Wednesday, June 13, 2012

Cabaran Moscow

Cita-cita mahu menjadi seorang doktor membuatkan anak muda berasal dari Merlimau Melaka ini menguatkan semangat mengikuti kursus perubatan di Russian State Medical University (RSMU). Biarpun belajar di negara yang boleh dikatakan asing, namun Muhammad Akmal Saleh, 24 yakin membuat pilihan tepat.

Beliau mengakui pada peringkat awal menghadapi pelbagai cabaran seperti masalah komunikasi, cuaca tidak menentu, kos kehidupan tinggi, makanan halal dan sebagainya. Bukan sekadar masalah bahasa, kelas terletak jauh antara satu sama lain dan cuaca sejuk melampau memang cukup menyukarkan. Kos kehidupan di sini juga agk tinggi. Pada peringkat awal memang rasa mahu pulang sahaja ke Malaysia. Tetapi alhamdulillah saya mampu menyesuaikan diri, kata pelajar tahun lima di RSMU itu.

Katanya ketika itu pengetahuannya terhadap negara Rasputin ini sangat minimum, itu pun melalui pembacaan dan rakan-rakan yang pernah belajar di sini. Tambahnya lagi, dia memang tidak tahu langsung Bahasa Rusia  apatah lagi membaca papan tanda yang menggunakan huruf Cyrillic yang mengelirukan, menuntutnya melipat gandakan usaha mentafsir makna dan menguasai bahasa itu dengan baik.

Dalam masa tiga minggu saya boleh membaca Bahasa Rusia, tiga bulan lagi untuk memahami dan tiga tahun untuk fasih sepenuhnya. Budaya di sini memang lain, kita perlu cepat untuk memahaminya. Insya-Allah segala pengalaman inilah yang membezakan kami di sini dengan pelajar perubatan di tanah air dan pengalaman inilah yang mematangkan kami, katanya.

Anak kedua daripada lima adik beradik itu berkata, sistem pendidikan di sini juga berbeza kerana menuntut pelajar lebih praktikal dan kritikal dalam menjawab soalan peperiksaan. Setiap pelajar mendapat set soalan peperiksaan berbeza. Di Malaysia barangkali lebih kepada orientasi peperiksaan tetapi di sini pelajar akan dipanggil untuk menjawb soalan di hadapan pensyarah dan kami perlu mempertahankan jawapan di hadapan mereka, katanya.

Selepas Peperiksan Siil Pelajaran Malaysia (SPM) katanya, beliau ditawar melanjutkan pelajaran ke Mesir dalam bidang perubatan tetapi menolaknya atas alasan tertentu. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran peringkat matrikulasi di University Teknologi Mara (UITM) Melaka dalam bidang Kejuruteraan Kimia sebelum ditawarkan ke RSMU selama enam tahun.

Hasrat awal untuk ke Moscow tidak mendapat persetujuan keluarga namun apabila beliau bersungguh-sungguh untuk belajar perubatan dan menjadi seorang doktor mereka akhirnya akur. Saya tidak akan menghampakan susah payah keluarga menghantar saya belajar di sini. Saya akan kembali dengan segulung ijazah perubatan dan bergelar doktor, begitu azam anak muda ini….

Wallahu'alam.

( Sinar Harian; 13 Jun 2012 )

No comments:

Post a Comment