Ianya tersimpul di dalam dua perkataan: kemaafan dan kesetiaan. Di mana kemaafan bermaksud, sebelum mengambilnya menjadi saudara haruslah diingat bahawa ia bukan seorang yang maksum. Pasti ia ada kesalahan-kesalahan kecil dan kesilapan yang pastinya terserlah setelah berkawan rapat dan bergaul lama. Kemungkinan jika berjauhan tidak kelihatan kesalahan. Akan tetapi suatu ketika pasti terlihat sesuatu yang tidak disukai dan berdiam diri terhadap kesalahan saudaranya itu..
Berkata seorang penyair : Menyendiri atau bergaullah dengan temanmu kerana kadangkala ia membuat kesalahan dan kadangkala menjauhnya. Jika setiap saat mencela saudaramu, nescaya tidak akan ditemui orang yang tidak dapat dicela!.
Penyair lain berkata : Maafkan kecacatan atau keaiban saudaramu sebagai simpanan kebaikan bagimu. Hindarkan umpatan-umpatan keji sebagai kebaikan hatimu.
Penyair lain pula berkata : Ambilah yang baik daripada saudaramu, tinggalkan yang mengandungi kerosakan kerana umur lebih pendek daripada pekerjaan mencela satu sama lain.
Allah SWT memerintahkan agar selalu memaafkan orang lain. FirmanNya :
Sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, pahalanya di tangan Allah. Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim.
(Asy-Syura : 40)
Allah SWT telah menyifatkan orang-orang mukmin dengan firmanNya :
Berkasih saya sesama mereka
(Fath : 29)
Adakah seseorang itu berkasih sayang sekiranya tidak memaafkan keterlanjuran saudaranya?
Manakala kesetiaan terhadap saudara yang menunaikan hak adalah hal yang jelas jika ia memberi hak dengan sempurna. Akan tetapi yang dimaksudkan di sini ialah kesetiaan pada waktu saudara melalaikan hak-hak itu.
Abu Dzar berpendapat : Apabila membenci saudaramu, hendaklah atas dasar mencintainya. Ini bermaksud, mencintainya kerana ada sifat yang menarik perhatian kepadanya. Ketika sifat itu menghilang, tiadalah kewajipan mencintainya lagi. Namun, jangan meninggalkan saudaramu itu bila sifatnya berubah daripada biasa kerana yang bengkok pada suatu saat akan dapat diluruskan.
Demikian juga dengan Iman al-Ghazali yang berpendapat; Kalau kita memutuskan hubungan dengan saudara kita, dari satu segi kita telah kehilangan kesempatan untuk mengembalikannya ke jalan yang baik. Yang lainnya, bererti tidak setia kepadanya. Ini adalah kerana sehingga hari ia membuat kesalahan itu ia masih memelihara persaudaraannya dengan kita. Oleh sebab itu hendaklah kita menolongnya ketika ia berbuat kesalahan. Pandanglah dengan kasih sayang, bukannya dengan pandangan dengki dan marah kerana kita semua sedang diuji!.
Wallahu a’alam.
(Persaudaraaan kerana Allah, Pustaka Salam, 1988)
No comments:
Post a Comment