Wednesday, July 11, 2012

Mutiara tidak dimuntahkan oleh laut

Logiknya mutiara tidak akan timbul di permukaan laut begitu sahaja. Mutiara ialah satu batu hiasan yang bernilai tinggi yang biasanya berada di dalam tiram iaitu sejenis haiwan dalam keluarga siput. Haiwan ini pula tinggal di dasar laut sambil melekat di batu-batu karang. Para penyelam harus membuat persiapan yang rapi bagi mendapatkan batu-batu mutiara ini. Kerja ini amatlah bahaya serta perlu diusahakan dengan gigih.

Pepatah ini bermaksud, sesuatu ilmu itu tidak datang dengan sendirinya. Seseorang itu perlu belajar secara formal atau belajar melalui pengalaman untuk memperoleh ilmu tersebut.

Di dalam konteks menuntut ilmu pada hari ini, seseorang pelajar itu haruslah :

  1. Pergi ke sekolah

a)      Di sekolah, para pelajar akan menjalankan aktiviti-aktiviti yang telah disediakan oleh pihak sekolah seperti belajar di dalam kelas, menjalankan aktiviti ko-kurikulum dan sebagainya.

  1. Membuat kerja sekolah

a) Bagi menilai tahap kefahaman seseorang pelajar itu, mereka diberi tugasan untuk dipersembahkan kepada guru-guru.
b)  Tugasan ini akan disemak oleh guru-guru. Pelajar-pelajar juga akan dapat menilai tahap kefahaman mereka melalui tugasan yang telah disemak oleh guru-guru.

  1. Belajar di rumah (atau tempat-tempat lain yang difikirkan sesuai)

a)   Bagi memantapkan lagi tahap kefahamannya, seseorang pelajar itu seharusnya melakukan ulangkaji serta belajar mengikut kesesuaian. Mereka boleh belajar di perpustakaan, di taman-taman, di rumah dan sebagainya sama ada secara bersendirian atau secara berkumpulan.

Seseorang pelajar itu mesti berusaha bagi mencapai perkara yang beliau hajati. Tanpa usaha, seseorang pelajar itu tidak akan dapat mencapai kecemerlangan di dalam bidang yang diceburinya.

Mengimbau perjuangan para penuntut ilmu di zaman lalu, mereka wajar dijadikan suri teladan. Banyak contoh dan pengajaran yang dapat kita ambil daripada kesungguhan dan kesabaran mereka dalam menuntut ilmu.

Antaranya, bagi yang pernah membaca kisah hidup para ulama’ hadis, mereka sanggup keluar mengembara dari satu tempat, ke tempat yang lain, dari satu negeri ke negeri yang lain semata-mata untuk mengumpulkan walau satu hadis. Melihat kepada jarak, tempoh masa, kesusahan, pngorbanan wang dan tenaga yang dihabiskan, membuatkan kita menggeleng kepala seakan-akan tidak percaya bagaimana mereka mampu untuk melakukannya.

Imam Ibnu al-Jauzi Rahimahullah pernah berkata: Imam Ahmad bin Hanbal mengelilingi dunia sebanyak dua kali sehinggalah beliau menghimpunkan al-Musnad (nama kitab yang dikarang oleh beliau). Beliau merentas dunia menuju Sham, Maghribi, Algeria,Mekah, Madinah, Hijaz, Yaman, Iraq kemudian beliau  pulang kembali ke Baghdad.

Sa’id bin al-Musayyab (wafat 94H) berkata : Aku pernah merantau beberapa hari dan beberapa malam untuk mencari satu hadis.

Pendek kata, tiada jalan mudah bagi seseorang untuk mencapai kejayaan. Seperti juga seorang pelajar, mereka harus mencari ilmu tersebut walau hanya dengan membaca buku yang sudah ada di hadapan matanya. Itu merupakan contoh usaha yang paling mudah. Keistimewaan dan kemudahan yang ada di sekeliling kita pada hari ini sudah cukup untuk kita berasa amat bersyukur berbanding suasana pembelajaran yang ditempuhi oleh ulama’ pada zaman silam.

Selain itu, terdapat pelbagai lagi cara untuk belajar. Imam as-Syafie, seorang ulama’ yang terkenal memberi panduan dan resepi untuk seseseorang mendapatkan ilmu.

Imam Syafie berkata:
Wahai saudaraku…ilmu tidak akan diperoleh kecuali dengan enam perkara yang akan saya beritahukan perinciannya: (1) kecerdasan, (2) semangat, (3) sungguh-sungguh, (4) berkecukupan, (5) bersahabat (belajar) dengan ustaz, (6) memerlukan waktu yang lama.

Kesimpulannya, untuk mencapai satu kejayaan yang cemerlang dalam kehidupan, sesuatu yang pasti dan harus kita lakukan ialah melakukan pengorbanan dari segi masa, tenaga, harta dan sebagainya. Selain daripada pengorbanan, usaha yang gigih dan berterusan serta penetapan matlamat yang jelas juga perlu kerana tiada jalan pintas untuk berjaya.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment