Thursday, July 12, 2012

Aur ditanam, betung tumbuh

Apabila kita pergi ke sungai-sungai, kita akan melihat rimbunan pokok-pokok buluh. Kita juga pernah mendengar peribahasa seperti aur dengan tebing, yang bermaksud suka bertolong-tolongan. Aur ialah buluh. Terdapat pelbagai jenis buluh seperti buluh cina, buluh kuning, buluh hitam dan sebagainya. Aur ini adalah daripada jenis buluh yang kecil-kecil. Manakala betung pula adalah kategori buluh yang besar – seperti buluh betung.

Pepatah aur ditanam, betung tumbuh bermaksud mendapat pulangan yang besar dengan usaha atau modal yang sedikit. Ada juga pepatah betung ditanam, aur yang tumbuh yang membawa maksud yang sebaliknya.

JIka difikirkan, bagi mereka yang telah bekerja dan berjaya dalam karier masing-masing, usaha mereka jika diukur dengan pendapatan yang diterima adalah jauh lebih baik berbanding dengan usaha mereka. Gaji sebanyak lima angka, atau mendapat keuntungan yang lumayan dalam perniagaan adalah antara pulangan yang diterima dengan usaha yang telah dilakukan semasa muda.

Sebagai seorang pelajar, tugas dan tanggungjawab mereka yang paling utama adalah belajar. Bagi kebanyakan pelajar, ibu bapa  mereka telah menyediakan pelbagai kemudahan agar anak-anak mereka dapat berjaya dalam bidang pendidikan. Selain daripada menyediakan makan-minum dan pakaian, mereka menyediakan bahan-bahan pembelajaran serta persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Bagi ibu bapa yang peka, anak-anak dihantar ke pra-sekolah yang terbaik. Pada peringkat sekolah rendah pula, ibu bapa memilih sekolah yang terbaik serta menghantar anak-anak untuk mengikuti kelas-kelas agama di sebelah petang. Apabila melangkah ke sekolah menengah pula, ibu bapa sibuk menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh atau mengikuti kelas-kelas tambahan yang terbaik.

Bukahkah itu semua dilakukan oleh orang lain? Pelajar-pelajar hanya perlu membaca buku, berbincang, memahami dan sebagainya. Pendek kata, tugas pelajar-pelajar hanya belajar serta membuktikan kepada ibu bapa dan guru-guru kebolehan mereka.

Kebanyakan pelajar tidak merasa penat jerihnya untuk mendapatkan wang ringgit semasa belajar. Ibu bapa serta penjaga bertanggungjawab memperoleh wang ringgit untuk kemajuan anak atau jagaan mereka. Pelajar-pelajar hanya perlu belajar. Modal mereka hanya kecil. Sekadar memerah otak yang juga kecil. Hasilnya kelak akan dinikmati sendiri, atau diagih-agih sedikit sahaja kepada ibu bapa. Mereka hanya berusaha ‘sedikit’ untuk hasil yang banyak.

Sesungguhnya nikmat dan limpah kurnia Allah SWT amat luas kepada hamba-hambaNya. Allah SWT telah berfirman :

Sekiranya kamu ingin mengira nikmat Allah maka kamu tidak dapat menghitungnya.
                                                ( Ibrahim : 34 )


Dalam ayat ini jelas bahawa sekiranya ingin dibandingkan dengan nikmat dan kurniaan Allah SWT kepada kita selaku hamba, sememangnya tidak terhitung dan tidak terbalas. Udara yang percuma, bumi yang dihuni tanpa perlu membayar sewa, makanan dan buah-buahan dari muka bumi yang kita makan tidak perlu dibayar dan pelbagai lagi pemberian dan kemudahan yang telah Allah SWT sediakan kepada hamba-hambaNya.

Maka lebih-lebih lagi bagi seorang pelajar, mendapat keselesaan dan kemudahan sebagaimana yang telah diterangkan. Maka sudah pasti usaha yang dilakukan sebagai seorang pelajar untuk mencapai kejayaan sebenarnya tidaklah besar jika dibandingkan dengan keselesaan dan kemudahan yang telah berada di sekeliling mereka pada hari ini. Oleh itu, rasa syukur perlu dipanjatkan kerana usaha yang hanya sedikit ini membuahkan hasil yang besar iaitu sebuah kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, kita seharusnya bersyukur dengan apa yang telah Allah SWT kurniakan kepada seluruh manusia. Jika kita bersyukur, Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat pada kita. Bagi seorang pelajar pula, mereka juga perlu bersyukur dengan kemudahan dan persiapan yang telah disediakan oleh ibu bapa untuk kita belajar dengan selesa. Oleh itu . kita perlulah belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang bagi membalas jasa ibu bapa kita yang telah banyak bekorban untuk kita.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

No comments:

Post a Comment