Showing posts with label Buku Peribahasa. Show all posts
Showing posts with label Buku Peribahasa. Show all posts

Thursday, July 12, 2012

Aur ditanam, betung tumbuh

Apabila kita pergi ke sungai-sungai, kita akan melihat rimbunan pokok-pokok buluh. Kita juga pernah mendengar peribahasa seperti aur dengan tebing, yang bermaksud suka bertolong-tolongan. Aur ialah buluh. Terdapat pelbagai jenis buluh seperti buluh cina, buluh kuning, buluh hitam dan sebagainya. Aur ini adalah daripada jenis buluh yang kecil-kecil. Manakala betung pula adalah kategori buluh yang besar – seperti buluh betung.

Pepatah aur ditanam, betung tumbuh bermaksud mendapat pulangan yang besar dengan usaha atau modal yang sedikit. Ada juga pepatah betung ditanam, aur yang tumbuh yang membawa maksud yang sebaliknya.

JIka difikirkan, bagi mereka yang telah bekerja dan berjaya dalam karier masing-masing, usaha mereka jika diukur dengan pendapatan yang diterima adalah jauh lebih baik berbanding dengan usaha mereka. Gaji sebanyak lima angka, atau mendapat keuntungan yang lumayan dalam perniagaan adalah antara pulangan yang diterima dengan usaha yang telah dilakukan semasa muda.

Sebagai seorang pelajar, tugas dan tanggungjawab mereka yang paling utama adalah belajar. Bagi kebanyakan pelajar, ibu bapa  mereka telah menyediakan pelbagai kemudahan agar anak-anak mereka dapat berjaya dalam bidang pendidikan. Selain daripada menyediakan makan-minum dan pakaian, mereka menyediakan bahan-bahan pembelajaran serta persekitaran pembelajaran yang kondusif.

Bagi ibu bapa yang peka, anak-anak dihantar ke pra-sekolah yang terbaik. Pada peringkat sekolah rendah pula, ibu bapa memilih sekolah yang terbaik serta menghantar anak-anak untuk mengikuti kelas-kelas agama di sebelah petang. Apabila melangkah ke sekolah menengah pula, ibu bapa sibuk menghantar anak-anak ke sekolah berasrama penuh atau mengikuti kelas-kelas tambahan yang terbaik.

Bukahkah itu semua dilakukan oleh orang lain? Pelajar-pelajar hanya perlu membaca buku, berbincang, memahami dan sebagainya. Pendek kata, tugas pelajar-pelajar hanya belajar serta membuktikan kepada ibu bapa dan guru-guru kebolehan mereka.

Kebanyakan pelajar tidak merasa penat jerihnya untuk mendapatkan wang ringgit semasa belajar. Ibu bapa serta penjaga bertanggungjawab memperoleh wang ringgit untuk kemajuan anak atau jagaan mereka. Pelajar-pelajar hanya perlu belajar. Modal mereka hanya kecil. Sekadar memerah otak yang juga kecil. Hasilnya kelak akan dinikmati sendiri, atau diagih-agih sedikit sahaja kepada ibu bapa. Mereka hanya berusaha ‘sedikit’ untuk hasil yang banyak.

Sesungguhnya nikmat dan limpah kurnia Allah SWT amat luas kepada hamba-hambaNya. Allah SWT telah berfirman :

Sekiranya kamu ingin mengira nikmat Allah maka kamu tidak dapat menghitungnya.
                                                ( Ibrahim : 34 )


Dalam ayat ini jelas bahawa sekiranya ingin dibandingkan dengan nikmat dan kurniaan Allah SWT kepada kita selaku hamba, sememangnya tidak terhitung dan tidak terbalas. Udara yang percuma, bumi yang dihuni tanpa perlu membayar sewa, makanan dan buah-buahan dari muka bumi yang kita makan tidak perlu dibayar dan pelbagai lagi pemberian dan kemudahan yang telah Allah SWT sediakan kepada hamba-hambaNya.

Maka lebih-lebih lagi bagi seorang pelajar, mendapat keselesaan dan kemudahan sebagaimana yang telah diterangkan. Maka sudah pasti usaha yang dilakukan sebagai seorang pelajar untuk mencapai kejayaan sebenarnya tidaklah besar jika dibandingkan dengan keselesaan dan kemudahan yang telah berada di sekeliling mereka pada hari ini. Oleh itu, rasa syukur perlu dipanjatkan kerana usaha yang hanya sedikit ini membuahkan hasil yang besar iaitu sebuah kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat.

Kesimpulannya, kita seharusnya bersyukur dengan apa yang telah Allah SWT kurniakan kepada seluruh manusia. Jika kita bersyukur, Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat pada kita. Bagi seorang pelajar pula, mereka juga perlu bersyukur dengan kemudahan dan persiapan yang telah disediakan oleh ibu bapa untuk kita belajar dengan selesa. Oleh itu . kita perlulah belajar dengan bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang bagi membalas jasa ibu bapa kita yang telah banyak bekorban untuk kita.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

Lurus jarum, lulus kelindan

Jarum adalah satu keluli yang halus – tajam di hujungnya dan berlubang di pangkalnya. Jarum digunakan untuk menjahit. Sebelum menjahit, benang akan dimasukkan ke dalam lubang di pangkal jarum tersebut.  Kelindan pula adalah alat untuk mengulung benang. Kadang-kadang disebut sebagai gelendong.

Lihat bagaimana sebuah mesin jahit berkerja. Benang, jarum dan kelindan bekerja bersama-sama. Yang dahulu didahulukan. Sekiranya benang dimasukkan ke jarum, barulah kelindan dapat melepaskan sedikit demi sedikit benangnya bagi menjahit sesuatu kain atau fabrik.

Pepatah ini bermaksud sekiranya sesuatu kehendak itu tercapai, maka kehendak berikutnya akan tercapai juga.

Dalam sistem pembelajaran di negara kita, semua pelajar tidak dapat meneruskan pengajian terus ke universiti tanpa mengikuti proses pengajian yang telah ditetapkan.

Pengajian selama enam tahun di sekolah kebangsaan dan lima tahun di peringkat menengah. Kemudian setahun setengah di peringkat menengah atas atau di peringkat matrikulasi atau asasi. Selepas melalui proses-proses ini, barulah seseorang itu dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.

Di peringkat persekolahan lagi, seseorang pelajar itu harus mempunyai cita-cita atau matlamatnya. Cita-cita atau matlamat yang jelas akan menjadikan seseorang pelajar itu cekal dan berdaya saing. Mereka tidak patah semangat apabila menemui kegagalan, malah menjadikannya sebagai dorongan atau semangat untuk memperbaiki diri mereka.

Mereka yang mempunyai matlamat jangka panjang – seperti bercita-cita menjadi doktor, jurutera, usahawan dan sebagainya; mempunyai matlamat jangka pendek yang spesifik.

Pada peringkat awal, pelajar-pelajar sekolah seharusnya memikirkan dan berusaha bersungguh-sungguh bagaimana untuk menempa kejayaan di peringkat Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),. Kemudian, mereka menumpukan atau fokus kepada peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan seterusnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Persediaan dari awal bagi setiap tahap peperiksaan memberi jaminan bagi kejayaan apabila melangkah ke menara gading kelak.

Kejayaan yang ingin dicapai sebenarnya tidak semudah yang disangka. Pelajar perlu menetapkan matlamat, merangka dan menyusun strategi lalu melaksanakan perancangan tersebut. Seandainya kejayaan berjaya dikecapi pada peringkat awal, tidak mustahil dia akan terus mengecapi kejayaan demi kejayaan pada masa akan datang.

Oleh itu, untuk mencapai sesuatu kejayaan seseorang itu haruslah membuat perancangan dan melalui proses untuk sampai ke tahap itu dengan cemerlang.

Allah telah berfirman :

Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berperang untuk membela agamaNya, dengan barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang kukuh.

                                    (As-Saff; 4)

Setiap apa yang kita lakukan mesti mempunyai perancangan kerana jika tidak sesuatu yang kita lakukan itu pasti tidak akan sempurna.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

Orang haus diberi air, orang lapar diberi nasi

Haus itu dahaga, dahaga itu akan hilang apabila menerima air. Lapar itu adalah satu perasaan yang memerlukan makanan, dan dalam konteks makanan ruji kita itu nasi, apabila diberi nasi maka hilanglah rasa lapar itu.

Kedua-dua sifat iaitu lapar dan dahaga menunjukkan bahawa seseorang itu memerlukan air dan makanan. Apabila berasa dahaga, diberinya air; apabila lapar, diberinya nasi.

Maksud pepatah ini; seseorang yang memperoleh apa yang dihajatinya.

Ilmu dapat memberikan banyak perkara yang kita hajati. Kita harus menerima hakikat bahawa sesetengah daripada kemewahan atau kesenangan disumbangkan oleh ilmu yang kita miliki. Apakah yang manusia mahukan di dunia ini? Manusia mahukan kemewahan, manusia mahukan kesenangan, manusia mahukan kawan-kawan, manusia mahukan harta dan lain-lain.

Apa sahaja yang diingini manusia itu kebanyakkannya boleh diperoleh apabila seseorang itu mempunyai wang. Namun bagi memperoleh wang, mereka harus mempunyai ilmu. Hanya ilmulah sahaja ‘lesen’ bagi mendapatkan sesuatu di dunia ini. Dengan ilmu, kita dapat mencorak keinginan kita menjadi suatu realiti.

Ilmu dapat menjamin masa depan seseorang itu. Ilmu yang baik dapat memberi pulangan yang baik dan begitulah sebaliknya.

Berkaitan dengan peribahasa ni, Rasulullah saw ada bersabda :

Sesiapa yang inginkan dunia, maka hendaklah dia berilmu, sesiapa yang inginkan akhirat, maka hendaklah dia berilmu, dan sesiapa yang inginkan kedua-duanya (dunia dan akhirat), maka hendaklah dia berilmu.

Apa yang dapat kita fahami ialah ilmu menjamin kebahagiaan kita di dunia mahu pun di akhirat. Seseorang akan mendapat apa yang diimpikannya di dunia sekiranya dia mempunyai ilmu. Pekerjaan yang baik, kemuliaan di sisi manusia lain, keluarga dan kehidupan yang mulia dan segala macam keinginan dan kehendak manusia yang pelbagai.

Seseorang yang inginkan kehidupan yang baik di akhirat tempat tinggal yang abadi pula perlu juga berilmu. Pengetahuan tentang aqidah, ibadah dan akhlak perlulah seiring untuk ditimba sebagai bekal menjadi muslim yang taat kepada perintah Allah SWT.

Banyak para ilmuan dan cendekiawan Islam terdahulu yang dapat diteladani dan dijadikan contoh. Melalui pengalaman hidup mereka, kejayaan demi kejayaan yang mereka peroleh hasil usaha dalam menuntut ilmu bermula dari awal lagi. Ternyata mereka lahir sebagai ilmuwan dan orang yang berjaya dan pencetus kepada kebangkitan dalam pelbagai bidang ilmu.

Kesimpulannya, ilmu merupakan aset yang paling penting buat manusia untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan di akirat. Di dunia, dengan ilmu kita memperoleh kejayaan, dengan kejayaan kita memperoleh wang, dengan wang kita boleh memiliki apa-apa sahaja yang kita mahukan. Manakala bagi pengamal ilmu tentang agama Islam yang menguatkan lagi iman mereka akan menjadi penyelamat ketika di akhirat kelak.

Wallahu’alam.


( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

Rajin bekerja, mudah belanja

Pepatah ini begitu ringkas bunyinya. Apabila seseorang itu rajin bekerja, secara umumnya beliau akan memperoleh pendapatan yang banyak. Ini terjadi di pelbagai sektor pekerjaan. Buruh yang rajin bekerja akan menerima imbuhan kerja lebih masa atau bayaran bonus yang tinggi. Seseorang eksekutif yang rajin bekerja akan dinaikkan pangkat serta mendapat gaji yang lumayan. Sudah semestinya apabila memperoleh gaji atau imbuhan yang banyak, memudahkan kita untuk berbelanja.

Pepatah ini bermaksud; sesiapa yang rajin akan memperoleh rezeki yang baik.

Semua orang berhasrat untuk mencapai kebahagiaan. Kebahagiaan pula dapat dinikmati apabila kita memperoleh sesuatu bergantung kepada keadaan dan situasi. Antara perkara yang membahagiakan kita adalah pasangan atau anak yang taat perintah atau soleh dan solehah, rumah yang baik, kenderaan yang baik atau persekitaran yang baik. Faktor pendapatan yang baik dan banyak sering dijadikan ukuran kebahagiaan. Betul, kadang-kadang imbuhan yang banyak dapat membahagiakan kita, lebih-lebih lagi diperoleh daripada sumber yang halal. Ilmu dapat menjamin masa depan seseorang. Dengan ilmu, dia memperoleh kejayaan, mendapat kerjaya yang baik, pendapatan yang lumayan serta kebahagiaan dalam hidup sebagaimana yang telah diterangkan. Hakikatnya  kita selaku hamba perlu sedar yang semua itu datangnya dari yang Maha Kaya iaitu Allah SWT.

Allah SWT telah berfirman :

Sesungguhnya Tuhanmulah yang meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) , dan Allah juga yang menyempitkannya (menurut yang demikian). Sesungguhnya Allah Maha Mendalam Pengetahuannya, lagi Maha Melihat akan hamba-hambaNya.

                                    (al-Isra : 30)

Seseorang yang rajin bekerja dan berusaha akan mendapat apa yang diinginkan dengan izin Allah SWT. Tetapi rezeki yang diperoleh tidak datang begitu sahaja tanpa usaha dan ikhtiar yang bersungguh-sungguh.

Pepatah Arab ada menyebut ;

Sesiapa berusaha pasti berjaya, siapa menanam pasti menuai.
Allah SWT telah berfirman :

Bahawasanya seorang manusia tidak memperoleh selain apa yang diusahakan.

                        (an-Najm : 39)

Di sini, dapat kita fahami bahawa seseorang itu akan memperoleh sesuatu berdasarkan apa yang telah diusahakan. Sekiranya banyak, maka banyaklah juga pulangannya dan begitulah sebaliknya. Oleh itu, bagi orang yang rajin bekerja dan berusaha keras menuntut ilmu untuk mencapai kejayaan, maka dia akan mendapat balasan dalam bentuk rezeki yang luas, pekerjaan yang baik, kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup.

Kesimpulannya, setiap manusia semestinya menginginkan masa depan yang cerah. Usaha dan rajin merupakan salah satu sifat yang perlu kita tanam dalam diri kita, Allah SWT pasti akan menurunkan rezeki kepada mereka yang telah berusaha.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

Wednesday, July 11, 2012

Sebab mutiara sebiji, lautan yang dalam diselami orang

Sebagaimana yang telah diterangkan sebelum ini, mutiara adalah hasil laut yang dibuat hiasan serta bernilai tinggi. Batu mutiara itu kecil saiznya, tetapi  banyak yang sanggup menyelam ke dasar lautan untuk memperolehnya.

Maksud pepatah ini, orang yang mempunyai ilmu, tetap akan dicari oleh manusia walaupun beribu batu tempat tinggalnya.

Apabila seseorang pelajar itu mencapai kejayaan, pelajar tersebut ditempatkan di universiti atau kolej yang baik serta dapat mengikuti pengajian yang sesuai dengan tahap kecemerlangan yang beliau miliki. Keadaan ini akan menjadikan pelajar tersebut mendapat peluang pekerjaan yang baik, sesuai dengan usaha serta persekitaran yang baik baginya mencapai kejayaan.
                      
Apabila  seseorang itu mendapat pencapaian yang baik di dalam pendidikan serta baik di dalam bidang pekerjaannya, orang ramai berpusu-pusu datang menemui untuk mendapatkan maklumat yang berkaitan dengan ilmunya. Hal ini akan dapat memberi manfaat kepada dirinya serta orang lain

Kebiasaannya, apabila kita menyampaikan ilmu kepada orang lain, secara tidak langsung ilmu kita pula yang semakin bertambah. Kejadian ini berlaku kerana penyampaian ilmu terjadi secara komunikasi dua hala. Pelajar atau mereka yang mahukan ilmu bertanya dari pelbagai sudut serta memberikan pandangan dan penjelasan tentang sesuatu itu sehinggakan penyampai dapat menambah ilmunya itu.

Semasa seseorang itu menuntut ilmu, beliau akan berasa pelbagai keperitan dan kesusahan. Kesusahan yang dialami itu akan menjadi ringan apabila memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang. Biasanya keputusan sebegini akan menghasilkan pulangan yang baik semasa di alam pekerjaan.

Orang yang berilmu dijanjikan oleh Allah SWT dengan kedudukan yang mulia di sisiNya dan di sisi masyarakat. Hal ini telah dinukilkan dalam al-Quran.

Allah SWT telah berfirman :

Allah akan meninggilkan orang-orang yang beriman di antara kalian dan orang-orng yang diberi ilmu beberapa darjat.

                        (al-Mujadilah : 11)

Maka tidak hairanlah sekiranya kita melihat orang yang berilmu dalam pelbagai bidang mendapat tempat di sisi masyarakat. Mereka dihormati, sentiasa dicari dan dirujuk oleh masyarakat. Mereka juga mendapat pekerjaan dan tempat tinggal yang baik hasil daripada apa yang diusahakan sebelum ini. Allah SWT meninggikan kedudukan mereka sewaktu di dunia lagi dengan kenikmatan yang diperolehi agar mereka menjadi golongan yang bersyukur dan semakin akrab dengan penciptanya.

Sabda Rasulullah saw, riwayat Abu Naim daripada Anas ra, maksudnya : Ilmu pengetahuan itu menambahkan mulia dan meninggikan taraf seorang hamba kepada raja.

Seseorang yang berilmu akan memberi manfaat kepada orang lain kerana dijadikan rujukan dan tempat meminta pandangan. Sebagai contoh, seorang doktor pakar dalam bidang tertentu akan dirujuk oleh masyarakat untuk merawat kesakitan yang dialami. Seorang ulama akan didatangi oleh mereka yang mempunyai kemusykilan dalam bidang agama dan ingin meminta pendapat daripadanya. Seorang arkitek dan kontraktor yang mahir akan diberi tawaran untuk melaksanakan sesuatu projek pembangunan yang besar.

Maka, apapun jua bidang ilmu yanh kita kuasai, sekiranya disampaikan dan dikongsi, akan memberi manfaat kepada umat. Kita hampir kepada menjadi manusia yang paling baik sebagaimana sabda Rasulullah saw :

Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaat kepada manusia lain.

Kesimpulan, seperti yang telah disebutkan di dalam al-Quran, Allah SWT telah menjanjikan tempat yang mulia bagi orang yang berilmu. Oleh itu, kita perlu berusaha untuk memperoleh ilmu tersebut walau perlu mengharungi pelbagai rintangan dan cabaran namun ianya akan memberi impak yang lebih kepada kita pada masa hadapan kelak. Dengan ilmu juga kita dapat membantu golongan masyarakat yang memerlukan bantuan. 

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

Alah bisa tegal biasa

Pernahkah anda melihat seorang pakar ular bermain dengan ular peliharaannya? Pemain ular biasa dipatuk ular berkali-kali, sehingga dia telah terbiasa dengan patukan ular-ularnya  itu. Pemain ular sudah terbiasa dengan bisa-bisa ular. Dia sudah alah kepada bisa.

Alahnya kepada bisa kerana sudah menjadi kebiasaan kepadanya. Alah bisa tegal biasa atau alah kepada bisa kerana biasa. Bagi mencapai ke tahap alah kepada bisa, seseorang pemain ular harus berlatih berkali-kali. Beliau harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-citanya agar ular-ularnya itu patuh kepada arahannya.

Pepatah alah bisa tegal biasa bermaksud sesuatu yang dilakukan secara kerap akan menjadi mudah.

Seseorang pelajar yang cemerlang seharusnya tidak berputus asa dalam proses pembelajaran. Pelajar-pelajar mungkin menghadapi kegagalan, namun itu semua bukan akhir kepada segala-galanya.

Kita semua tidak dilahirkan bijak kepada subjek matematik. Kita semua dianugerahkan dengan akal fikiran yang sama. Perbezaan di antara kita semua adalah usaha. Usaha itu hendaklah berterusan agar mencapai tahap biasa kepada subjek atau permasalahan.

Tanpa usaha yang berterusan itu, kita mendapati sesuatu subjek itu begitu  sukar dan akhirnya kita sendiri tidak berminat dengan subjek tersebut. Bagi mencapai ke tahap biasa kepada subjek-subjek tertentu, para pelajar haruslah :

a)      Membuat kerja rumah
b)      Membuat latihan atau mengulang kaji
c)      Berbincang dengan kawan-kawan
d)      Bertanya kepada guru atau rakan-rakan

Semua pelajar tidak dilahirkan pandai atau bodoh. Kita menjadi bodoh apabila kita sombong dengan enggan berusaha. Usaha yang berterusan akan menjadikan kita semua terbiasa dengan sesuatu keadaan. Rajin berusaha menjadikan kita semakin matang dan boleh menjawab soalan peperiksaan dengan mudah. Terbiasa dengan melakukan kerja rumah, menjawab soalan-soalan tahun–tahun terdahulu akan memudahkan kita menjawab soalan-soalan peperiksaan.

Peribahasa ini menerangkan bahawa usaha berterusan yang dilakukan dalam sesuatu pekerjaan akan menjadikannya mahir dan sudah terbiasa dengan apa yang dilakukan itu. Dari perspektif Islam, peribahasa ini bertepatan dengan konsep istiqamah iaitu konsisten dan berterusan dalam melakukan sesuatu perkara.

Antara ayat al-Quran yang menyebut perihal istiqamah antaranya :

Oleh itu hendaklah engkau (wahai Muhammad), sentiasa teguh di atas jalan yang betul seperti mana diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian dan janganlah kamu melampaui batas hokum Allah sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

                                    ( Hud : 112 )

Perintah ini juga dinyatakan Rasulullah saw dalam dialognya kepada Abu Sufyan bin Abdullah al-Tsaqafi apabila ditanya dengan berkata : Ya Rasulullah, katakan kepadaku satu perkataan saja yang aku tidak akan bertanya kepada siapapun selain engkau!. Jawab Rasulullah saw;  katakan, aku beriman kepada Allah SWT lalu istiqamahlah.

                                    (HR : Muslim)

Melakukan sesuatu secara berterusan dan tidak mengenal putus asa bukan perkara yang mudah dan harus menuntut kesabaran, keazaman dan keyakinan bahawa dia mampu mencapai apa yang diinginkan. Untuk menjadi seorang yang pandai, bukan sesuatu  yang senang. Namun berbekalkan nikmat pancaindera yang dikurniakan oleh Allah SWT, kesihatan dan pelbagai lagi kemudahan maka ia tidak menjadi alasan kepada kita untuk mengatakan ‘susah’ dan ‘tidak’ kepada sesuatu perkara.

Allah SWT telah berfirman dalam al-Quran :

Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia (Allah) mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati, supaya kamu bersyukur.

                                    ( al-Nahl : 78 )

Kesimpulan; sentiasa berusaha yang bersungguh-sungguh adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan yang sebenar. Tidak perlu berasa selesa dengan apa yang ada kerana perkara itu adalah musuh.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

Kemenyan sebesar lutut, jika tidak dibakar manakan berbau

Kemenyan ialah sejenis getah pokok yang digunakan untuk mengeluarkan asap. Kemenyan dilihat seperti ketul-ketul batu. Dihancurkan sedikit dan ditaburkan di atas bara api bagi mengeluarkan asap. Asapnya berbau wangi dan kebiasaannya digunakan di dalam perubatan tradisional. Kemenyan masih digunakan oleh orang-orang Melayu dan India di negara ini.

Pepatah ini bermaksud menjadi perbuatan yang sia-sia jika seseorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dan tidak diajar kepada orang lan.

Menuntut ilmu ada caranya. Ilmu yang dimiliki tidak boleh dinikmati sendirian, sebaliknya ilmu tersebut harus dikongsi bersama.

Mungkin banyak dalam kalangan para pelajar yang  tidak sedar bahawa apabila kita mengajarkan sedikit ilmu yang kita miliki, kita akan lebih faham berbanding sebelumnya.

Di samping itu, ilmu yang disebarkan oleh kita, kemudiannya disebarkan oleh orang lain, kelak kita akan mendapat ganjaran daripada Yang Maha Esa.

Tiada gunanya apabila seseorang itu memiliki seluas lautan ilmunya, tetapi tidak dimanfaatkan. Manfaatkanlah ilmu demi kesejahteraan umat manusia sejagat

Rasulullah saw bersabda :

Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat.

                        ( HR : Bukhari )

Baginda Rasulullah saw tidak pernah berhenti daripada menyampaikan agama kepada manusia. Selepas kewafatan baginda, para sahabat dan tabiin pula yang menyambungnya sehingga ilmu Allah itu berkembang dengan luasnya pada hari ini. Semua ilmu yang kita miliki adalah ilmu dari Allah SWT, sama ada ilmu duniawi atau ukhrawi.

Pengajaran daripada hadis di atas ialah perlunya untuk menyampaikan ilmu itu yang dimiliki kepada orang lain walaupun sedikit, walau sepatah asalkan dapat diketahui dan tersebar. Sebenarnya, ilmu yang dikongsikan itu tidak akan mengurangkan ilmu kita walau sedikit tetapi semakin bertambah kefahamannya, semakin terpahat diingatannya.

Malah ganjaran pahala yang besar juga dijanjikan bagi sesiapa yang menyampaikan ilmu dan ianya diamalkan oleh orang lain. Sabda Rasulullah saw :

Apabila meninggal dunia seorang manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang  mendoakannya.

                                    ( HR : Muslim )


Oleh itu, sebagaimana peribahasa di atas, kemenyan yang besar pun, andai tidak dibakar, tidak akan berbau. Begitulah juga dengan ilmu, sebanyak mana pun yang dimiliki, tidak memberi manfaat yang besar andai tidak disampaikan kepada orang lain.

Kesimpulannya, ilmu yang kita dapat dan peroleh haruslah kita sampaikan kepada orang lain agar kita dan orang yang mendengar sama-sama beroleh manfaat. Jangan sombong dengan ilmu yang ada kerana semuanya datang dari Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT tidak suka pada orang yang kedekut ilmu.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

Kail sebentuk umpannya seekor, sekali putus sekali hanyut

Kail atau pancing digunakan untuk memancing ikan atau udang. Alat ini merangkumi kail, tali dan mata kail. Untuk memancing, umpan digunakan dan dicucuk pada mata kail. Umpan pula, biasanya terdiri daripada anak ikan atau udang. Apabila tali pancing yang terdapat satu mata kail dan seekor umpan terputus, maka tangkapan tidak dapat diteruskan lagi. Sebaliknya apabila mata kail diletakkan dalam kuantiti yang banyak, maka kerja-kerja menangkap ikan tidak akan terbantut apabila mata kail dibawa lari oleh ikan.

Pepatah ini bermaksud seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan tanpa membuat persediaan yang mantap dan cukup bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Seseorang pelajar itu harus bersedia bagi menghadapi sebarang bentuk ujian yang bakal mereka tempuhi. Petua ringkas yang sering diperingatkan kepada setiap pelajar iaitu:

  1. Doa

a)      Sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada memohon kepada Tuhan Yang Maha Esa.
b)      Doa menunjukkan seseorang hamba itu bersyukur terhadap Penciptanya.

  1. Usaha

a)      Pelajar-pelajar harus bijak mengurus diri iaitu dengan berdikari, mementingkan kekemasan diri serta menjaga kesihatan diri.
b)      Pelajar-pelajar juga hendaklah bijak mengurus masa dan pandai membahagikan masa untuk belajar dan masa untuk aktiviti-aktiviti peribadi yang lain.

  1. Istiqamah (berterusan)

a)      Semua aktiviti yang dirancang hendaklah dilakukan secara berterusan.
b)      Aktiviti yang dilakukan secara berterusan akan menjadi mudah dan tidak membebankan.

  1. Tawakkal (berserah)

a)      Setelah berdoa dan berusaha bersungguh-sungguh, kita hendaklah berserah segala-galanya kepada Tuhan Yang Maha Esa.
b)      Apa sahaja yang berlaku ditentukan olehNya.

Pelajar-pelajar harus bersedia untuk menghadapi peperiksaan. Persediaan tersebut hendaklah dilakukan dari awal lagi. Dalam kita berusaha, kita jangan lupa kepada Yang Maha Pencipta kerana Dia telah memberikan nikmat yang banyak kepada kita.

Allah SWT telah berfirman :

Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.

                                    (al-Hasyr : 18)

Menurut Iman al-Ghazali, ayat ini mengandungi makna bahawa manusia harus memperhatikan dari setiap perbuatan yang dikerjakannya, serta harus mempersiapkan diri (merencanakan) untuk selalu berbuat yang terbaik demi hari esok (akhirat).

Bagi seorang pelajar, kebiasaannya persiapan rapi yang dilakukan untuk menghadapi peperiksaan akan membuahkan kejayaan dengan izin Allah SWT. Empat petua di atas tadi iaitu doa, usaha, istiqamah dan tawakkal hendaklah diamalkan. Petua-petua tersebut sebenarnya bertepatan dengan apa yang telah dinyatakan dalam al-Quran dan hadis Rasulullah saw sejak 1400 tahun yang lalu.

Antaranya:

1)      Doa

Allah SWT telah berfirman :

Dan Tuhan kamu berfirman : Berdoalah kamu kepadaKu sescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina.

                                    (Surah Ghafir : 60)

2)      Usaha (bersungguh-sungguh / itqan )

Sabda Rasulullah saw :

Allah SWT sangat menyukai mana-mana hambaNya yang bila melakukan sesuatu kerja dilakukannya dengan sungguh-sungguh.

3)      Istiqamah

Hadis Rasulullah saw daripada Abu Hurairah ra :

Sesungguhnya sebaik-baik amalan adalah amalan yang berterusan sekalipun sedikit.

                                    (Baihaqi)

4)      Tawakkal

Allah SWT telah berfirman :

Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman.

                                    (al-Maidah : 23)

Allah SWT juga berfirman :

Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya).

                                                (ath-Thalaq : 3)

Kesimpulannya, untuk mencapai kejayaan yang cemerlang, seorang pelajar haruslah bersedia dari segi fizikal, mental dan spiritual agar tidak mudah berputus asa di pertengahan jalan. Setelah usaha bersungguh-sungguh, bertawakallah kepada Allah SWT.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )

Rosak tapai kerana ragi.

Tapai adalah sejenis makanan orang-orang Melayu yang biasanya dihidangkan di majlis-majlis keramaian atau kenduri kendara. Ada pelbagai jenis tapai seperti tapai ubi dan tapai beras. Antara bahan utama membuat tapai adalah ragi yang digunakan untuk memeram ubi atau beras. Sekiranya ragi tidak mengikut sukatan yang sepatutnya, maka pembuatan tapai tidak akan menjadi.

Pepatah, rosak tapai kerana ragi bermaksud pekerjaan yang dibuat sambil lewa atau tidak berhati-hati akan memberikan akibat yang buruk.

Bagi menjadikan seseorang pelajar itu cemerlang, mereka hendaklah meninggalkan perkara-perkara berikut:

  1. Malas belajar

a)      Sikap malas belajar harus dibuang jauh-jauh dalam diri seseorang pelajar
b)      Sikap cintakan ilmu menjadikan seseorang pelajar itu menjadi lebih yakin dan rajin untuk menuntut ilmu.

  1. Menonton televisyen atau bermain komputer secara berlebih-lebihan

a)      Televisyen dan komuter adalah medium yang baik untuk mendapatkan ilmu.
b)      Malangnya, banyak pelajar yang telah tersalah guna sehinggakan menghabiskan masa berjam-jam lamanya di depan televisyen dan computer
c)      Perbuatan ini akhirnya merugikan pelajar kerana mereka tidak belajar, mengantuk dan kurang rehat.

  1. Berfoya-foya dan membuang masa dengan rakan-rakan

a)      Seseorang pelajar itu harus pandai memilih rakan
b)      Rakan yang baik mendorong kita untuk melakukan perkara yang baik-baik serta mendorong kita untuk mencapai kecemerlangan.

Seseorang pelajar itu seharusnya berfikir jauh ke hadapan. Mereka jangan melakukan perkara-perkara yang mendorong diri mereka menjauhkan diri daripada menambah ilmu pengetahuan.

Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin memberi panduan antara adab-adab seorang penuntut ilmu iaitu hendaklah dia menjauhi perkara-perkara yang boleh merosakkan akhlak yang murni, kerana ilmu amat mudah mendekati orang yang baik budi pekertinya dan jiwa yang sentiasa bersih dan tenang. Sekiranya, hati seseorang itu dicemari dengan elemen-elemen yang negatif yang boleh merosakkan kemurniaan hati dan jiwa menyebabkan pelajar sukar untuk menguasai ilmu. Ini kerana secara prinsipnya, ilmu itu bersifat suci.

Rasulullah saw juga berpesan dalam sabdanya:

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu’anhu, katanya: Rasulullah saw telah bersabda: Sebahagian daripada keelokan  Islam seseorang ialah meninggalkan apa yang tiada kena mengena (tidak berfaedah) dengannya.

                                                                        (HR: al-Tarmizi )

Selain itu, seorang pelajar harus pandai memilih teman untuk dijadikan sahabat seperjuangan. Realiti segelintir anak muda pada hari ini rosak akhlaknya dan terjebak dalam pelbagai gejala sosial dan salah satu faktornya adalah pengaruh rakan sebaya. Sahabat menjadi cermin kepada diri kita. Dalam hal ini, mari kita renung katakata Saidina Ali bi abi Talib iaitu:

Jika engkau ingin mengetahui tentang seseorang, lihatlah temannya, kerana setiap orang itu akan meneladani temannya.

Sesuatu pekerjaan yang dilakukan dengan tidak bersungguh-sungguh atau bercampur aduk dengan perkara yang salah, maka juga memberi kesan kepada hasil yang akan diperoleh. Maka, seorang pelajar harus meninggalkan perbuatan dan amalan yang tidak mendatangkan manfaat serta mendatangkan kebinasaan kepada dirinya.

Kesimpulan, berhati-hatilah dengan apa yng ada di sekeliling kita kerana bimbang akan mempengaruhi dan merosakkan hati dan fikiran. Muhasabah diri setiap hari agar kita mampu menperbaiki kesilapan dan menghindarkan diri kita daripada perkara-perkara yang boleh merosakkan diri dan masa depan kita.

Wallahu’alam.

( 25 pesanan zaman berzaman; YBR 2012 )