Ular menyusur untuk bergerak dari satu tempat ke satu tempat. Apabila ular menyusur, perutnya akan terkena tanah. Terkena tanah bermaksud merendah diri. Ular yang bergerak dalsm keadaan merendah diri atau menghina diri sendiri itu tidak akan hilang bisanya.
Pepatah ini bermaksud orang yang hebat tidak akan hilang ilmunya, kekayaanya dan sebagainya jikalau dia merendah diri serta menghormati orang lain.
Untuk menjadi seorang yang hebat, seseorang itu harus berilmu. Untuk menjadi orang yang lebih hebat, ilmu yang beliau miliki itu dapat memberi manfaat. Menjadi seorang yang paling hebat ialah apabila seseorang yang berilmu itu bertaqwa serta beriman – takut pada Allah SWT serta menghormati sesama insan.
Sesungguhnya seseorang yang menuntut ilmu itu hanyalah untuk menjadikan dirinya hebat. Barangkali seseorang itu tidak memikirkan untuk menjadi hebat, tetapi sebenarnya dia ingin hebat. Hebat dalam erti kata mempunyai ilmu pengetahuan dan kebolehan yang tertinggi. Kehebatan yang kita miliki tidak akan pupus dari diri kita andai kata kita merendah diri serta menghormati orang lain.
Orang berilmu ditinggikan darjat oleh Allah SWT. Ini merupakan janji Allah SWT kepada manusia di dalam al-Quran. Jelas dan terang bahawa orang berilmu merupakan seorang yang hebat akan diangkat kedudukannya sama ada di sisi masyarakat ataupun di sisi Allah SWT. Nilai dan darjat seseorang itu di sisi Allah SWT tidak akan terjejas sedikit pun walhal mereka merendah diri.Begitu juga dengan kehebatan seseorang itu, dia tetap mempunyai aura yang hebat walau di mana dia berada sekali pun.
Namun kehebatan tersebut tidak bermakna seandainya tidak disulami dengan sikap merendah diri, menghormati orang lain dan kesedaran bahawa semua ilmu itu bukan miliinya tetapi kurniaan daripada Allah SWT. Orang yang berilmu sebenarnya hebat sekiranya dia menjadi hamba Allah yang lebih bertaqwa.
Imam Malik berkata : Ulama’ bukanlah kerana banyak menghafaz riwayat hadis, bahkan ilmu ialah Nur yang dinyalakan Tuhan dalam hati. Begitu juga Imam al-Qurtubi menyebut bahawa ulama; ialah seorang yang takut kekuasaan Allah SWT dan yakin Allah SWT berkuasa membalas atas maksiat yang dilakukan. Ilmu yang dipelajari membuatkannya semakin merasakan luasnya lautan ilmu yang menjadi milik Allah SWT. Ilmuwan yang mempunyai sikap sebeginilah semakin dihormati dan bermanfaat kepada masyarakat. Dia tidak mendabik dada dan bermegah dengan ilmunya.
Seseorang hamba tidak patut berbangga dengan ilmu, harta dan jabatan yang dimilikinya sebelum seseorang itu selamat melintasi titian sirat. Apa gunanya pujian jika kita akan tetap terjatuh ke dalam neraka pada hari kiamat kelak?.
Kesimpulannya, seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan tidak perlu berbangga dan bermegah dengan ilmunya, kerana keangkuhan akan memakan diri sendiri ketika hari kiamat kelak. Ketinggian ilmu dan pengetahuannya tidak akan terjejas sedikitpun jika dia tidak menunjuk-nunjukkan atau bermegah-megah.
Oleh itu, kita perlu sentiasa mengingati bahawa ilmu itu bukan milki kita tetapi kurniaan daripada Allah SWT. Ilmu merupakan hak dan milik Allah SWT yang dikurniakan sebahagian sahaja dari ilmuNya kepada manusia bagi membolehkannya melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT di muka bumi.
.
Wallahu’alam.
( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )
No comments:
Post a Comment