Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, mutiara adalah hasil laut yang dibuat hiasan serta bernilai tinggi. Batu mutiara itu kecil saiznya, tetapi banyak yang sanggup menyelam ke dasar lautan untuk memperolehnya.
Maksud pepatah ini, orang yang mempunyai ilmu, tetap akan dicari oleh manusia walaupun beribu batu tempat tinggalnya.
Apabila seseorang pelajar itu mencapai kejayaan, pelajar tersebut ditempatkan di universiti atau kolej yang baik serta dapat mengikuti pengajian yang sesuai dengan tahap kecemerlangan yang beliau miliki. Keadaan ini akan menjadikan pelajar tersebut mendapat peluang pekerjaan yang baik, sesuai dengan usaha serta persekitaran yang baik baginya mencapai kejayaan.
Apabila seseorang itu mendapat pencapaian yang baik di dalam pendidikan serta baik di dalam bidang pekerjaannya, orang ramai berpusu-pusu datang menemui untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan ilmunya. Hal ini akan dapat memberi manfaat kepada dirinya serta orang lain
Kebiasaannya, apabila kita menyampaikan ilmu kepada orang lain, secara tidak langsung ilmu kita pula yang semakin bertambah. Kejadian ini berlaku kerana penyampaian ilmu terjadi secara komunikasi dua hala. Pelajar atau mereka yang mahukan ilmu bertanya dari pelbagai sudut serta memberikan pandangan dan penjelasan tentang sesuatu itu sehinggakan penyampai dapat menambah ilmunya itu.
Semasa seseorang itu menuntut ilmu, beliau akan berasa pelbagai keperitan dan kesusahan. Kesusahan yang dialami itu akan menjadi ringan apabila memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Biasanya keputusan sebegini akan menghasilkan pulangan yang baik semasa di alam pekerjaan.
Orang yang berilmu dijanjikan oleh Allah SWT dengan kedudukan yang mulia di sisiNya dan di sisi masyarakat. Hal ini telah dinukilkan dalam al-Quran.
Allah SWT telah berfirman :
Allah akan meninggilkan orang-orang yang beriman di antara kalian dan orang-orng yang diberi ilmu beberapa darjat.
(al-Mujadilah : 11)
Maka tidak hairanlah sekiranya kita melihat orang yang berilmu dalam pelbagai bidang mendapat tempat di sisi masyarakat. Mereka dihormati, sentiasa dicari dan dirujuk oleh masyarakat. Mereka juga mendapat pekerjaan dan tempat tinggal yang baik hasil daripada apa yang diusahakan sebelum ini. Allah SWT meninggikan kedudukan mereka sewaktu di dunia lagi dengan kenikmatan yang diperolehi agar mereka menjadi golongan yang bersyukur dan semakin akrab dengan penciptanya.
Sabda Rasulullah saw, riwayat Abu Naim daripada Anas ra, maksudnya : Ilmu pengetahuan itu menambahkan mulia dan meninggikan taraf seorang hamba kepada raja.
Seseorang yang berilmu akan memberi manfaat kepada orang lain kerana dijadikan rujukan dan tempat meminta pandangan. Sebagai contoh, seorang doktor pakar dalam bidang tertentu akan dirujuk oleh masyarakat untuk merawat kesakitan yang dialami. Seorang ulama akan didatangi oleh mereka yang mempunyai kemusykilan dalam bidang agama dan ingin meminta pendapat daripadanya. Seorang arkitek dan kontraktor yang mahir akan diberi tawaran untuk melaksanakan sesuatu projek pembangunan yang besar.
Maka, apapun jua bidang ilmu yanh kita kuasai, sekiranya disampaikan dan dikongsi, akan memberi manfaat kepada umat. Kita hampir kepada menjadi manusia yang paling baik sebagaimana sabda Rasulullah saw :
Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia lain.
Kesimpulan, seperti yang telah disebutkan di dalam al-Quran, Allah SWT telah menjanjikan tempat yang mulia bagi orang yang berilmu. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk memperoleh ilmu tersebut walau perlu mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran namun ianya akan memberi impak yang lebih kepada kita pada masa hadapan kelak. Dengan ilmu juga kita dapat membantu golongan masyarakat yang memerlukan bantuan.
Wallahu’alam.
( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )
No comments:
Post a Comment