Wednesday, July 11, 2012

Kail sebentuk umpannya seekor, sekali putus sekali hanyut

Kail atau pancing digunakan untuk memancing ikan atau udang. Alat ini merangkumi kail, tali dan mata kail. Untuk memancing, umpan digunakan dan dicucuk pada mata kail. Umpan pula, biasanya terdiri daripada anak ikan atau udang. Apabila tali pancing yang terdapat satu mata kail dan seekor umpan terputus, maka tangkapan tidak dapat diteruskan lagi. Sebaliknya apabila mata kail diletakkan dalam kuantiti yang banyak, maka kerja-kerja menangkap ikan tidak akan terbantut apabila mata kail dibawa lari oleh ikan.

Pepatah ini bermaksud seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan tanpa membuat persediaan yang mantap dan cukup bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Seseorang pelajar itu harus bersedia bagi menghadapi sebarang bentuk ujian yang bakal mereka tempuhi. Petua ringkas yang sering diperingatkan kepada setiap pelajar iaitu:

  1. Doa

a)      Sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada memohon kepada Tuhan Yang Maha Esa.
b)      Doa menunjukkan seseorang hamba itu bersyukur terhadap Penciptanya.

  1. Usaha

a)      Pelajar-pelajar harus bijak mengurus diri iaitu dengan berdikari, mementingkan kekemasan diri serta menjaga kesihatan diri.
b)      Pelajar-pelajar juga hendaklah bijak mengurus masa dan pandai membahagikan masa untuk belajar dan masa untuk aktiviti-aktiviti peribadi yang lain.

  1. Istiqamah (berterusan)

a)      Semua aktiviti yang dirancang hendaklah dilakukan secara berterusan.
b)      Aktiviti yang dilakukan secara berterusan akan menjadi mudah dan tidak membebankan.

  1. Tawakkal (berserah)

a)      Setelah berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh, kita hendaklah berserah segala-galanya kepada Tuhan Yang Maha Esa.
b)      Apa sahaja yang berlaku ditentukan olehNya.

Pelajar-pelajar harus bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Persediaan tersebut hendaklah dilakukan dari awal lagi. Dalam kita berusaha, kita jangan lupa kepada Yang Maha Pencipta kerana Dia telah memberikan nikmat yang banyak kepada kita.

Allah SWT telah berfirman :

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

                                    (al-Hasyr : 18)

Menurut Iman al-Ghazali, ayat ini mengandungi makna bahawa manusia harus memperhatikan dari setiap perbuatan yang dikerjakannya, serta harus mempersiapkan diri (merencanakan) untuk selalu berbuat yang terbaik demi hari esok (akhirat).

Bagi seorang pelajar, kebiasaannya persiapan rapi yang dilakukan untuk menghadapi peperiksaan akan membuahkan kejayaan dengan izin Allah SWT. Empat petua di atas tadi iaitu doa, usaha, istiqamah dan tawakkal hendaklah diamalkan. Petua-petua tersebut sebenarnya bertepatan dengan apa yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah saw sejak 1400 tahun yang lalu.

Antaranya:

1)      Doa

Allah SWT telah berfirman :

Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kamu kepadaKu sescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.

                                    (Surah Ghafir : 60)

2)      Usaha (bersungguh-sungguh / itqan )

Sabda Rasulullah saw :

Allah SWT sangat menyukai mana-mana hambaNya yang bila melakukan sesuatu kerja dilakukannya dengan sungguh-sungguh.

3)      Istiqamah

Hadis Rasulullah saw daripada Abu Hurairah ra :

Sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah amalan yang berterusan sekalipun sedikit.

                                    (Baihaqi)

4)      Tawakkal

Allah SWT telah berfirman :

Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman.

                                    (al-Maidah : 23)

Allah SWT juga berfirman :

Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya).

                                                (ath-Thalaq : 3)

Kesimpulannya, untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, seorang pelajar haruslah bersedia dari segi fizikal, mental dan spiritual agar tidak mudah berputus asa di pertengahan jalan. Setelah usaha bersungguh-sungguh, bertawakallah kepada Allah SWT.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment