Jarum adalah satu keluli yang halus – tajam di hujungnya dan berlubang di pangkalnya. Jarum digunakan untuk menjahit. Sebelum menjahit, benang akan dimasukkan ke dalam lubang di pangkal jarum tersebut. Kelindan pula adalah alat untuk mengulung benang. Kadang-kadang disebut sebagai gelendong.
Lihat bagaimana sebuah mesin jahit berkerja. Benang, jarum dan kelindan bekerja bersama-sama. Yang dahulu didahulukan. Sekiranya benang dimasukkan ke jarum, barulah kelindan dapat melepaskan sedikit demi sedikit benangnya bagi menjahit sesuatu kain atau fabrik.
Pepatah ini bermaksud sekiranya sesuatu kehendak itu tercapai, maka kehendak berikutnya akan tercapai juga.
Dalam sistem pembelajaran di negara kita, semua pelajar tidak dapat meneruskan pengajian terus ke universiti tanpa mengikuti proses pengajian yang telah ditetapkan.
Pengajian selama enam tahun di sekolah kebangsaan dan lima tahun di peringkat menengah. Kemudian setahun setengah di peringkat menengah atas atau di peringkat matrikulasi atau asasi. Selepas melalui proses-proses ini, barulah seseorang itu dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Di peringkat persekolahan lagi, seseorang pelajar itu harus mempunyai cita-cita atau matlamatnya. Cita-cita atau matlamat yang jelas akan menjadikan seseorang pelajar itu cekal dan berdaya saing. Mereka tidak patah semangat apabila menemui kegagalan, malah menjadikannya sebagai dorongan atau semangat untuk memperbaiki diri mereka.
Mereka yang mempunyai matlamat jangka panjang – seperti bercita-cita menjadi doktor, jurutera, usahawan dan sebagainya; mempunyai matlamat jangka pendek yang spesifik.
Pada peringkat awal, pelajar-pelajar sekolah seharusnya memikirkan dan berusaha bersungguh-sungguh bagaimana untuk menempa kejayaan di peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),. Kemudian, mereka menumpukan atau fokus kepada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan seterusnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Persediaan dari awal bagi setiap tahap peperiksaan memberi jaminan bagi kejayaan apabila melangkah ke menara gading kelak.
Kejayaan yang ingin dicapai sebenarnya tidak semudah yang disangka. Pelajar perlu menetapkan matlamat, merangka dan menyusun strategi lalu melaksanakan perancangan tersebut. Seandainya kejayaan berjaya dikecapi pada peringkat awal, tidak mustahil dia akan terus mengecapi kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang.
Oleh itu, untuk mencapai sesuatu kejayaan seseorang itu haruslah membuat perancangan dan melalui proses untuk sampai ke tahap itu dengan cemerlang.
Allah telah berfirman :
Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berperang untuk membela agamaNya, dengan barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang kukuh.
(As-Saff; 4)
Setiap apa yang kita lakukan mesti mempunyai perancangan kerana jika tidak sesuatu yang kita lakukan itu pasti tidak akan sempurna.
Wallahu’alam.
( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )
No comments:
Post a Comment