Burung tidak boleh terbang jika sayapnya patah. Burung yang kuat semangatnya akan tetap berusaha. Demi satu kehidupan, seekor burung yang patah sayapnya tetap berusaha untuk terus gagah menongkat muka atau kepalanya dengan paruh. Bertelekan bermaksud duduk dengan kedua-dua belah siku bertumpu pada sesuatu biasanya muka. Burung bertelekan berkemungkinan menggunakan sayapnya yang patah untuk terus gagah.
Peribahasa patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertelekan bermaksud melakukan sesuatu itu tanpa mengenal erti putus asa.
Pelajar harus mempunyai jati diri yang kuat untuk terus maju. Pelajar yang mahu membantu dirinya sendiri akan sentiasa bersungguh-sungguh melakukan sesuatu. Kesungguhan seseorang menjadikannya tahu dan faham erti putus asa
Putus asa adalah satu sifat yang perlu dihindari oleh setiap orang. Bagi mengelakkan agar kita tidak berputus asa, kita seharusnya membaca sejarah atau pengalaman mereka yang telah berjaya. Berdasarkan pengalaman mereka yang telah menempa kejayaan sebelum ini, pasti kita dapati mereka juga pernah mengalami kegagalan.
Kejayaan itu bukan milik mutlak seseorang. Kejayaan terletak kepada usaha gigih. Andai kata putus asa menjadi amalan, sudah semestinyalah kegagalan yang dicapai. Berikut adalah cirri-ciri mereka yang berputus asa :
a) Tidak berterima kasih kepada mereka yang membantu kita.
b) Merungut apabila diberi tugasan
c) Menangguh-nangguh pekerjaan
d) Tidak bertanya semasa tidak faham
e) Tidak cekap mengutamakan pekerjaan (buat yang tidak penting dahulu)
f) Malas
g) Suka menyalahkan orang lain
h) Merasakan orang lain lebih hebat tetapi tidak mahu berusaha menjadi hebat
Jauhi sifat putus asa dalam hidup kita. Putus asa tidak banyak membantu. Bina matlamat hidup yang positif dan cari kaedah bagi mencapai matlamat tersebut. Jika mengalami kegagalan, gunakan kaedah lain yang dapat membantu. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya, setiap jalan penyelesaian pula bukanlah mutlak. Jalan penyelesaian adalah berbeza mengikut permasalahan dan keadaan.
Sikap berputus asa merupakan sikap orang yang menuju kegagalan. Maka tiada istilah putus asa dalam hidup seorang muslim. Allah SWT telah berfirman :
Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.
( surah Yusuf : 87 )
Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Allah SWT melarang kita daripada berputus asa. Bukan sahaja berputus asa dalam melakukan sesuatu kerja tetapi lebih-lebih lagi sekiranya kita berputus asa dengan rahmat dan pertolongan daripada Allah SWT. Sikap berputus asa merupakan antara sikap orang yang tidak beriman kepada Allah SWT. Justeru itu, ayat ini seharusnya membuatkan kita sedar bahawa sepayah mana pun kesusahan yang dilalui, sehebat mana pun ujian yang dihadapi, seseorang itu perlu terus bangun dan mengorak langkah kerana rahmat Allah SWT sentiasa bersama orang yang berusaha untuk mendapatkannya.
Sudah menjadi lumrah dalam hidup betgelar seorang pejuang akan menghadapi kesusahan dan cabaran. Namun pejuang yang hebat tidak kenal erti gagal dan rebah. Dia akan berjuang juga sehingga dapat mengecapi apa yang diimpikan. Dalam hal ini, pelajar tidak terkecuali. Pelajar adalah seorang pejuang. Berjuang menjadi insan yang bertaqwa, berjuang memartabatkan ilmu dan berjuang untuk meneruskan kehidupan.
Oleh itu untuk menghindarinya, sentiasalah berfikiran positif. Minda yang positif akan menghasilkan tindakan yang positif. Allah SWT telah menyatakan dalam hadis Qudsi yang bermaksud :
Sesungguhnya Aku adalah sebagaimana sangkaan hamba-hambaKu terhadapKu.
Seandainya kita bersangka baik pada Allah SWT maka Allah SWT juga akan bersangka yang sedemikian kepada hambaNya dan begitulah jika sebaliknya. Hadis Qudsi ini menjadi bukti kepada kita bahawa Allah SWT menyuruh hambaNya agar sentiasa ‘husnuzzon’ (baik sangka) atau positif dalam setiap apa yang dilakukan. Sudah pasti dapat mengelakkan diri daripada sikap putus asa. Insya-Allah.
Kesimpulannya, di antara cara yang paling hebat yang syaitan akan gunakan untuk merosakkan manusia ialah memekarkan rasa putus asa dalam hati manusia dan seterusnya menyebabkan hati-hati ini layu dan mati. Oleh itu, jangan mudah terpedaya dengan bisikan seperti sudah tiada peluang, sudah terlambat atau hidup sudah tiada makna dan erti. Yakin dengan rahmat dan kasih saying Allah SWT kerana setiap hari malaikat akan mengambil rintihan taubat dan menyampaikan kepada Allah SWT kerana Allah SWT sangat cinta akan orang yang sentiasa memohon ampun dan mengharapkan rahmat dariNya.
Wallahu’alam.
( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )
No comments:
Post a Comment