Thursday, July 5, 2012

Garam jatuh di air

Pepatah ini bermaksud seseorang yang menerima sesuatu nasihat serta mematuhi nasihat itu dengan sempurna.

Fitrah manusia inginkan kebaikan. Manusia suka melihat perkara yang baik-baik. Sejahat-jahat manusia, mereka juga mahukan kebaikan. Pernah juga kita terdengar orang-orang kurang akhlakmya mahukan pasangan yang beriman.

Hakikatnya, manusia pada hari ini belajar secara formal kerana terpaksa. Apa tidaknya sewal usia 4 tahun, mereka telah disuruh pergi ke sekolah. Dalam keadaan terpaksa, mengantuk dan letih, mereka bangun dan pergi ke sekolah. Pada hari-hari biasa, kadang-kadang ibu bapa memaksa anak-anak yang ada ketikanya malas untuk ke sekolah. Seawal usia muda, anak-anak ini dinasihati untuk ke sekolah – untuk menuntut ilmu. Anak-anak pula menerima nasihat itu dengan mudah (walaupun kadang-kadang malas untuk taat).

Fitrah manusia suka kepada kebaikan. Menerima nasihat yang baik akan memberikan pulangan yang besar kepada manusia itu sendiri. Pada awalnya anak-anak hanya menerima nasihat ibu bapa. Lama kelamaan anak-anak ini akan ikhlas dan belajar bersungguh-sungguh.

Keikhlasan harus ditunjukkan dengan bukti bahawa anak-anak boleh berjaya sehingga ke menara gading iaitu satu ukuran kejayaan seorang pelajar. Bagi mencapai cita-cita tersebut, para pelajar harus mempunyai matlamat dan cita-cita untuk berjaya.

Sudah menjadi fitrah manusia inginkan kebaikan. Namun faktor itu tidak cukup untuk menjadikan kita seorang yang baik tanpa kita berusaha mencari kebaikan tersebut. Selain belajar melalui pembacaan dan pengalaman yang dilalui, nasiht yang baik juga menjadi pelengkap kepada seseorang untuk menjadi seorang insan yang cemerlang.

Islam merupakan agama yang menasihati umatnya supaya menuju jalan kebaikan dan jalan menuju Tuhan.

Daripada Tamim bin Aus ad-Dari ra, bahawa Nabi saw bersabda:

Dan (agama Islam) itu adalah nasihat (3x). Kami (sahabat-sahabat) betanya : Untuk siapa, wahai rasulullah?. Jawab baginda, untuk Allah Azza Wa Jalla, untuk kitabNya, untuk Rasulnya saw, untuk barisan kepimpinan ummah Islam dan untuk ummah Islam seluruhnya.

( HR Muslim)

Oleh itu seandainya kita berusaha untuk mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan, ini bermakna kita menerima nasihat (panduan) yang tepat kerana ajaran Islam dengan fitrah seorang hamba yang inginkan kebaikan dan agama juga memandu umatnya kea rah kebaikan.

Seorang pelajar yang cemerlang akan sentiasa mendengar dan menerima nasihat daripada orang di sekelilingnya sama ada ibu bapa, guru-guru serta rakan-rakan yang ingin berjaya bersama. Dia tahu yang dirinya tidak sempurna dan sentiasa ingin memperbaiki diri dan meminta untuk dinasihati. Perasaan ego dalam diri diketepikan seketika sekiranya dia dinasihati atau ditegur tentang kesalahan yang dilakukan. Dia mampu berfikir dan menilai sesuatu itu dengan rasional dengan tidak meletakkan emosi di hadapan.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata :

Manusia yang berakal ialah manusia yang suka menerima  dan meminta nasihat.


Maka jelaslah di sini bahawa orang yang sentiasa mendengar dan mengikut nasihat yang baik akan menempa kejayaan walaupun adakalanya sesuatu yang dilakukan itu dengan terpaksa pada permulaannya.

Kesimpulannya, sikap ikhlas, rela dan redha untuk menegur dan ditegur adalah sikap insan yang cemerlang kerana mampu menyedarkan ia tentang kelemahan dan seterusnya berusaha menganjakkan diri ke tahap yang lebih baik.

Wallahu’alam.

 ( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment