Seorang yang pandai membuat barangan berasaskan kayu dipangil tukang kayu. Biasanya, seorang tukang kayu adalah seorang yang sabar dan tekun menjalankan aktivitinya. Seorang tukang kayu yang berwibawa amat mementingkan kos dan jimat dalam membelanjakan wang. Kayu-kayu lebihan semasa membuat sesuatu barangan tidak akan dibuang begitu sahaja kerana lambat-laun kayu-kayu itu akan digunakan untuk membuat barangan lain.
Pepatah tukang tidak membuang kayu bermaksud orang cerdik selalunya berhemat dan berhati-hati di dalam melakukan sesuatu.
Seorang pelajar yang cemerlang tidak akan mensia-siakan apa yang dipelajari. Semua yang telah ditelaah digunakan untuk menjawab soalan peperiksaan. Pelajar cemerlang amat mementingkan markah. Mereka amat berkira dengan markah yang bakal diperoleh. Satu markah sahaja dapat membezakan seorang itu sama ada dia layak mendapat markah A atau B.
Bagi mereka yang hebat, persediaan-persediaan berikut dilakukan :
a) Persediaan awal – perbanyakkan latihan.
b) Sebulan sebelum peperiksaan – mampu menceritakan apa yang dipelajari kepada kawan-kawan.
c) Semalam sebelum peperiksaan – pastikan tidur yang berkualiti dan cukup, serta alat tulis tersiap sedia untuk dibawa ke dewan peperiksaan.
d) Sebelum peperiksaan – bangun awal pagi, sarapan pagi, bersiap ke bilik air serta dokumen penting dibawa ke dewan peperiksaan.
Ilmu yang diperoleh sejak melangkah ke sekolah amat penting dan berguna selama-lamanya. Sewaktu pra-sekolah, anak-anak diajar mengenal huruf. Jika kita abaikan huruf-huruf berkenaan, sudah pasti kita tidak dapat belajar sehingga ke tingkatan 5. Mereka yang cemerlang bersiap sedia untuk menghadapi masa-masa akan datang serta tidak lupa kepada apa yang dipelajari sebelumnya.
Allah SWT telah berfirman :
Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya), dan Allah juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuannya, lagi Maha Melihat akan hambaNya.
(al-Isra: 30)
Seorang yang rajin bekerja dan berusaha akan mendapat apa yang diinginkan dengan izin Allah SWT. Tetapi rezeki yang diperoleh tidak datang begitu sahaja tanpa usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.
FirmanNya:
Bahawasanya seorang manusia tidak memperoleh selain apa yang diusahakan.
(an-Najm : 39)
Di sini, dapat kita fahami bahawa seseorang itu akan memperoleh sesuatu berdasarkan apa yang telah diusahakan. Sekiranya banyak, maka banyaklah juga pulangannya dan sebaliknya. Oleh itu, bagi orang yang rajin bekerja dan berusaha keras menuntut ilmu untuk mencapai kejayaan, maka dia akan mendapat balasan dalam bentuk rezeki yang luas, pekerjaan yang baik, kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup.
Kesimpulannya, kejayaan bagi seseorang pelajar bermula sejak dari pra-sekolah lagi kerana ilmu yang kita pelajari itu akan dipraktikkan sehingga ke alam pekerjaan. Oleh itu, kita perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana dengan usaha yang lebih kita pasti akan mendapat pulangan yang lebih.
Wallahu’alam.
( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )
No comments:
Post a Comment