksa berdepan pelbagai cabaran luar antaranya pengaruh internet dan campur tangan ibu bapa. Jelasnya, berbanding dahulu, ibu bapa menyerahkan bulat-bulat kepada guru untuk mendidik anak mereka dan tidak masuk campur urusan hukuman disiplin terhadap pelajar.

Sebaliknya hari ini, kadang-kala ibu bapa dilihat mencampuri urusan sekolah. Bagaimanapun, saya melihat tindakan ini sebagai positif kerana soal pendidikan perlu melibatkan kerjasama antara guru dan ibu bapa, katanya.

Pada masa sama, Tengku Azuan menjelaskan, para guru perlu menjadikan pelajar mereka sebagai kawan rapat di luar kelas supaya tiada jurang antara kedua-dua pihak. Di dalam bilik darjah kita guru dan di luar bilik darjah kita berkawan. Maka akan wujudnya satu suasana pembelajaran yang harmoni sekali gus dapat membentuk akhlak dan jati diri pelajar. Jangan bezakan pelajar ini pandai, pelajar itu tidak pandai. Kepada pelajar kurang cemerlang, guru perlu semak kekurangan mereka dan perbaikinya dengan segera, katanya.

Sementara itu, Tengku Azuan memberitahu beliau tidak pernah serik malah terus bangga bergelar seorang guru walaupun pada mulanya beliau bercita-cita menjadi diplomat, tetapi atas desakan ayah, akhirnya anak kelahiran Kota Bharu Kelantan itu akur kehendak orang tuanya. Katanya, beliau berasa puas menjadi seorang guru apabila mengetahui banyak anak didik beliau pada hari ini telah berjaya termasuk menjadi doktor, peguam dan pegawai tinggi kerajaan.

Selain itu, sebagai seorang guru rasa puas apabila mengetahui anak-anak didik dahulu lemah pelajaran tetapi kini telah berjaya dalam pelbagai bidang diceburi mereka. Saya ingin menjadi guru sekali lagi sekiranya diberi peluang untuk kali kedua, ujarnya yang sudah bersara lapan tahun lalu.
                        
                                       Guru: Membina Ilmu Menyempurnakan Akhlak.

Wallahu a’lam

Juani Munir Abu Bakar
Mingguan Malaysia
10 Mei 2015

No comments:

Post a Comment