Bidalan ini bermaksud melakukan kerja-kerja yang susah dahulu dan kerja-kerja yang senang dilakukan kemudian.
Orang-orang tua telah menasihati kita agar melakukan kerja-kerja yang susah dahulu agar kemudian mendapat kemudahan dan kesenangan. Menuntut ilmu itu payah. Menuntut ilmu itu susah. Rumit kerana terpaksa mengingati, memahami, menghafal dan sebagainya.
Kesusahan dan kepayahan yang dirasai pada hari ini, dengan izin Tuhan akan memberikan kenikmatan dan kesenangan di kemudian hari. Kesusahan seperti terpaksa bangun awal, memasuki sekolah berasrama, memasuki universiti dan sebagainya., akan menjadi ringan apabila menjawat jawatan yang tinggi di kemudian hari.
Kesenangan yang kita nikmati hari ini seperti berfoya-foya, melepak dengan kawan-kawan, malas membuat kerja sekolah dan nilai-nilai negatif yang lain akan mengakibatkan kita mendapat pekerjaan yang setimpal dengan usaha kita. Andaian ini ditujukan kepada majoriti orang ramai. Tidak dinafikan ada yang berjaya dengan kudrat dan usaha yang sedikit.
Usaha untuk mendapatkan ilmu pengetahuan hendaklah dijayakan sejak awal lagi. Usaha itu memenatkan tetapi kepenatan yang kita alami akan menjadikan kita lebih ,matang dan bersyukur apabila mencapai matlamatnya. Berusahalah kerana kita tidak tahu apa yang ada di depan kita.
Allah SWT telah berfirman :
Maka sesunguhnya selepas kesukaran itu kemudahan . Sesungguhnya selepas kesukaran itu kemudahan.
( al-Syarh: 5-6)
Kita harus menjadikan ayat-ayat tersebut sebagai motivasi kepada diri agar tidak mudah kalah dengan kesusahan dan kesulitan yang dihadapi semasa menuntut ilmu. Agama Islam mewajibkan umatnya agar menuntut ilmu. Ini terbukti kerana ayat al-Quran pertama yang diturunkan adalah dengan lafaz ‘Iqra’ yang bermaksud ‘bacalah’.
Surah al-Syarh (Alam Nasyrah) ayat 1-8 boleh dijadikan amalan harian dengan membacanya setiap kali ingin belajar atau sewaktu kita menghadapi kesusahan dalam urusan yang dilakukan. Dengan izin Allah SWT hati akan menjadi lapang, tenang dan urusan tersebut akan dipermudahkan oleh Allah SWT.
Kesimpulannya setiap sesuatu itu pasti ada ujian dan cabaran tersendiri. Kita harus kuatkan tekad dan azam serta berfikiran positif dengan cabaran itu kerana cabaran itu akan melatih kita menjadi matang dalam melaksanakan usaha dan tindakan. Hasilnya kita akan mudah untuk melakar kejayaan yang cemerlang pada masa hadapan. Ingatlah di sebalik kesenangan ada kesusahan.
Wallahu'alam.
Wallahu'alam.
( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )
No comments:
Post a Comment