Tuesday, July 31, 2012

Membunuh mimpi

Usiamu menghampiri sunti dara
mengibarkan rasa di selendang sutera
menyembunyikan malu di bilik terkunci
diselubungi rindu lagu dan tari
seribu bayang seribu mimpi
yang manis indah kerana itulah mimpi.

Mimpi itu adalah keajaiban anugerah
tapi dialah nanti menyebabkan kau gundah
terasing di cermin kenyataan
kehidupan yang ganas dan kejam

Sunti daraku
jangan kau pinjam lamunanku, hati seorang ayah
yang kini ku benci sebab begitu lemah
selamanya mimpiku hidup ini serba indah.

Bunuhlah mimpi ini, anakku
kau membunuh segala palsu
lagu dan rindu
yang selalu menipumu.

Dapatkan keberanian hidup baru
dari kekuatan hati dan ketinggian ilmu.


( Usman Awang, DBP 1987 )

No comments:

Post a Comment