Monday, July 30, 2012

Kuali Hitam

    ( 1 )
Sebiji kuali hitam
di dapur rumah
kelahiran
adalah teman ibuku
siang dan malam.

Sebiji kuali hitam
terjerang di atas tungku
adalah penghibur ibu
ketika kami menunggu.

Sebiji kuali hitam
di atas api
tahun demi tahun
kami tidak pernah
menghitung.

Seorang ibu yang
menyayangi sebiji kuali
sering memeluk kami
pernahkah kami
perhatikan
lengannya yang
diserapi abu hitam
matanya yang ditikam
serbuk arang
dahinya yang disengat
pucuk api
kulitnya yang dikoyak
percikan minyak.

Kami tidak pernah
menyedari
dan ibu pun tidak
peduli
dia hanya tahu merasa
bahagia
melihat kami keriangan
menunggu sesuatu
akan terhidang
dan tidak ada yang
lebih membahagiakan
dari melihat kami kekenyangan.

Dan setelah terlena
kekenyangan
kami tidak medengar
malamnya diketuk-ketuk
oleh sesak dan batuk
kerana asap dan abu
menggaru di paru-paru

Begitulah tahun
demi tahun
kuali yang setia
menjalankan tugasnya
hingga kami dewasa
dan hidup di kota.


         ( 2 )

Kini di dapur rumahku
yang bersih
tak ada kuali hitam yang
hodoh
cuma pada kesempatan
yang tidak selalu sempat
aku memasak untuk anak-anak
dengan kuali non-stick
yang tebal dan mahal
dan sesudah itu membasuhnya
dengan sabun yang
lembut
berhati-hati seperti
memandikan bayi
mengikut arahan pada
buku panduan.

Suatu hari ibu ke rumahku
dengan kerajinannya
yang biasa
memasak untuk kami sekeluarga
cucu-cucunya ternyata
amat berselera
dan ibu berasa terlalu
bahagia.

Dan sesudah itu
dengan cara yang dia tahu
mengemas dan merapikan dapurku
dan seperti yang biasa dibuat
pada kuali hitamnya di kampung
dia menyental kualiku
yang mahal dengan berus yang kesat
dan aku spontan menjerit :
“Ibu merosakkan kuali saya
tahukah ibu berapa harganya?”

Ibu terdiam
barangkali hatinya terhiris
barangkali dia hampir menangis
melihat wajahku yang
bengis.

         ( 3 )

Dan kini aku menyesali
keterlanjuran
setelah ibu kembali
kepada Ilahi
kiranya aku telah
mengukur kasih sayang
dengan harga sebiji kuali.

Api telah padam
di dapur rumah tua
sepi pun tergantung
bersama kuali yang kosong
dapatkah kami menghitung
berapa harganya.



( Dewan Budaya, November 1996 )

No comments:

Post a Comment